Showing posts with label Hiasan. Show all posts
Showing posts with label Hiasan. Show all posts

08 March, 2011

Oh Mama Saya Mahu Kahwin (Part 1)...


Dari kecil sehinggalah dewasa rasanya tidak putus-putus BR menghadiri kenduri kahwin atau majlis perkahwinan yang diadakan oleh jiran tetangga, saudara mara mahupun sahabat handai. Memang sudah menjadi kelaziman bahawa di dalam banyak-banyak hari di dalam 365 hari, tidak tahulah mengapa majlis kenduri kahwin ini mesti diadakan pada hari Sabtu atau Ahad pada kebiasaannya dan pada cuti penggal persekolahan pada kemestiannya.


Apabila disebut sahaja mengenai kenduri kahwin, tidak dapat tidak mesti ada bunga telur sebagai buah tangannya. Tidak kiralah apapun bekas yang digunakan sama ada seramik, kotak, bertangkai bunga hatta dibalut tisu sekalipun, bunga telur tetap akan menjadi 'tiket' utama yang akan membuktikan bahawa seseorang telah pergi makan kenduri selain daripada bau gulai kenduri di tangan...

Untuk itu, entri kali ini ialah mengenai bunga telur seramik yang telah BR simpan sejak sekian lama hasil pemberian bapa saudara yang telah menghadiri satu majlis perkahwinan yang telah berlangsung dengan gilang-gemilangnya pada 20.06.1981 iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu.


Bentuknya yang unik iaitu berbentuk bunga raya Bunga Kebangsaan Malaysia, sungguh cantik sesuai dengan namanya 'bunga' telur. Sesuai juga dijadikan hiasan kerana keunikannya itu.

Suatu ketika dahulu adat memberi bunga telur sebagai buah tangan kepada tetamu yang hadir pada majlis kenduri kahwin adalah satu kemestian tetapi pada hari ini adat tersebut seolah-seolah sudah hampir dilupakan. Bungkusan gula-gula, Sumi, kuih bahulu, maruku, pulut kacau dan sebagainya telah mengambil tempat bunga telur ini tanpa sebab musabab yang jelas lalu meminggirkan pemberian bunga telur ini kepada tetamu.


Bekas bunga telur ini berwarna kuning dan bertangkai supaya mudah dibawa. Untuk pengetahuan, jika di zaman dulu-dulu adalah tidak lengkap sekiranya bunga telur ini tidak diisikan bersama dengan bunga rampai iaitu daun pandan yang dipotong halus lalu dicampurkan dengan berbagai bunga dan air wangi (potpourri) membuatkan bunga telur ini akan harum mewangi dan sedap baunya.


Terdapat juga lambang Istana Negara pada bunga telur ini.


Keistimewaan bekas bunga telur ini ialah ia merupakan bunga telur sempena Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Y.A.M. T. Muhaini dengan Y.M. T. Ibrahim yang telah diadakan pada 20.06.1981 bersamaan 18 Syaaban 1401H yang telah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.


Masa kecil-kecil dahulu pernahkan pembaca bermain 'pondok-pondok' atau bermain 'kahwin-kahwin'? Memang cukup meriah mengalahkan kenduri kahwin yang sebenar.

Ada rakan BR yang sanggup panjat pokok kelapa dan menyanyi tanpa henti kononnya sebagai corong pembesar suara rumah kenduri, ada pengapit pengantin dengan kipasnya, ada pelamin, ada tetamu, ada mak andam, tukang masak dan tentunya anda masih ingat lagi gelagat pengantin yang tersenyum simpul malu sambil berjalan perlahan-lahan menuju ke pelamin sambil diiringi oleh paluan kompang daripada ketukan tin dan timba... He.. he..

Sebenarnya terdapat dua jenis bunga telur yang sempat disimpan sebagai kenang-kenangan sempena Istiadat Perkahwinan Diraja ini. Bunga telur yang satu lagi adalah berbentuk tangan sedang memegang bunga raya. InsyaAllah kita akan ikutinya nanti pada episod Oh Mama Saya Mahu Kahwin (Part 2)...


Moral Value: Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah.


27 January, 2011

Rantai Peninggalan Panglima Berantai...


Paparan kali ini ialah mengenai rantai yang mungkin ada di antara kita yang tidak pernah terfikir bahawa ianya telah dihasilkan daripada barangan terbuang. Rantai ini mempunyai panjang kira-kira 2 meter dan mengambil masa yang lama untuk dihasilkan dengan dibantu oleh kesabaran dan ketekunan di peringkat paling maksimum.


Dihasilkan daripada ring atau cincin pembuka minuman tin yang pelbagai bentuk lalu di'karang' sedemikian rupa untuk menjadikan ia rantai. Untuk rantai sepanjang 2 meter ini, beratus-ratus ring diperlukan kerana bagi setiap mata rantai mempunyai 3 atau 2 ring yang bertujuan untuk menguatkan rantai.


Rantai ini pernah popular suatu ketika dahulu dan telah menjadi kegilaan ramai untuk menghasilkannya. Kehebatannya diukur daripada rantai siapakah yang paling panjang.


Apakah tujuannya? Amat sesuai untuk dijadikan tirai atau birai hiasan pintu rumah atau di tingkap rumah bagi mereka yang sukakan kelainan umpama rangkaian siput, kulit kerang, manik, kayu, gulungan kertas surat khabar dan sebagainya yang amat popular di tahun 1960-an dahulu.


Kelebihannya ialah tidak berkarat kerana rantai ini dihasilkan oleh ring aluminium yang tahan karat serta ringan. Tetapi hanya untuk hiasan sahaja dan bukannya untuk digunakan seperti rantai biasa kerana kekuatannya amat lemah jika dibandingkan dengan rantai besi sebenar.


Memerlukan ketekunan yang tinggi untuk mencantumkan satu persatu ring ini dan panjang atau pendeknya sesuatu rantai itu bergantung pula kepada banyaknya stok hasil dari pencarian tin-tin minuman terbuang.


Kalau dijual di kedai besi burukpun masih laku dan berharga kerana bahan aluminium memang ada harga di pasaran. Anda bagaimana? Cubalah menghasilkannya sekurang-kurangnya 1 meter sebagai percubaan he.. he..


23 October, 2010

Sukan Olimpik Seoul 1988


Piring ini adalah hadiah daripada seorang rakan sebagai kenangan berlangsungnya Sukan Olimpik Seoul 1988. Simple tetapi menarik untuk dijadikan hiasan.


Tuan rumah pada tahun tersebut ialah Seoul, Korea Selatan. Acara perasmiannya telah diadakan pada 17 September dan Acara penutupnya pula pada 2 Oktober. Sebanyak 27 jenis sukan dipertandingkan dan melibatkan 263 acara.


Walaupun telah 22 tahun berlalu, mengumpul cenderamata sesuatu event ini ada gunanya juga sebagai sejarah dan rujukan berlangsungnya sesuatu acara seperti juga mengumpul stem, syiling peringatan dan sebagainya.



Sejarah Ringkas Mengenai Sukan Olimpik:


Sukan Olimpik ialah sukan antarabangsa yang diadakan setiap empat tahun di Olympia dan bertujuan untuk menghormati Tuhan Zeus. Sukan ini juga adalah untuk mengawal peperangan dan mengekalkan keamanan kerana pada masa ini semua tidak dibenarkan untuk berperang kerana menghormati Zeus. Hadiah yang diberikan berbentuk sekalung daun zaiton dari tempat keramat di Olympia.

Cuma peserta lelaki sahaja yang dapat melibatkan diri. Negara-negara yang terbabit dalam sukan ini merupakan negara-negara kota Yunani. Manakala acara yang diadakan meliputi gusti, melempar cakera dan merejam lembing.

Asal sukan Olimpik tidak lagi diketahui tetapi banyak lagenda tertulis bersama-sama sukan ini. Sambutan pertama Sukan Olimpik yang direkodkan adalah pada 776 SM, walaupun tarikh ini bukanlah kali pertama Sukan Olimpik diadakan. Pada masa itu, hanya satu acara dipertandingkan.

Sukan ini semakin hilang kepentingannya dengan penaklukan Rom ke atas Yunani (sekarang dikenali sebagai Greece). Apabila Kristian menjadi agama rasmi Empayar Rom, Sukan Olimpik dilihat festival orang tidak beragama (pagan) dan pada 393, Maharaja Theodosius mengharamkan Olimpik, dan ini menandakan berhentinya sukan Olimpik selama ribuan tahun sehinggalah diadakan semula pada abad ke-19.

Sukan Olimpik dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19. Sukan ini yang turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas telah diadakan setiap empat tahun sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia. Pada tahun 2004, Sukan Olimpik ke-28 telah kembali diadakan di tempat asalnya di Athens, Greece.


05 August, 2010

Dulang Bersulam Ada Lagi...


Dulang hiasan milik keluarga ini BR perolehi sewaktu pulang ke kampung baru-baru ini. Sayang sekali dulang yang secantik ini hanya ditempatkan di dalam stor sahaja. Sebenarnya dulang ini adalah sama sahaja seperti dulang hiasan yang pernah ditunjukkan terdahulu cuma perbezaannya ialah dari segi warna, saiz dan bentuknya sahaja.



Memang cantik sebagai hiasan dengan digantung di dinding ruang tamu. Memang sukar untuk dilihat lagi dulang seperti ini menghiasai rumah-rumah sekarang. Kepada pembaca yang pernah memiliki ataupun melihat dulang sulaman ini bolehlah berkongsi maklumat dengan BR.



Diperbuat daripada sejenis tali plastik halus yang disulam pada bingkai dawai membentuk satu anyaman yang sungguh rumit tetapi kreatif.



Di bahagian belakang pula terdapat 'kaki' dulang supaya kedudukan dulang akan lebih stabil.



Gambaran anyaman yang kemas. Sesuai juga untuk dijadikan bingkai gambar bagi yang kreatif.



Dulang ini hanya menggunakan gabungan dua warna sahaja iaitu hitam dan putih. Terdapat juga dulang yang menggunakan pelbagai warna untuk menghasilkan corak berwarna-warni.


25 May, 2010

Dulang Bersulam Penghias Dinding


Di sekitar tahun 1970-an dahulu, dulang ini merupakan satu bentuk hiasan yang sungguh popular di setiap rumah. Biasanya diletakkan di dinding rumah di bahagian ruang tamu.


Terdapat dua bentuk yang biasa dilihat iaitu bulat ataupun bujur. Terdapat juga pemilik yang menjadikan dulang ini sebagai bingkai gambar di mana terdapat gambar di tengah-tengah dulang dan dilapisi cermin lutsinar di hadapan. Namun begitu, ada juga pemilik yang menggunakan dulang ini sebagai dulang sebenar untuk menyajikan minuman.



Berbagai corak yang menarik boleh didapati dari dulang ini. Ada yang berwarna-warni seperti di dalam gambar, hitam dan putih serta berbagai warna lagi mengikut citarasa pemilik. Selain daripada itu corak yang menghiasi dulang juga di datangkan dengan berbagai variasi yang cukup menawan.


Jelas kelihatan bingkai dulang daripada dawai kasar yang perlu dibentuk terlebih dahulu mengikut bentuk yang diingini sebelum kerja-kerja menyulam dilakukan.


Close-up hasil anyaman yang kemas.



Dihasilkan daripada anyaman atau sulaman tali plastik berwarna. Memang halus buatannya kerana kerja-kerja sebegini pastinya memerlukan kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi.


Pemandangan di bahagian belakang. Terdapat juga dulang yang dihasilkan mempunyai kaki.



Inilah hasilnya sebuah dulang yang sungguh cantik sesuai untuk dijadikan hiasan mahupun digunakan di dalam kehidupan sehari-hari.


Pada hari ini, kehadiran dulang ini bagi menghiasi dinding-dinding di ruang tamu rumah sudah sukar untuk dilihat lagi. Mungkin telah dibuang lantaran sudah tidak sesuai lagi dengan zaman sekarang. Suasana retro pasti terhasil jika masih ada lagi mereka yang menjadikan dulang ini sebagai hiasan... sungguh nostalgia!


10 April, 2010

Bekas Kaca Berbentuk Itik Angsa


Ini lagi satu barang lama yang akan dipaparkan. Bekas kaca berwarna putih berbentuk itik angsa ini memang cantik dijadikan sebagai barang hiasan.


Ianya salah satu daripada pusaka nenek kerana semasa di zaman aku masih berseluar 'katok' dahulu bekas ini telahpun sedia ada terpamer di dalam almari hiasannya. Sememangnya pada waktu itu aku tidak pernah peduli langsung akan kewujudannya.



Tetapi sekarang baharulah aku sedari bahawa bekas putih berbentuk itik angsa ini sememangnya unik dan memiliki daya tarikan yang tersendiri. Dihiasi sepenuhnya dengan corak-corak timbul yang membentuk seekor angsa.



Lehernya boleh berfungsi sebagai tangkai atau pemegang kepada penutup bekas. Separuh daripada badannya adalah penutup dan separuh lagi adalah sebagai tempat penyimpanan.



Beginilah rupa apabila penutupnya dibuka. Bagi kaum wanita biasanya dijadikan tempat menyimpan barangan kemas.


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'