Sunday, November 21, 2010

Kelab Upin & Ipin meriahkan Suarasa Serdang


Menarik sungguh kerana sekali lagi kita akan bersama-sama memeriahkan Karnival Suarasa yang kali ini akan berkampung di Serdang pula. Kali ini tapak MAHA digunakan sebagai tapak lokasi yang akan bermula dari 27 dan 28 November ini. Pastikan peminat Upin & Ipin yang berada dikawasan sekitar bersama-sama memeriahkan karnival ini.

Kali ini, Upin & Ipin menjemput semua ahli Kelab Upin & Ipin untuk menyertai acara 2 hari ini dengan memakai baju ahli sebagai tanda sokongan. Mana-mana ahli yang berpakaian baju ahli kelab akan diberi layanan istimewa dengan bergambar bersama pelakon suara dan maskot. Kepada adik-adik pula, digalakkan berpakaian seperti Upin & Ipin ataupun watak-watak lain seperti watak Ehsan, Mei Mei, Rajoo, Mail ataupun Fizi. Kepada adik-adik yang berpakaian paling comel akan diberikan hadiah istimewa dari pihak produksi.

Ingat, jangan lepaskan peluang ini dan datanglah beramai-ramai ke Suarasa Serdang ini. Jumpa di sana!.

Thursday, November 18, 2010

Akan datang dalam rancangan Upin dan Ipin!



Eh, tempat apa ni?
Bila keluar ni?
Siapa yang tengah sorok tu?


Adik-adik nak tahu jawapan untuk semua soalan tadi?
Nantikan episod baru Upin dan Ipin cuti sekolah ini!




Karnival Upin & Ipin di Melaka Wonderland (4-7 Disember 2010)

Pasti peminat semua pernah membaca artikel mengenai sesi rakaman video promo untuk Karnival Upin & Ipin di Melaka Wonderland pada blog post sebelum ini. Kali ini kita sudah boleh melihat video promo yang telah dihasilkan dengan begitu menarik sekali di laman youtube Les' Copaque Production. Karnival yang akan diadakan pada 4 hingga 7 Disember ini dijangkakan bakal mendapat sambutan di luar jangkaan. Pasti sudah ramai peminat tidak sabar ingin ke Melaka Wonderlandkan? Tapi sebelum itu, apa kata kita melihat video promo karnival ini yang bakal ditayangkan di TV9 tidak lama lagi.


Video Promo Karnival Upin & Ipin di Melaka Wonderland

Selain dari video promo ini, peminat juga boleh mengetahui maklumat lebih lanjut melalui laman web karnival ini melalui www.kelabupindanipin.com/melakawonderland/ . Di laman web ini, terdapat maklumat ringkas mengenai karnival serta acara-acara yang bakal dianjurkan. Lebih menarik lagi, peminat juga berpeluang memenangi tiket percuma ke Melaka Wonderland pada tarikh 4 Disember nanti. Caranya dengan menyertai peraduan Facebook Upin & Ipin dengan meletakkan gambar anda menggunakan grafik yang telah disediakan. Arahan lengkap untuk peraduan ini boleh didapatkan melalui laman web ini. Tarikh tutup untuk peraduan ini ialah pada 30 November 2010. Cepat, jangan lepaskan peluang ini.


Laman web Karnival Upin & Ipin di Melaka Wonderland


Friday, November 12, 2010

Sidang Media "Karnival Upin & Ipin"

Baru-baru ini telah diadakan satu sidang media berkaitan Karnival Upin & Ipin di SACC Convention Centre. Majlis sidang media yang dihadiri oleh para media terdiri dari RTM, TV9, Utusan, Astro, Sinar Harian, Karangkraf, Metro dan beberapa lagi media ini bertujuan untuk melancarkan Karnival Upin & Ipin yang bakal dianjurkan secara besar-besaran bersama penganjur bersama iaitu TV9. Mengikut Tuan Haji Burhanuddin, (Pengarah Urusan Les' Copaque Production) karnival ini dilancarkan bertujuan untuk menampung permintaan jutaan peminat Upin & Ipin dari seluruh negeri.

Suasana ketika sidang media diadakan

Upin & Ipin bergambar
bersama logo Karnival Upin & Ipin


Usamah Zaid turut ditemuramah
oleh wartawan


Karnival Upin & Ipin yang pertama bakal diadakan di SACC Convection Centre pada 24 hingga 28 Disember 2010. Pelbagai acara menarik dijanjikan diantaranya ialah penampilan maskot, persembahan pelakon suara, booth-booth jualan, pencarian harta karun, pertandingan kucing dan yang teristimewa ialah Animation Parade. Animation Parade ini akan mengabungkan pelbagai watak dari animasi Upin & Ipin termasuklah gabungan pasukan pancaragam yang akan berarak mengelilingi tapak karnival. Parade ini merupakan diantara yang bakal menarik perhatian pengunjung dan menjadi keunikan karnival ini.

Tambah Tn Haji lagi, karnival ini juga bakal membawa dunia Upin & Ipin terus kepada pengunjung. Ini dalah kerana tapak karnival ini dirangka menyerupai rumah Upin & Ipin serta sekolah tadika di mana Upin & Ipin serta kawan-kawannya bersekolah. Ianya pasti diantara faktor penarik dan salah satu keunikan dibakal ditonjolkan buat pertama kali.

Upin & Ipin bersama beberapa
wakil dari peserta karnival


Pertandingan serta persembahan kucing
diantara menu aktiviti di karnival


Menurut En Feisal Abd Malik, (Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama TV9), kerjasama bersama Les' Copaque di dalam menjayakan karnival ini sebenarnya merupakan salah satu diantara projek besar bersama Upin & Ipin pada tahun hadapan. Selain bakal menayangkan rancangan Kelab Upin & Ipin pada tahun hadapan, TV9 juga bakal menganjurkan Karnival ini dibeberapa buah negeri lain nanti. Pada 25 & 26 Disember 2010, khabarnya peserta Idola Kecil musim ke 3 turut bakal memeriahkan karnival ini di SACC. Selain itu, TV9 juga akan membuat siaran langsung serta lintas langsung melalui rancangan Nasi Lemak Kopi O dan beberapa rancangan lain seperti CHOPP!, Galaksi, Adik di 9 dan Berita TV9. Dengan sususan promosi yang telah diatur, TV9 juga melihat Karnival Upin & Ipin ini bakal menjadi satu acara tahunan yang mampu bersaing dengan acara sedia ada.

Feisal Abd Malik, Pengurus Kumpulan
Pengurusan Jenama TV9


Tn Hj Burhanuddin ketika
ditemuramah wartawan



Upin dan Ipin difitnah?

Eh, betul ke ada berita mengenai Upin dan Ipin difitnah? Fitnah mengenai apa pula? Rupanya di dalam masa terdekat ini sudah tersebar melalui emel beberapa perkara yang kurang menarik kita dengar mengenai Upin & Ipin. Kepada peminat setia Upin & Ipin yang ingin mengetahui lebih lanjut bolehlah membaca melalui link Berita Harian Online di bawah

http://www.bharian.com.my/articles/Dengarnya___UpindanIpindifitnah/Article/

Terima kasih diucapkan kepada Berita Harian kerana telah menulis dan memberitahu kepada umum mengenai perkara sebenar. Diharapkan kepada semua peminat Upin & Ipin usul periksa terlebih dahulu dan tidak mempercayai pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sebegini.

Thursday, November 11, 2010

Upin, Ipin dan Kak Ros di Festival Filem Malaysia

Malam anugerah yang begitu meriah dan penuh dengan warna warni telahpun menjadi penutup pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia tempoh hari yang telah dilangsungkan di SACC Convention Centre, Shah Alam. Malam yang penuh gilang gemilang bersempena meraikan pengiat filem tempatan turut menyaksikan kelibat Upin, Ipin dan Kak Ros. Apa agaknya mereka buat di FFM kali ini? Walaupun tiada pencalonan pada tahun ini, mereka turut dijemput untuk menyampaikan anugerah bagi kategori animasi. Wah, dah macam artis nampaknya mereka sekarang ini.

Suasana di dalam dewan utama
Ida Shaheera (Kak Ros) sempat bergambar
sebelum bermula siaran langsung


Asyiela (Upin/Ipin) juga tidak
melepaskan kesempatan untuk bergambar


Disebalik populariti watak Upin & Ipin serta Kak Ros yang dipegang oleh Asyiela Putri serta Ida Shaheera, rupanya masih ramai yang tidak mengecam kehadiran mereka pada malam itu. Kebanyakkan pengunjung baru saja tersedar dengan kehadiran pemilik suara comel ini sebaik sahaja apabila selepas selesai menyampaikan anugerah. Tambahan pula, maskot Upin & Ipin turut mengiringi mereka ketika sesi penyampaian dilakukan. Memang lain dari yang lain kerana tidak pernah ada sebarang maskot menyampaikan anugerah di dalam sesebuah acara gilang gemilang sebegini. Kebanyakkan pengunjung amat teruja dan bertuah kerana dapat bersua muka dengan pelakon suara bagi kedua-dua watak ini.

Selepas selesai penyampaian anugerah

Kak Ros dan Upin/Ipin bersama
Dayang Nurfaizah


Bersama kumpulan API dan Lan

Di dalam keghairahan peminat mengerumuni Asyiela Putri dan juga Ida Shaheera untuk bergambar, berbeza pula rupanya kisah tentang mereka berdua. Mereka berdua turut berasa teruja dengan kehadiran ramai barisan artis termasuklah pelakon tanah air. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan artis pujaan mereka yang turut hadir. Dari pengacara, pelakon hinggalah kepada penyanyi pasti peluang bergambar tidak akan dilepaskan. Rupanya ramai juga peminat Upin & Ipin dikalangan artis. Nampak saja adik Asyiela pasti diminta untuk mendemokan suara comelnya itu.

Bersama dengan "Lan and the Typewriter"

Asyiela bersama Fara Asyikin

Bersama salah seorang pengacara iaitu Zizan

Mawi World turut
bergambar bersama Upin & Ipin


Cantik dan comel gaun yang
dikenakan oleh Asyiela


Bersama diantara warga kerja FINAS


Semalaman berada di SACC untuk malam Festival Filem Malaysia ini pastinya salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi Asyiela dan Ida Shaheera. Harap-harap filem Laksamana Upin & Ipin akan dapat dicalonkan dalam tempoh 2 tahun lagi. Sementara itu, jangan lupa untuk mengundi Upin & Ipin serta filem Geng di Shout! Awards.

Tuesday, November 02, 2010

Upin & Ipin di Media Prima Screening 2010

Suasana yang sungguh meriah dan pelbagai persembahan menarik mewarnai Media Prima Screening pada tahun ini. Seperti pada tahun-tahun yang lepas Media Prima menganjurkan sesi screening ini untuk memaparkan kepada penonton menu dan resepi utama rancangan mereka pada tahun hadapan. Pada tahun ini Media Prima menggunakan konsep "Mob" sebagai tema majlis dan ianya sangat mendapat sambutan ramai serta begitu unik. Manakala Upin & Ipin pula yang ditayangkan di TV9 menjadi barisan hadapan di dalam intisari rancangan TV9 pada tahun hadapan.
Upin & Ipin bergaya
dengan baju detektif yang baru


Penampilan Upin & Ipin serta rakan-rakannya kali ini sungguh istimewa kerana Upin & Ipin turut membuat persembahan khas di pentas utama dihadapan lebih dari seribu tetamu. Acara gilang gemilang yang diadakan di KL Convention Centre ini menyaksikan Upin & Ipin tampil dengan wajah baru. Berbaju seperti ala detektif, Upin & Ipin kali ini nampak sungguh segak dan comel.

Upin & Ipin bersama rakan-rakan memeriahkan
Media Prima Screening 2010


Antara krew Les' Copaque yang hadir

Di dalam acara ini, TV9 memaklumkan bahawa Upin & Ipin akan muncul dengan pelbagai program menarik pada tahun hadapan di antaranya ialah Karnival Upin & Ipin bersama TV9, rancangan Kelab Upin & Ipin dan yang pastinya episod terbaru siri animasi Upin & Ipin yang telah mendapat diantara program TV yang mendapat rating tertinggi di TV9. Pasti ramai peminat setia Upin & Ipin sudah tidak sabar ingin menyaksikan rancangan-rancangan tersebut pada tahun hadapan.

Upin dan Mail bergaya di kereta antik

Upin & Ipin bergambar bersama
pegawai tinggi di TV9

Wah, Mail segak dengan motor berkuasa besar
Upin & Ipin memeriahkan
Media Prima Screening 2010


Apa-apapun terima kasih kepada yang menyokong Upin & Ipin selama ini dan pastikan anda mengikuti perkembangan terkini mengenai rancangan terbaru di TV9 pada tahun hadapan.