Showing posts with label Kitab Terfaktab. Show all posts
Showing posts with label Kitab Terfaktab. Show all posts

Wednesday, July 08, 2015

Kalau Tak Kerana Kau Bakar Dia.


Sejak kebelakangan ini, aku selalu terdengar lagu "Terima Kasih Kekasih" dalam radio. Mula-mula memang aku keliru sebab aku tak faham apa yang dimaksudkan. Bila ada seseorang kongsi lirik dia di laman sosial, baru aku tahu apa yang dinyanyikan. Aku cuma dengar semata. Aku tertarik dengan bahagian ini :

Terima kasih kekasih kekasih 
Yang telah mengoyakkan jantungku  
Terima kasih kami menghargai  
Kalau tak kerana kau bakarku  
Ku takkan jumpa cinta yang baru -

Aku rasa, benda sama dirasakan oleh manusia-manusia yang dikhianati oleh pasangan mereka, tidak kira tentang apa, rasa bersyukur pada satu tahap, jika tidak kerana dikhianati, disakiti oleh pasangan (yang mungkin telah jadi bekas pasangan), mereka telah jumpa cinta baru yang lebih membahagiakan. Disebabkan mereka pernah dikhianati, tidak dihargai, maka, mereka sangat menghargai keadaan apa yang mereka ada sekarang ini. Selalunya manusia begini berjumpa dengan seseorang yang lebih baik kerana mereka telah melalui perkara yang menyakitkan sebelum ini. 

Trauma?
Mungkin juga jika kesan yang ditinggalkan terlampau mendalam. Kita tidak akan pernah tahu masalah yang mereka hadapi disebabkan kekecewaan yang mereka hadapi. Jika mereka bertemu seseorang yang baru dan jika anda adalah pasangan yang mengecewakan mereka suatu ketika dahulu, adalah lebih baik anda mendoakan yang terbaik buat mereka. Bukan menyeret mereka lagi ke arah kesengsaraan atau kesakitan.

Anda tidak pernah tahu.
Jika anda menyakiti seseorang yang cintakan anda sepenuh hati, mungkin anda akan mengalaminya sendiri dalam hubungan yang akan datang. Ketahuilah, jika tidak terkena kepada anda, ia mungkin akan terjadi kepada keluarga, rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang rapat dengan anda. Jika ia berlaku, anda perlu fikir kembali. Adakah anda pernah mengoyakkan hati dan jantung sesiapa?

Dan untuk yang kecewa.
Ketahuilah perasaan itu boleh diatasi. 

[Sumber gambar]





Tuesday, December 24, 2013

Dunia Baru dan Konotasi Rasa.


Salam.
Lama sudah tidak menulis dan berkongsi cerita. Barangkali disebabkan oleh banyak perkara berlaku --- dan aku memilih untuk menulis di Twitter dan Instagram sahaja. Kekangan masa untuk duduk dan menulis menyebabkan malas dan akhirnya, DSZ sedikit terbengkalai.

Mungkin bagi yang mengikut aku di Twitter dan Instagram sudah tahu beberapa perkara seperti :

1. Aku sudah berhijrah mengikut suami ke Selangor.
2. Aku bakal memulakan tugas di tempat baru.
3. Aku sedang menyesuaikan diri dengan keadaan sesak bersama warga bandar.

Ha ha ha.

http://distilleryimage7.ak.instagram.com/446bc98c60d211e3bc0512cf84830b09_8.jpg
Hadiah perkahwinan yang kami buka selepas 6 bulan berkahwin. :D

Masuk ke rumah baru (sebenarnya apartmen kecil sahaja untuk berdua), banyak benda yang perlu dilaksanakan. Dengan deposit, dengan barang-barang keperluan --- Ya Allah, jumlah yang dibelanjakan bukannya sedikit. Sekadar peringatan kepada bakal-bakal pengantin, janganlah berbelanja secara menggila dengan niat meraih pujian dan meningkatkan status semasa majlis kalian --- duit banyak mahu digunakan nak memulakan hidup. Sekurangnya, kami bersyukur kerana memilih secara sederhana dan punya sedikit belanja mahu mulakan hidup bersama selepas 6 bulan duduk jarak jauh.

Benda paling penting buat kami berdua?
Internet.

Ha ha ha.

Dan ya, memandangkan ada yang bertanyakan apa benda asas yang aku dapatkan untuk diri apabila masuk ke rumah ini, jawapan aku ada 2 benda yang sangat kritikal bagi aku.

1. Peti sejuk.
2. Mesin basuh.

Sekadar rekod, aku ada dapat hadiah dapur masak. Kalau tak ada dapur masak, akan jadi tiga lah. :D Memandagkan rumah pun aku cari menggunakan Internet serta kaedah tradisional (yang mungkin aku akan kongsi nanti) --- dua benda tu pun aku beli menggunakan Internet. Ya, peti sejuk dan mesin basuh pun aku beli gunakan internet. 

Dalam berita lain, Terfaktab telah melancarkan buku baru iaitu Konotasi Rasa. Kitab Terfaktab ke-4 ini mengandungi dua artikel daripada aku. Kalau berkenan, bolehlah hubungi mereka dan dapatkan cara pembeliannya. Banyak artikel yang boleh dibaca di dalam tersebut yang barangkali berguna untuk anda semua.

http://distilleryimage10.ak.instagram.com/90998f54621e11e3a04a12011bcf227e_8.jpg
Dengan peneman paling setia.

Sampai di sini sahaja.
Sayang anda semua.

Sunday, April 29, 2012

Kitab Terfaktab - Nakal Tapi Halal


Kelahiran kedua.
Terbitan anak-anak muda.
Bagi menghasilkan pembacaan jiwa.
Bagi berkongsi rahsia.
Bagaimana mengatasi masalah tiba.
Semua orang pernah merasainya.
Yang berlainan mungkin cara mengatasi sahaja.

"Melepaskan seseorang yang kita sayang atau cintai sepenuh hati bukan bermakna kita seorang yang kalah. Kita mungkin sedang membina masa hadapan yang lebih baik dengan ketiadaan mereka. Jadi sekalian, kuatkan diri, kuatkan semangat ya?"
  Lord Zara : Kitab Terfaktab - Nakal Tapi Halal

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhetYKsUHpK5r2QHTgh6ZXtXwolLRsCpnex4xoiFjEAp_xW2keOCiuqlM499sVrULaE5lQ8eoMlCNMR-mLT6FT2Y2d9aJy1fs8wWdXXEYNuW6LOgcVl6JnXhjbBznwspHWTCCfCTfapVQ/s1600/cover+kitab.jpg


Menulis dua artikel. Membuat  temuramah dengan Neddo Khan penulis Kelabu yang cantik dan baik hati. Dan ya, hari ini bakal bertemu mereka yang menyokong selama ini. Sekalian dijemput hadir.

Tarikh : 29 April 2012
Masa : 4 petang
Tempat : Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PWTC.

Kebanyakan daripada Skuad Terfaktab akan berada di sana. Jadi, bawa bertenang dan belilah Kitab Terfaktab ini. Jumpa di sana, insyaALLAH.

Saturday, December 31, 2011

Dua Puluh Sebelas : Sorotan Dan Rangkuman



Hari ini hari terakhir dua puluh sebelas.
Macam baru semalam aku menulis tentang dua puluh sepuluh. Tentang bagaimana tahun dua puluh sepuluh sebagai satu tahun menolak kematangan diri. (baca sini). Tahun dua puluh sebenarnya adalah tahun di mana aku secara dalam diamnya mendaki dan berusaha untuk menulis secara serius bagi tahun dua puluh sebelas. Ya, bagaimana dua puluh sepuluh sudah ditinggalkan, dua puluh sebelas juga bakal melabuhkan tirai.

Dalam tahun dua puluh sebelas, pelbagai peristiwa berlaku. Setiap satunya pasti meninggalkan kesan dan pengajaran untuk memberikan lebih baik pada tahun dua puluh dua belas. Sebagai catatan, tahun dua puluh sebelas bakal aku tinggalkan dengan tiada satu pun istilah percutian. Ya, tiada. Kegilaan aku pada kerjaya dan  entah apa yang merasuk semangat aku untuk tidak kenal erti penat dan lelah berusaha mencapai apa yang aku mahukan. Mungkin ada yang sudah menjadi milik aku, mungkin juga ada yang terlepas dari genggaman serta ada juga yang sudah aku lupakan dalam perjalanan. Hidup perlu diteruskan, bukan?

Senyum.
Itulah satu benda yang aku tidak pernah tinggalkan dalam hidup sepanjang dua puluh sebelas. Jujurnya, aku akan sentiasa pastikan senyuman itu tidak akan menjauh dan terus dibawa ke tahun hadapan dan seterusnya. Kalaupun mungkin aku akan menangis seketika, aku tidak mahu senyuman itu lekang kerana ia dapat mengusir derita. Walaupun orang kata itu satu langkah berpura, kau sebenarnya tidak tahu bila kau akan tersenyum lagi nanti.

[Sumber gambar] - Mari kita lihat apa yang telah dilaksanakan sepanjang dua puluh sebelas.

Januari. [pautan]
Aku mulakan Januari dengan tahun kedua berkhidmat sebagai seorang guru. Dengan tugasan yang bertambah serta banyak lagi benda menyeronokkan termasuk kegiatan aktiviti luar, aku memastikan setiap apa yang aku buat tersusun supaya apa yang aku mahukan terhasil dengan baik. Awal tahun juga kesibukan melanda, tapi aku masih menulis seperti biasa. Dalam aku saling memberikan imbangan yang aku rasa sudah cukup baik antara kerjaya dan kehidupan peribadi, aku diuji dengan kehilangan manusia yang aku cintai pada penghujung Januari. Aneh kenapa tiada dalam Dunia Sebelah Zara?
Senyum.

Februari. [pautan]
Menerima hakikat kehilangan setelah lama bersama bukanlah mudah aku rasa. Cuma bila berhadapan dengan situasi menyakitkan seorang diri, apa yang penting adalah bagaimana menguatkan diri sendiri. Aku rasa disebabkan aku menulis dengan lebih serius tentang perasaan manusia, tentang bagaimana menghadapi masalah dan sebagainya, Dunia Sebelah Zara telah menjadi satu daripada keutamaan aku selain daripada kerja hakiki. Pada bulan ini juga, aku telah dilamar menjadi sebahagian daripada tenaga kerja Terfaktab. Oh ya, bulan Februari juga menyaksikan aku memulakan misi mustahil aku sendiri - tidak makan nasi.

Mac. [pautan]
Bersedia untuk menghadapi peperiksaan - salah satu benda wajib dalam perkhidmatan aku. Saat ini, aku bergelumang dengan nota, latihan dan tugasan yang sudah lama aku tinggalkan. Aku belikan diri sendiri sebuah meja belajar, untuk duduk memberikan tumpuan. Puan Mulia kata aku gila sebab aku memilih untuk beli meja belajar berbanding dengan meja solek. Tapi, dengan meja belajar juga aku boleh bersolek. Bukan kalian tidak kenal kegilaan aku kan?

April. [pautan]
Aku lebih fokus menulis tentang benda yang berlaku dalam hidup aku dan manusia di sekeliling aku. Masa ini aku sudah buang segala perasaan mengarut aku pada benda yang tidak membawa kepentingan langsung. Kegilaan aku pada kerjaya memuncak mulai saat itu. Keseronokkan yang aku dapat daripada apa yang aku buat, tidak termasuk aktiviti luar dan sekolah membuatkan aku lupa segala masalah dan dapat memberikan tumpuan lebih banyak pada diri sendiri dan keluarga. 

Mei. [pautan]
Orang lain mungkin bercerita tentang cuti, tapi aku lebih suka memikirkan kerja aku. Menulis dan terus menulis walaupun banyak kritikan dan komentar yang tidak membina dilemparkan. Aku seperti biasa, hadam segala duka, telan segala kepahitan supaya tidak akan ada jiwa yang tercedera. Cukuplah dengan apa yang aku terpaksa lihat depan mata. Oh, penghujung Mei - Ketua Keluarga Hebat, Puan Mulia dan adik bongsu aku melakukan umrah lagi, bersama dengan beberapa anggota keluarga. Bermula episod aku menjaga adik beradik di rumah ketika cuti dengan mengorbankan kegiatan luar aku semasa cuti.

Jun. [pautan]
Amanah yang ditinggalkan, alhamdulillah dapat dilaksanakan secara baik. Aku banyak belajar bagaimana menguruskan rumah tanpa kehadiran orang tua, belajar memasak secara aku seorang sahaja yang menguasai dapur, menguruskan kewangan dan sebagainya. Tapi malangnya, kegembiraan menyambut orang tua aku di lapangan terbang dicemari dengan insiden yang merobek hati aku sebagai seorang manusia. Herdikan dan makian yang aku terima saat itu daripada manusia yang aku pernah kagumi merubah persepsi aku terhadap apa yang kita panggil sebagai berhemah dan rasa hormat aku terhakis serta merta. Apa pun yang berlaku saat itu, aku dengan gembiranya tahu bahawa aku masih punya Emak dan Abah serta adik beradik yang sentiasa percaya dengan aku. Alhamdulillah.

Julai. [pautan]
Siapa sangka permulaan bulan yang baik akan berubah dalam masa yang sangat singkat? 20 Julai, aku kemalangan dengan Adam Awraq kesayangan yang belum pun mencecah setahun remuk habis di bahagian hadapan, petang dalam perjalanan aku pulang dari sekolah. 22 Julai, dalam jam tiga pagi, rumah aku dimasuki perompak bersenjata seramai empat orang. Segala harta benda berharga direnggut daripada kami sekeluarga. Dan itu adalah tiga hari penuh menyakitkan sepanjang tahun dua puluh sebelas sebenarnya. Malang yang bertimpa di saat Ramadhan bakal menjelma. Hilang pengangkutan disebabkan Adam Awraq ditarik ke bengkel dan telefon genggam memutuskan aku terus daripada semua kenalan sekian lama. Dalam kesedihan yang aku hadapi, sebenarnya aku nampak bahawa rakan alam maya banyak membantu aku sebenarnya. Twitterjaya terutamanya.

Ogos. [pautan]
Awal Ramadhan disambut dengan penuh kesederhanaan seperti biasa. Tetapi, episod penderitaan sebenarnya baru sahaja mahu bermula. 10 Ogos bersamaan dengan 10 Ramadhan, Puan Mulia jatuh di longkang kecil sekolah. Panggilan yang aku terima di sekolah buatkan aku bergegas ke sekolah dia hanya untuk mengejar ambulans yang membawa dia ke pusat kesihatan berhampiran. Pemeriksaan selanjutnya di hospital hanya memberikan kepastian terseliuh yang kami sangka rupanya patah buku lali kanan. Itu tamparan hebat kepada seorang yang kuat bekerja seperti Puan Mulia. Bermalam di hospital bersama dia dan aku mengambil alih sepenuhnya urusan di rumah. Alhamdulillah, pengalaman ditinggalkan selama dua minggu sebelum itu amat membantu. Adam Awraq juga kembali pulih. Selain itu, pada 25 Ogos, kembar yang selama ini aku kenal dengan gambar, perbualan semata-mata datang ke rumah aku. Kali pertama bertemu, bertentang mata secara alam nyata, kasihan, dia dapat hadiah yang pastinya dia tidak akan lupa. 29 Ogos - aku menginjak usia dua puluh empat tahun.

September. [pautan]
Aidilfitri yang menjelma pada penghujung Ogos disambut dengan sedikit kemurungan dengan keadaan Puan Mulia yang masih cedera, tapi kehidupan diteruskan seperti biasa. Dengan Adam Awraq sudah kembali dalam tangan, aku dihimpit dengan kesibukan semula. Pergi kursus, ekspedisi, kegiatan luar, berbasikal dan sebagainya mengisi jadual aku sepanjang bulan September, termasuk beraya dan juga menghadiri majlis graduasi seorang kenalan lama. Buat kali pertama, aku menghadiri #twtupraya bersama dengan kenalan Twitter yang pulang beraya di Muar. Kenangan terindah bersama dengan manusia yang aku kenal di alam maya tentunya. Di samping itu, aku bekerja dengan lebih gila sebagai bayaran selepas sebulan menyisihkan aktiviti sempena menghormati bulan puasa.

Oktober. [pautan]
1 Oktober membawa tulisan aku ke satu dimensi baru. Bersama dengan Terfaktab, kami melancarkan Kitab Terfaktab #1 di Uya Distro. Satu pengalaman baru melihat tulisan aku yang selama ini hanya boleh dibaca di blog sudah tercetak (dan alhamdulillah, dikhabarkan sudah masuk cetakan kedua dan masih banyak tempahan lagi). Tahniah kepada semua skuad Terfaktab dan mereka yang sentiasa menyokong kami. Dalam kesibukan berkejar ke Subang Jaya, dan sebagainya, aku memulakan tugas sebagai pengawas PMR buat kali pertama. Bulan Oktober sememangnya sibuk dan ini kali pertama aku melihat peperiksaan sebagai satu bentuk pertempuran buat diri sendiri juga. Kali pertama memegang kelas Tingkatan Tiga.

November. [pautan]
Di sebalik kesibukan peperiksaan akhir tahun, dan juga raya Aidiladha - aku dapat tugasan lagi. Menjadi pengawas peperiksaan SPM. Betapa aku mencari pengganti, tiada siapa yang mahu. Dalam aku memberontak, aku pergi juga melunaskan arahan. Kan kerja aku adalah SYMP - "Saya Yang Menurut Perintah". Aku terpaksa melupakan aktiviti kokurikulum aku yang menyeronokkan. Berkorban dan keinginan aku juga terkorban. Terpaksa melupakan lawatan ke Perlis dan Selangor. Terpaksa melepaskan peluang menyertai cabaran. Tahniah kepada diri sendiri yang dengan tabahnya tidak buat apa-apa selain menjaga peperiksaan. Sedih. Oh, aku juga mulakan menulis dengan lebih gigih untuk bulan Disember. Ramai kawan-kawan melangsungkan perkahwinan, dan ada yang terpaksa aku tolak undangan dengan baik akibat kesibukan. Seorang kawan baik sejak tiga belas tahun yang lepas melangsungkan pertunangan. Berada di samping dia saat itu, buatkan aku gembira kerana dapat meraikan hari bahagia.

Disember [pautan]
Akhirnya berakhir juga SPM. Aku dapat tumpukan pada acara terbesar dalam takwim kerja aku sebagai seorang jurulatih dengan program basikal peringkat kebangsaan. Sekurang-kurangnya, ada juga benda yang aku suka dapat aku buat. Kenal dengan lebih ramai orang, belajar banyak benda baru dan bertugas dengan cara pimpinan yang berbeza setiap hari membuka mata aku tentang bagaimana manusia perlu terus hidup atas dunia ini. Jujurnya, mereka adalah keluarga yang aku tidak mahu hilang selagi aku terus hidup dan kekal dalam kerjaya ini secara amnya. Oh, selain daripada itu, buku kedua aku muncul pada 10 Disember 2011. Dengan tajuk HERO, aku satu-satunya penulis perempuan di dalam antologi yang menampilkan lima penulis itu. Dilancarkan di Uya Distro (sekali lagi) - dengan kehadiran manusia-manusia yang aku sayang, tapi hanya mampu luahkan dalam hati, aku sangat gembira atas semua kurniaan Ilahi. Aku punya sahabat-sahabat yang baik, keluarga yang menyokong serta pembaca budiman yang aku anggap sebagai kawan. Apa lagi aku mahu minta?

http://farm4.staticflickr.com/3158/3080606182_af39d78aaf.jpg
[Sumber gambar] - Jadi bagaimana dengan cerita peribadi? Aku tidak punya jawapan mahu diberi.

Seperti selalunya, aku mengharapkan kalian yang sudi membaca akan terus menyokong Dunia Sebelah Zara sehingga ke penghujungnya. Oh, esok - 1 Januari 2012 - Dunia Sebelah Zara akan memasuki ulang tahun yang ketiga. InsyaALLAH, akan cuba berikan sesuatu kepada pembaca bertuah yang selama ini sentiasa memberikan semangat serta dorongan untuk aku terus berusaha.

Semoga yang terbaik menjadi milik kita semua. Amin.

Nota Kaki :
1. Orang sering bertanya, apakah setiap kali menjelang tahun baru perlu ada azam baru? Aku memilih untuk buat azam baru setiap hari sebab setiap hari adalah permulaan hari yang baru. Lagipun, tahun baru pada aku adalah semasa bergeraknya awal Muharam. Sebab saat itu adalah pertambahan usia aku bermula.
2. Tahun dua puluh sebelas juga merupakan tahun di mana tulisan aku berkurang dengan drastik.

Zara : Selamat menukar takwim anda semua. Selamat memberikan yang terbaik buat diri sendiri dan semua manusia. Jangan terlampau korbankan kepentingan diri hingga merana demi melihat orang lain tersenyum gembira (peringatan kepada diri sendiri sebenarnya). Jaga diri, jaga hati, jaga iman dan aku cuma mahu beritahu yang aku sayang kamu semua.


Tuesday, October 04, 2011

Curang Itu Satu Seni


Dalam Kitab Terfaktab, aku menulis tentang Curang.
Ya, kecurangan adalah satu daripada kekuatan aku dalam menulis kerana aku melalui beberapa fasa dalam hidup yang menunjukkan kecurangan itu membawa kepada siapa aku pada hari ini. Satu demi satu adegan dikhianati, ditikam dari belakang dan kecurangan itu adalah sebahagian daripada segalanya.

Ya, curang itu suatu bentuk seni.
Satu seni yang keji.
Satu seni yang sukar dipelajari.
Satu seni yang bakal memusnahkan hati.
Satu seni yang membawa kepada kemusnahan peribadi.
Satu seni yang menyebabkan orang menjerit sakit sendiri.

[Sumber gambar] - Jika manusia tidak pandai menghargai kamu, mereka tidak layak mendapat ruang dan waktu daripada kamu walaupun sekelumit cuma. Jaga hati sendiri.


Dan melalui proses kecurangan itu bukanlah sesuatu yang malang kerana kita sebenarnya adalah makhluk yang mampu menerima kesakitan yang lebih tanpa kita sedari. Pernahkah kamu terfikir bahawa hati yang kecil itu adalah satu simbol atau tanda betapa proses penggumpalan darah merah hingga membentuk daging itu mampu disimpan terlampau banyak rasa?

Aneh bukan?
Tapi itu rahsia keajaiban ciptaan Yang Maha Esa.

Kita tidak mampu melihat adakah hati yang kita sayang sepenuh jiwa itu penuh dengan kesan calar ataupun luka tikaman belati. Mengapa kita tidak mahu ketawa? Ketawa atas kesilapan yang mungkin kita lakukan, tetapi dalam masa yang sama belajar daripada kesilapan tersebut. Berjenaka dengan masalah yang kita hadapi serta kumpul kekuatan untuk menghadapinya dalam waktu kita menahan rasa itu. Menikmati segala kesusahan yang kita lalui dan jangan lupa untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Semuanya berpunca dengan sifat curang dalam diri manusia.
Ya, setiap manusia memang ada sifat curang.
Kalau tidak pada orang lain, akan ada kecurangan pada diri sendiri.
Tidak percaya?
Renungi diri kita dan tanya satu soalan yang sangat peribadi.


*******


#8 : Hilang : Dari coretan aku di sini.

Ada dan tiada.
Wujud dan tidak wujud.

Tiada.
Tidak wujud (lagi).
Hilang.

Kali pertama, tahu ada.
Kali pertama, mengerti wujud.
Kali pertama sedar tiada.
Kali pertama sedar tidak wujud.

Dia hilang.
Cinta itu pergi bersama dia.
Cinta hilang.

Air mata pernah mengalir.
Walaupun setitis ataupun cuma puncak kemarahan paling nyata, ianya hanyut begitu sahaja.
Dan apakah muncul kebahagiaan bila dia hilang?
Cintanya hilang, sesuatu lain pasti akan wujud.

Kebahagiaan mudah diucapkan walaupun sukar diperolehi dan bersifat sementara.
Malangnya ia sukar dilupakan apabila pembawanya pergi dan hilang (lagi).

Kita senyum.
Kita ketawa.
Kita ukir wajah riang.
Kita sedut nafas bahagia dari ruang atma.

Kalau dia benar seperti yang kita mahukan dan hanya keranaNya, sejauh mana dia pergi dan hilang, dia akan kembali pada kita.

Tapi kalau dia sudah tiada di alam fana?
Nah, redha dan titipkan sahaja Al-Fatihah.
Kerana dia tetap hilang, tetapi dia masih wujud.
Dalam ingatan dan kenangan kita.

Dan aku mungkin hilang (lagi), bila sekali lagi dikhianati.
Pasti.


[Sumber gambar]


Kegembiraan kadangkala akan datang dengan cepat dan pergi dalam sekelip mata. Terbang melayang tatkala tangan mahu menggenggam dengan pantas. Mata hanya akan dapat memandang ia berlalu pergi tanpa menyedari, itulah yang cuba digapai selama ini.


Kecewa?
Istilah itu tidak akan dapat lari dari diri.
Cuma, berapa lama akan membiarkan diri terpuruk dalam kesedihan yang ternyata bukan buatan?
Itu satu persoalan yang berlegar dalam hati.
Diam, biarkan suasana sepi.


Manusia macam aku ada satu kelemahan yang sangat menyakitkan. Aku paling takut kalau aku membuatkan orang disekeliling rasa marah dan terasa hati dengan aku. Sungguh, aku memang takut bila aku terjebak dalam satu keadaan atau situasi di mana aku tidak boleh menang langsung demi menjaga manusia lain di tepi aku. Kelakar bukan?


Satu proses pelarian?
Bukan.
Ini satu proses kehidupan.
Aku memilih untuk terus hidup, bukan atas dasar kasihan.
Bertanggungjawab dalam apa sahaja yang aku lakukan.
Berikan yang terbaik sementara aku masih punya kesempatan.
Ukir senyuman.
Lepaskan nafas perlahan.
Tiada lagi sebarang jawapan

Dan apalah erti sebuah kecurangan?
Bila kau berbangga dengan sebuah kemusnahan?
Celakanya sebuah kehidupan.

Nota Kaki :
Aku akan mula bertugas menjaga PMR.

Zara : Hidup sentiasa menawarkan suatu lagi peluang yang kita panggil sebagai hari esok. Gunakanlah sebaiknya.

Wednesday, September 21, 2011

#WW 11 : Uya Bookstock 2


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEioEqCYZjGDlv3iXvWOuZztkCaVphhKyLt2Nm4juRi-_seddkcipAdo9SZ6bF0_EVZ2CpEXdQvObTljpP45AKHFKG6A2rV6r0ZCToqbKT_EtHVbAlu5o_EVSLT2du0o0nx5CTDNVLw547A/s640/poster_bookstock.jpg
[Hasil culikan dari Akulinglung]

Kalau kamu adalah salah seorang rakan aku berkicau di Twitter, mungkin kamu sudah tahu apa itu Uya Distro dan apa yang mereka tawarkan. Mungkin juga kalau kamu tidak halang (baca : block) atau senyapkan (baca : mute) aku di dalam garis masa kamu.

Pembacaan lebih boleh dirujuk di blog seorang teruna penulis Sperma Cinta yang bakal menamatkan zaman bujang empat beliau buat kali pertama, Akulinglung. Boleh tekan di sini untuk membawa kamu kepada maklumat lanjut yang lebih bergaya.

Dan, 1 Oktober itu adalah hari pelancaran #KitabTerfaktab hasil tulisan kawan-kawan dan aku sendiri di Terfaktab. Kalau nak tengok aku buat persembahan (wah!) ataupun entah apa sahaja dalam tempoh lima minit (katanya!) bolehlah dipersilakan datang. Jangan risau, aku tidak tolak permintaan bergambar ataupun mengenakan bayaran demi satu tandatangan yang sudah terbiasa memeriksa buku murid setiap hari. Apalah setakat dua tiga ratus naskah buku kan?

Mengada betul ayat kau kan Zara?

Nota Kaki :
WW bukan bermakna langsung tidak boleh ada ayat kan? 

Zara : Terima kasih atas kasih sayang gila yang kau berikan buat aku. Ya, aku setiap hari semakin ghairah membaca demi merungkai segala persoalan yang aku cari selama ini.