Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Showing posts with label Perkara mungkar. Show all posts
Showing posts with label Perkara mungkar. Show all posts

Friday, 8 August 2014

JAUHI SIFAT "GHULUW"

Di kalangan Sufi ada yang 'ghuluw'. Asalnya mahu kejernihan hati, tapi terperangkap dengan 'shatahat sufiyyah' (kegelinciran kaum sufi). Sebab itu kita melihat kepelikan zikir dan bertabarruk, walaupun hukum asal berzikir, bertabarruk dan bertawassul adalah harus. Begitu juga menghormati guru dan sheykh dianjurkan, namun terlanjur kelihatan seperti suatu kebenaran mutlak.
 
Kalau ada yang mengkritik mereka, mereka cepat membuat tuduhan bahawa pengkritik aliran Wahhabi, Salafi. Lantas sebahagian masyarakat akan turut menyesatkan mereka, yang menjadi mangsa, ahli tareqat yang ikhlas dalam perjalanan kejernihan hatinya. Walhal ulama yang dinegatifkan menolak sufi seperti Ibn Taymiyyah sebenarnya memuji Sufi yang hakiki.

Di kalangan yang mendakwa dirinya Salafi dan mahu mengikut ulama Salaf, sebenarnya bagus cita-cita itu. Tetapi malangnya terperangkap dengan banyak bergantung kepada pandangan Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim yang berada di kurun ke 7H, dan mereka bukan Salaf. Mereka yang 'ghuluw' menolak para ulama Salaf seperti Imam Abu. Hanifah (seorang tabiin dan ulama -ulama tabi'in lain mengiktirafnya), Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka juga menolak kitab-kitab ulama yang tidak sealiran dengan pandangan Ibn Taymiyyah. Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Albani sudah menjadi kebenaran mutlak. Bahkan kerana taksub dab 'ghuluw', mereka begitu cepat mengkafirkan dan mengatakan umat Islam masuk neraka. Bahkan di sesetengah negara, berlaku serangan pembunuhan atas hujah menghapuskan golongan musyrik. Atas sikap golongan ini, yang menjadi mangsa ialah orang-orang yang ikhlas mencari jalan Salaf dan masih boleh bertoleransi di atas perbezaan.

Ini adalah cabaran penyatuan ummat Sunni.

Allahu al-musta'an.

Wednesday, 26 March 2014

KEMUNCAK KEZALIMAN MODEN

Para pembaca budiman,

Rupanya masih berlaku kezaliman pada zaman moden ini apabila 529 anggota Ikhwan Muslimin dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Jika benar gambar di bawah, maka mereka telah berjaya mendapat Syahid dalam memburu cinta Allah SWT. Mahkamah Mesir akan menentukan nasib lebih 600 orang yang lain di akhir April ini. Semoga seluruh dunia bangun membantah 'kemuncak kezaliman moden' ini.


Namun, gambar-gambar di bawah BUKAN merupakan gambar hukuman gantung tersebut kerana mereka baru ditentukan hukuman, tetapi belum dilaksanakan hukuman tersebut. Gambar ini sebenarnya berlaku di tempat lain.



 
 

Tuesday, 18 October 2011

(Telah diupdate 19 Okt 2011) SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambung perbahasan siri ini. Kelihatan dengan jelas kenapa ulama-ulama menghukumkan sesat waimma kufur kepada golongan di bawah disebabkan mereka berpegang dengan tasybih secara NYATA dan melampau. Golongan pentasybih dan mujassimah zaman sekarang kebanyakkan ada unsur-unsur menjadikan Allah 'beranggota' menyebabkan mereka terkeluar dari golongan ASWJ, namun kegelinciran mereka tidak sampai ke batasan sebagaimana firqah di bawah. Selamat membaca.

Abu al-"izz
Di waktu Subuh, Paris.



SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH

Berkata al-Imam Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadi (wafat 429) Rahimahullah:

Ketahuilah –semoga kamu dibahagiakan Allah- golongan al-musyabbihat (golongan yang men-serupa-kan (menyerupakan) Allah dengan makhluk) terbahagi kepada dua kumpulan:

i. Kumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah

ii. Kumpulan yang men-serupa-kan sifat Allah dengan sifat selain Allah

Kumpulan pertama: Kumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah

Kelahiran golangan al-tasybih terawal daripada golongan golongan sesat yang melampau ialah:

1. Al-sabaiyyah- mereka menggelarkan Ali sebagai tuhan, dan men-serupa-kannya dengan zat tuhan. Ketika mana Ali membakar suatu kaum, mereka berkata kepadanya: sekarang kami tahu bahawa engkau adalah tuhan,kerana api tidak akan membakar sesuatu kaum kecuali dia adalah tuhan.

2. Al-Bayaniah iaitu pengikut Bayan bin Sam’an yang mendakwa sembahannya ialah insan daripada cahaya dalam bentuk manusia pada anggota-anggotanya. Anggota-anggota ini akan fana (musnah) kecuali wajahnya.

3. Al- Mughiriyyah iaitu pengikut al-Mughirah bin Said al-‘Ijli yang mengatakan sembahannya mempunyai anggota dan anggotanya dalam bentuk huruf-huruf al-hija’ (huruf bahasa Arab).

4. Al-Mansuriyyah ialah pengikut Mansur al-‘Ijli yang menyerupakan dirinya dengan tuhannya, dan dia mendakwa telah naik ke langit, dan mendakwa juga yang tuhannya menggunakan tangannya menjamah kepalanya. Dan tuhan berkata kepadanya: “Wahai anakku, sampaikan daripadaku”.

5. Al-Khitabiyyah yang berkeyakinan ketuhanan para Imam dan dan ketuhanan Abi al-Khttab al-Asadi.


6. Kumpulan yang berpegang dengan ketuhanan Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar.

7. Al-Hululiyyah yang berpegang hulul (bersatu) Allah pada diri para Imam dan menyembah para Imam atas tujuan atau pegangan tersebut.

8. Al-Huliyyah al-Hilmaniyyah yang disandarkan kepada pengasasnya iaitu Abu Hilman al-Dimasyqi yang mendakwa bahawa tuhan bersatu dengan semua bentuk yang cantik, dan dia sujud kepada semua yang cantik.

9. Al-Muqanna’iyyah al-mubidhah di belakang Sungai Jaihun dan dakwaan mereka bahawa al-Muqanna’ ialah tuhan, dan ia berbentuk pada setiap zaman dengan bentuk tertentu.

10. Al-‘Azafirah yang berkata dengan ketuhanan Ibn Abi al-‘Azafir yang dibunuh di Baghdad.

Kumpulan-kumpulan ini yang kami sebut pada fasal ini, semuanya terkeluar dari Agama Islam walaupun mereka ini dinisbahkan kepada Islam secara zahir.

Akan bersambung…. Insya Allah

Abu al-‘Izz
Menjelang Subuh, Paris.

Monday, 25 April 2011

Isu video, tuduhan zina dan isu poco-poco

Rimas dibuatnya membaca pelbagai isu-isu yang menyesakkan dada di dada akhbar pada awal tahun ini. Pada mulanya saya bersemangat melihat semangat revolusi Timur Tengah dan bagaimana perubahan berlaku di sana. Saya masih mengharapkan 'sinar bahagia' di Timur Tengah. Pada masa yang sama, timbul kerisauan revolusi itu menjadi 'perang saudara' yang tidak kesudahan. Ditakuti juga berlaku apa yang dikatakan oleh pepatah menjemput penyamun atau perompak untuk menghalau pencuri. Pencuri berjaya dihalau, perompak atau penyamun yang untung!

Pada masa yang sama, berita dalam negara seperti 'video porno' sehinggalah perbahasan samada ia boleh dijadikan bukti untuk jenayah zina memenuhi dada-dada akhbar. Ditambah lagi pula isu 'poco-poco', yang turut mewarnai akhbar-akhbar kita sekitar sebulan dua ini.

Video Porno

Mengenai video porno, saya sempat berbisik kepada rakan-rakan, dalam Islam jenayah zina hanya boleh dibuktikan dengan EMPAT saksi. Tak tahulah kalau ada yang mahu menggunakan pandangan 'syaz' yang mahu membenarkan bukti fizikal sebagaimana jenayah yang lain. Walaupun begitu, ramai ulama pasti bersetuju menggunakan bukti-bukti fizikal (tanpa 4 saksi) untuk jenayah rogol.

Berbalik kepada video porno, untuk lebih selamat, kalau mahu didakwa orang yang terlibat dengan video itu, jangan didakwa atas kesalahan melakukan zina, sebaliknya dakwalah atas perbuatan terlibat dengan 'hubungan lucah secara tidak sah'. Sekaligus, kita boleh mengelak dari persoalan hukum qazf, rentetan tidak mempunyai empat saksi.

Poco-poco

Ada yang berpandangan 'asal hukum tarian adalah harus', maka hukumnya harus kecuali sekiranya ada unsur-unsur yang diharamkan. Maka, hukum tarian poco-poco harus sebab tak pasti ada unsur-unsur Kristian atau penyembahan atau pendewaan di dalamnya.

Benarkah, asal hukum tarian itu harus? Sepatutnya kita perlu melihat apakah secara umumnya tujuan tarian itu dilakukan? Rasanya semua memahami bahawa 'tarian' adalah satu alat yang dibawa oleh barat untuk berhibur dan memenuhi tuntutan dan runtunan nafsu, memenuhi tuntutan gejala hendonisme? Tarian dicipta bukan untuk ditarikan secara 'berjubah' dan secara untuk mendekati Allah! Sebaliknya, tarian dilakukan ke arah untuk berhibur dan jauh dari Allah SWT beserta dengan pemakaian yang mengairahkan.

Kecuali bagi minoriti golongan Sufi yang beramal dengan kaedah ini! Itupun dihukum 'bid'ah bagi ramai orang.

Malangnya, ada ustaz-ustaz memberikan pandangan yang terkeluar dari realiti. maka difatwakan diharuskan 'poco-poco' sekiranya tidak ada unsur yang bertentangan dengan Syariat. Ini adalah FATWA YANG TERKELUAR DARI REALITI! Kita menunggu kelak, dilaksanakan tarian dalam keadaan 'tanpa muzik yang melalaikan', menutup aurat, tidak bercampur lelaki dan wanita', wanita tidak mengolek-golekkan badan di depan lelaki! Apakah perkara ini mampu dilakukan dalam tarian di dalam masyarakat kita pada hari ini? Hakikatnya mereka telah memberikan fatwa HARUS tarian tanpa berpegang kepada realiti bahawa tarian aktiviti penuh dengan kemungkaran!

Wallahu Taala a'lam.

Abu al-Izz.

Tuesday, 29 March 2011

Haram judi

Alhamdulillah, Kerajaan Negeri tidak tunduk kepada pelbagai tekanan politik dalam isu judi ini. Semoga masyarakat kita yang Islam mahupun bukan Islam terselamat  dari bencana judi. Umat seharusnya bersatu dalam isu judi walaupun berbeza dari pendekatan dan parti politik.

Abu al-'Izz 


Pas Kelantan kekal haramkan big sweep 

(sumber: Utusan Online)

KOTA BHARU 28 Mac - Kerajaan Pas Kelantan akan terus mengekalkan pengharaman penjualan tiket judi big sweep selepas mendapati tindakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju dengan tindakan itu selepas melihat semula pengharaman tersebut dari aspek perundangan.

Beliau berkata, perkara tersebut juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini dan mendapati ia selaras dengan Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan iaitu kerajaan negeri boleh memberikan arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya melaksanakan dasar yang ditetapkan.

"Dalam hal judi, dasar kerajaan negeri tidak membenarkannya sama ada dijual dalam premis atau di luar premis.
"Bagaimanapun, memiliki tiket judi bukan satu kesalahan, oleh itu kita benarkan tiga premis yang diserbu sebelum ini supaya dikompaun dan mereka boleh ambil baik tiket loteri, kalau hendak guna sendiri terpulang, tetapi tidak boleh dijual," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Pada 16 Mac lalu Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan Azlan supaya melihat semula pengharaman penjualan judi 'big sweep' kerana ada pihak yang berpendapat ia bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu tiga buah kedai yang menjual tiket loteri 'big sweep' mendapat bantahan MCA dan DAP.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek turut mengarahkan MCA Kelantan supaya membawa perkara itu ke mahkamah.

Nik Abdul Aziz turut mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjelaskan perkara tersebut.

Takiyuddin berkata, pengharaman itu dikekalkan berdasarkan keadaan persekitaran negeri ini dan tidak membabitkan negeri-negeri lain.

Saturday, 24 July 2010

ULASAN TERHADAP ARTIKEL: kUMPULAN DAKWAH DIANGGAP BERDOSA, UMNO BAGAIMANA

Saya mengikuti Seminar Pemikiran 2, Anjuran Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan bertindak juga sebagai pembentang pada hari kedua. Seminar sebenarnya berjaya menghuraikan hujah-hujah secara akademik terhadap isu-isu yang menjadi fitnah kepada Ahlussunnah wal jamaah dan cabaran yang sedang dihadapi tanpa menyentuh mana-mana parti politik di atas sifatnya akademik. 

Malangnya ada komen yang bertentangan dengan fakta seminar dikeluarkan oleh Harakah Online, pada 24 Julai 2010. Saya secara peribadi kecewa kerana akhbar ini mengeluarkan artikel yang berbau 'fitnah' oleh penulisnya (bukan penulis Harakah). Semoga Harakah sebagai akhbar Parti Islam, lebih berhati-hati menyiarkan di atas sifat 'fatabayyanu', apatah lagi penyokong PAS berada pada kedua-dua aliran. Kalau tidak ada sifat ini, apa beza Harakah dengan akhbar lain? 

Pada saya, ini adalah satu tindakan terancang pihak Wahhabi untuk mengaitkan mana-mana seminar dengan nama Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz dengan mana-mana usaha menentang ekstremis dan wahhabi untuk menjadikan orang-orang PAS marah. Pernah nama Ustaz Hj Hadi dilibatkan sekali oleh golongan Wahhabi, apabila nama pemimpin mereka disebut sebagai mempunyai 'link' dengan ekstremisme. Setelah saya periksa dengan pihak pembentang, tidak ada pun nama Ustaz Hadi disebut dalam taklimat tersebut. 

Semoga anak muda ini lebih adil apabila membuat sesuatu komentar. Menggunakan nama PUM dan lulusan UM agak mencemarkan nama dua institusi tersebut kerana penulis telah membuat banyak fitnah yang besar kepada program tersebut.

Lihat komen saya di bawah:

Kumpulan dakwah dianggap berdosa, Umno bagaimana
Mohd Dzul Khairi

Tahniah kepada Jabatan Akidah Universiti Malaya yang telah berjaya mengadakan Seminar Pemikiran Islam baru-baru ini. Bagaimana pun, saya memiliki pandangan tersendiri dalam bab ini. Saya ingin mengucapkan tahniah terlebih dahulu kepada guru saya, Prof Madya Kamil Abd Majid, Dr Khalif Muammar, Dr Fauzi Zakaria dan Dr Lokman atas pembentangan yang menarik.

Saya merumuskan pandangan saya dalam bentuk sebegini:
1. Tiada guna untuk mengambil sikap suka menyalahkan pandangan orang lain. Golongan ekstremis kalangan Asya’irah suka mengkafirkan kumpulan ‘wahhabiyyah’ dan begitulah sebaliknya. Ia langsung tidak membina ummah bahkan merosakkan perpaduan sesama umat Islam.
(Dr Asmadi: Satu fitnah yang besar apabila tidak ada satu pun tuduhan takfir dalam seminar tersebut. Ahli panel hanya mengemukakan bagaimana golongan Wahhabi tersebut menyamakan ahlussunnah aliran Asyairah setara dengan musyrikin Makkah, dan bagaimana mereka juga dikatakan lebih buruk dari Yahudi! Pembentang-pembentang menjawab tuduhan-tuduhan Wahhabi terhadap Ahlussunnah. Bahkan ada juga pembentang mengkritik aliran Ashairah yang melampau dan menggunakan cara pihak lawan yang melampau kerana menggunakan takfir pada sesetengah ulama).

2. Pemikiran sebegini sudah mula menular kalangan anak muda yang masih terlalu cetek ilmu. Lalu, apabila mereka mempelajari sebuah dua kitab, mereka terus berani mengkafirkan ulama-ulama besar termasuklah Tuan Guru Nik Aziz. Pemikiran dan budaya mereka bukan sahaja tidak membangun bahkan meruntuhkan Islam. Mereka sangat suka mengkafirkan al-Qaradawi yang sudah terlalu banyak berjasa kepada umat Islam sedangkan mereka masih teraba-raba dalam kegelapan.
(Dr Asmadi: Ini juga satu fitnah. Tidak ada sepatahpun nama Tuan Guru Nik Aziz dicerca apatah lagi mengkafirkannya dan mengkafirkan al-Qardhawi disebut dalam seminar tersebut. Bahkan seorang pembentang menyeru supaya TG Nik Aziz tidak sepatutnya ditolak pandangannya).

3. Kumpulan anak muda ini sangat gemar untuk menuduh dan menyerang kumpulan dakwah. Hanya ada satu dua silap kumpulan dakwah namun tuduhan mereka sangat besar seolah-olah kumpulan dakwah telah melakukan satu dosa yang teramat besar. Namun yang menariknya, mereka tidak berani pula untuk menyatakan apakah status Umno pada pandangan mereka.
(Dr Asmadi: Membuat satu penyataan umum serangan terhadap kumpulan dakwah. Pembentang hanya menyatakan kelemahan sesetengah badan dakwah yang tidak menentu akidahnya. Tidak adapun tuduhan terhadap parti politik termasuk parti Pas atau Umno).

4. Seminar ini akhirnya tidak membawa impak yang sangat besar kepada perkembangan dan keutuhan akidah di Malaysia. Ia tidak lebih ingin mempertahankan akidah Asya’irah dan menuduh kumpulan selain mereka, tetapi mereka tidak membincangkan bagaimana untuk menyelamatkan akidah anak muda Malaysia sekarang. Lalu seorang Imam menggelengkan kepala apabila mengikuti seminar ini kerana beliau tidak mampu membawa sesuatu yang sangat bermakna kepada masyarakat.
(Dr Asmadi: Satu persepsi yang melihat semua usaha orang lain adalah negatif. Tetapi bila pihak yang lain, (mungkin penulis adalah pendokongnya), penulis tidak pernah membuat ulasan ini)

Saya tidak memusuhi seminar tersebut, jauh sama sekali. Ada beberapa pembentangan sangat menarik seperti mana nama-nama pembentang yang saya nyatakan. Namun ada beberapa kertas kerja lebih bersikap menghukum dan tidak mendatangkan penyelesaian yang efektif. Mereka lebih suka untuk membincangkan ayat-ayat mutasyabihat yang sudah lama dibincangkan oleh ulama terdahulu. Bagi saya, apa guna memanjangkan perselisihan yang sudah lama berlaku.
(Dr Asmadi: Saya setuju, sepatutnya kita tidak perlu berbicara masalah ini. Namun disebabkan fitnah 'sesat- menyesat' dan bid'ah membid'ah', kita terpaksa memperkatakannya, sebab hujjah kena didatangkan dengan hujjah, jika tidak kesesatan dikatakan kebenaran).

Daripada membincangkan soal Allah, apakah tangan dan wajah Allah, lebih baik kita membincangkan apakah perintah Allah kepada kita. Allah tidak pernah menyuruh kita membincangkan tentang zatnya, sama ada tangan membawa maksud kiasan atau tidak, tetapi Allah menyuruh kita melakukan dakwah, amar makruf dan mencegah kemungkaran, memerangi rasuh dan riba, mengangkat orang beriman sebagai pemimpin dan menyebarkan kesejahteraan kepada ummah.
(Dr Asmadi: Tentang ayat-ayat mutasyabihat tu kena bicangkan juga mana yang betul mana yang tidak, kalau tidak, boleh rosak iman kalau sampai mentajsimkan Allah SWT. Namun, saranan ke arah menegakkan kalimah Allah, memang perlu diteruskan)

Sudah ramai pelajar yang masih muda, hatta yang baru menginjak usia 13 tahun yang bacaan al-Quran masih terangkak-rangkak tetapi sudah berani menghukum ulama termasuk Imam al-Syafie. Apa yang mereka dapat? Populariti? Begitu juga sesetengah kumpulan pondok yang jumud, yang suka mengambil pendekatan menyalahkan ulama yang terlibat dalam politik sedangkan mereka hanya tenggelam dalam dunia pondok dan kejumudan semata-mata.

Begitu juga golongan yang beranggapan mereka aliran al-Quran dan hadis, terlalu suka menuduh dan mendakwa pendekatan mereka terbaik. Akhirnya, budak mat rempit dan penghisap ganja terus berada dalam kegelapan dalam kebutaan orang yang mengaku berilmu agama.

Beberapa golongan mendakwa dakwah nabi bermula dengan akidah. Jadi, lupakan politik dan lain-lain, perkukuhkan akidah. Jika benar ini yang mereka perjuangkan, saya mahu mencadangkan beberapa perkara. Jika benar kalian mahu mengikuti nabi dengan membentuk akidah terlebih dahulu dan melupakan dakwah, maka pedulikan soal arak, judi, riba, bukalah aurat, kerana nabi tidak pernah memperjuangkan perkara tersebut sepanjang berada di Madinah. Saya tergelak apabila seseorang berkata kepada kawan saya, “Ustaz, sekarang ni kena teguhkan akidah dulu, pedulikan soal dakwah”. Anda hukumlah pemikiran ini sendiri.

Kumpulan yang berani mengkafirkan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi ini, mereka hanya berani bercakap sahaja. Jika kita meminta mereka untuk mengkafirkan PM Najib, pasti mereka tidak berani. Kerana PM ada kuasa sedangkan dua orang Tuan Guru tadi tiada kuasa. Namun sekarang seolah-olah Tuan Guru yang memiliki sebahagian pemikiran ‘kaum muda’ kononnya dianggap sangat berdosa jika dibandingkan dengan orang yang menganut aliran sekularisme dan liberalisme.

(Dr Asmadi: Satu lagi fitnah penulis, tidak ada pun 'takfir' terhadap dua tuan guru tersebut, dan tidak disebutpun nama mereka. Kelihatannya, penulis ingin menyeret nama dua tuan guru ini dengan gerakan ekstrimis yang membid'ahkan umat) 

Saya di peringkat Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama akhirnya ingin mencadangkan agar lain kali dibincangkan bagaimana menerapkan akidah yang utuh kalangan Rakyat Malaysia yang terjebak dengan banyak gejala hitam, bukan lagi menyibukkan diri membincangkan tentang zat Allah, Ibn Taymiyah dan Imam Ghazali lagi. Mereka sudah meninggalkan kita dengan jasa yang banyak sedangkan kita belum tentu lagi kedudukan di sisi Allah.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor,
Ketua Syubban Persatuan Ulama Malaysia.

Sunday, 6 June 2010

BERI LESEN UNTUK HALAL JUDI 'PENDEK AKAL'.

Cukuplah dengan pelbagai gejala sosial yang dilakukan secara 'halal' atau secara 'haram'. Menghalalkan perkara haram menggunakan hujah akal dan 'cukai' akan mengundang bala dan bencana kepada masyarakat. Selepas ini mungkin pelacuran juga dibenarkan atas alasan rugi kutipan cukai sebab ia dilakukan secara haram! Semoga umat Islam dan masyarakat bukan Islam akan terlindung dari bencana judi yang merosakkan institusi keluarga dan masyarakat. Sila klik pada tajuk untuk membaca terus dari Harakahdaily 6 Jun 2010, atau baca di bawah. Selamat membaca.


Beri lesen untuk halal judi ‘pendek akal’


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyifatkan mereka yang meluluskan lesen judi kerana mahu menyekat aktiviti 'judi haram' adalah golongan `pendek akal’. Setiausahanya, Nahar Mohd Noor berkata, bukan caranya untuk ‘menghalalkan’ judi dengan mengeluarkan lesen judi.

Beliau berkata, jika demikian kemungkinan pelacuran dilesenkan untuk menghalalkannya.

“Orang pendek akal melakukan demikian,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan ringkas pada Pelancaran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) di hadapan sebuah kompleks membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, petang ini.

Turut berucap ialah Pengerusi GMJ, Mohd Azami Abdul Hamid dan wakil sebahagian daripada 21 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai gerakan itu.

Mereka turut menyebarkan risalah mengenai Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi Sukan yang akan diadakan pada 3 Julai ini untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Nahar menegaskan bahawa perkara yang buruk dan haram seperti judi tidak boleh diatasi dengan cara memberi lesen. Katanya lagi, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia akan menyebabkan rakyat terus terperangkap dengan ketagihan judi.

Menurutnya, kajian menunjukkan mereka yang terperangkap dengan kes along kerana terlibat dengan perjudian.

Berucap pada majlis yang sama, Setiausaha Abim, Rahimi Abdul Rahman pula melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana bantahan rakyat terhadap judi sukan itu tidak disambut oleh media arus perdana.

Sehubungan itu, beliau berharap media arus perdana turut memainkan peranan untuk membantah kelulusan lesen judi itu bagi menyedarkan masyarakat.