Friday, December 11, 2009

Majalah Komik Upin & Ipin dipasaran

Pada 8 Disember 2009 yang lalu telah berlangsungnya majlis pelancaran Majalah Komik Upin & Ipin yang diadakan di Kelab Shah Alam, Selangor. Pelancaran majalah tersebut yang dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian, Datuk Dr Mohammed Daud sekaligus menambah satu lagi produk Upin & Ipin yang berada dipasaran. Majalah Komik Upin & Ipin ini diterbitkan oleh Nyla Sdn Bhd dan dijual dengan harga RM4.90 untuk semenanjung Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Penerangan,
Datuk Dr Mohammed Daud ketika membaca teks ucapan

Suasana ketika majlis pelancaran

Di dalam majalah ini, semua pembaca bukan sahaja dapat membaca siri Upin & Ipin dalam bentuk komik malahan ianya akan dilengkapi dengan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti serta buletin Upin & Ipin. Isu pertama ini yang telahpun berada dipasaran ini sudah boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negara. Dalam isu-isu akan datang lebih banyak elemen-elemen menarik akan dimasukkan secara berperingkat. Mengikut Pn Afiza (Pengarah Pemasaran LCP) permintaan terhadap majalah Upin & Ipin sebenarnya telah lama wujud dan kini sampailah masanya ianya dipasarkan kepada semua pembaca dan peminat setia Upin & Ipin sebagai salah satu koleksi simpanan mereka.

Puan Afiza, Pengarah Pemasaran Les' Copaque Production

Datuk Dr Mohammed Daud, menandatangani
replika majalah komik Upin & Ipin

Maskot Upin & Ipin bergambar
bersama Majalah Komik Upin & Ipin

Pada majlis pelancaran tersebut, maskot Upin & Ipin juga turut membuat penampilan dan merupakan sebahagian dari gimik pelancaran. Lebih 50 orang tetamu termasuklah para wartawan, rakan-rakan dan tetamu terhormat menghadiri majlis pelancaran ini. Jadi kepada peminat-peminat setia Upin & Ipin jangan lupa untuk mendapatkan majalah terbaru ini dan segala komen atau pendapat mengenai majalah komik ini bolehlah diajukan ke majalah@upindanipin.com.my