Mereka ini adalah peserta peraduan menjawab seberapa banyak soalan mengenai Paknil dan Din Beramboi yang dianjurkan oleh ERA. Kiranya, mereka ini adalah yang paling mengenali kami dan menjawab banyak soalan dengan tepat.
Terima kasih sangat kerana sudi menyertai peraduan itu dan Paknil betul-betul tersentuh dengan perhatian yang kalian berikan.
Ada di antara pendengar yang hadir merupakan seorang ibu yang bergegas pulang dari kerja dan membawa anaknya yang berusia 11 tahun untuk bersama-sama kami. Lebih menyentuhkan bila ada yang sanggup turun dari Ipoh pada hari itu atas tujuan untuk menonton.
Pada yang lain-lain juga Paknil ucapkan ribuan terima kasih. Hanya Tuhan yang boleh membalas jasa korang yang sporting dan peramah.
Setiba di perkarangan dewan menonton Kelas Emas itu, Paknil dah tak sabar untuk bergambar dengan mereka. Seronok bergambar dengan mereka kerana ada yang masih malu-malu bertemu Paknil. Alahai, apalah yang hendak dimalukan. Paknil sendiri teruja ingin menyimpan detik ini dalam kenangan
Kebetulan sehari sebelum itu adalah hari lahir Din Beramboi, jadi bersama-sama pendengar ERA kami sempat meraikannya dengan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi dan potong kek. Ekeleh…Din malu-malu pulak!
Selesai acara memanjakan Din Beramboi kami bergerak ke dewan menonton. Telah sedia menanti ialah kerusi empuk yang memanggil-manggil kami. Memang selesa menonton. Tambahan pula ada yang mintakan selimut sehingga terasa seperti menonton di rumah sendiri.
Filem yang menjadi pilihan kami ialah ‘AVATAR’. Hebat betul filem ini dan kami semua kagum dengan jalan cerita, mesej yang ingin disampaikan dan juga teknik canggih sehingga terlahir filem terhebat di penghujung dekad pertama di abad 21 ini.
Selesai menonton, kami bersurai dan Paknil sempat bergambar lagi secara beramai-ramai. Berat kaki ini untuk berpisah tetapi kami berjanji akan melakukan aktiviti ini lagi. Mungkin masa tayangan filem Magika yang Paknil berlakon nanti kot. Join sekali ok!