I
Entri panjang. Membebel. Kalau tak nak bazir masa, scroll bawah baca kesimpulan je. hah.
Saya menonton kisah ini pagi Jumaat lepas, setelah diuar-uarkan oleh Moja dalam fb.
Pergh. Sangat menarik.
Hmm, tak tahu nak mula macam mana.
Latar cerita ini di Parit Jawa, Johor. Dan ya, masyarakat jawa.
Mungkin sedikit komen tentang cerita.
1. Skrip sangat mantap. Bagi saya, ini memang prasyarat pertama untuk meneruskan tontonan. Disusun sangat rapi. Lagi-lagi dengan watak Eman Manan dan Zaharil Adzim yang memang ber'aura' bila menuturkan baris-baris puitis.
2. Satu kelemahan yang sukar dielakkan mungkin, kefasihan watak dalam cerita berbahasa Jawa. Semua orang Jawa boleh mengesan rasanya yang mana satu 'ori', mana satu baru berlatih berhari-hari. Dialog berbisa bahasa jawa, bila dituturkan biasa-biasa, terasa kurang ummphnya. Terbaik tentulah Ruminah Sidek, yang memang sebenarnya orang jawa, menguasai sekali halus lenggok bahasanya.
3. Scene baca Yasin yang sangat real, memang macam di Tanjong Karang. Maksud saya, pakcik-pakcik berumur hampir setengah abad membaca yasin dengan loghat jawa bersisa. Nasi ambeng, tempe. Budaya-budaya jawa yang masih diamalkan hingga kini.
4. Scene paling menyentuh hati tentulah scene akhir, ketika Ruminah Sidek duduk di pokok, yang memberi 'tazkirah padu' buat anak-anaknya, seperti dalam sedutan video di atas. Seminggu saya ulang-ulang je scene ini. Sangat hidup. Lagi scene bes perbualan Zahiril dengan abangnya tentang burung botak di tepi pantai. Zahiril membawa diri ke pantai dengan pen dan kertas. 'Tipikal'. hah.
II
Menonton cerita ini terus teringat seisi keluarga di tanah air. Terutama mbah. Memang tersentap mendengar dialog Ruminah, 'adik-beradik janganlah gaduh'. Intonasi, perkataan, semuanya seolah 100% yang mbah pernah ucapkan untuk meleraikan.
Ahad tempoh hari, menelefon keluarga. Kebetulan mereka sedang 'berkelah' di Pantai Remis. Dapat bersembang sekaligus dengan Abah, Lek Zakaria, Mak, Lek Jaja, dan mbah.
(Lek Jaja sempat bikin kecur air liur memberitahu sedang menggoreng keropok malinjo)
Ni gambar-gambar kami, di tempat sama, pada bulan 6 lepas, ketika saya pulang.
Mak dan mbah. Permata hati.
adik Yaya; 'nak terjun ke tak nak'
semua pakat pujuk adik Yaya terjun. hah
Lepas adik Yaya, Zafran pula. Lagi penakut dia rupanya.
1, 2.... tak terjun-terjun juga..
last-last Khamim yang tolak dia. hah
Tentulah tidak selamanya kita boleh menjadi kanak-kanak. Tidak selamanya kita akan tertawa. Kita akan mengenal hidup setelah hidup mengenal kita. Persimpangan jalan yang kita lalui dalam mencari arah masing-masing akan membuahkan pengalaman berbeza yang membentuk siapa kita. Semoga kita tak pernah lupa, lalu semoga kita diingatkan semula, 'kita berasal dari akar yang sama'. Sengketa bukan pilihan.
Jangan nanti ada yang mengucapkan begini kepada kita
"Angger la urip kie kenek diundurke, aku arek kue kabeh cilik silawase"
.....
"Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai, dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh aku bertaubat kepada Engkau, dan sungguh, aku termasuk orang muslim."
Semasa membaca ayat ini, saya sering terfikir mungkin sekali kebaikan pada hari ini adalah berkat doa atuk nenek kita. Menjadi tugas kita pula mengalirkannya terus.
III
Persoalan utama yang ditimbulkan dalam kisah ni, kesetiaan anak menunaikan amanah bapanya ( pendapat sayalah ).
Amanah secara spesifiknya, untuk menebus tanah.
Tanah memang mempunyai konotasi istimewa kepada orang Jawa, khususnya di Malaysia. ( Sebab saya tak tahu di Indonesia bagaimana. )
Sekadar cerita lisan dari ayah saya, orang Jawa yang datang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu, banyak membuka penempatan baru. Bergotong royong menebas hutan, dan mendirikan kampung. Abah memberikan contoh, Tebuk Mufrad, Sabak Bernam. Setiap keluarga pula mempunyai sebuah kebun untuk dikerjakan. Kebun, ketika itu, seolah 'hidup-mati'; sebagai mata pencarian orang Jawa. Rajin memerah keringat, banyaklah hasilnya
Dulu, kalau balik hujung bulan dari asrama atas bukit, abah selalu mengajak ke kebun sawit.
Waktu itu, sawit baru ditanam, dan memerlukan penjagaan rapi. Tebas semak, meracun rumpai, racun tikus, racun kumbang, membaja ( urea dan tahi ayam ), memangkas, dan 'menyulam' sawit.
Ruang-ruang yang 'kosong' ditanam jagung, pisang, dan berjenis-jenis ubi.
Bila sawit berbuah sedikit, kami gunakan tajak untuk menuai hasil.
Memang saya tak rajin langsung pun, cadangnya balik rumah dua hari tu nak lena je, tapi lama-kelamaan datang sayang. Dah jauh-jauh ni terkenang-kenang pula kebun.
Ingat lagi kata abah,
"Berbudi pada tanah tak pernah rugi."
Abah dan kebun durian.
Tahun ni kali pertama menikmati hasil.
IV
Saya tuliskan di sini ayat-ayat yang menjadi pembuka dan penutup kisah ini, cukup berbaloi untuk kita halusrenungkan.
Di awal cerita,
Petunjuk memancar kebenaran
antara maruah dan masyhur,
redha dan takabbur,
simpati dan luhur.
Mohonlah pada yang Satu
bukan untuk diriku,
tetapi agar yang menang akhirnya ialah kebenaran jua.
Sesungguhnya di sini kita berdiri
Allah Maha Mengetahui.
Di akhir cerita,
pulangkan kasih pada saudara
pulangkan cinta pada ibunda
pulangkan sirih pada gagangnya
pulangkan pamur pada kerisnya
pulangkan mahkota pada takhtanya.
Saya berharap karya-karya sebegini akan terus dihasilkan oleh Astro. Moga kemajuan Malaysia seiring dengan kemajuan nilainya. Moga kemajuan Malaysia bukan dengan meninggalkan warisan.
____________________________
Nota 1. Rasa nak terus practise Jawa dengan Ustaz Salihin.
Nota 2. Terfikir pulak tiba-tiba, study medik dengan berkebun sawit mana lagi penat eh? haha
Nota 3. Terlupa tanya mak, kat mana uri kami ditanam. Rasanya mak dah pernah bagitau, tapi lupa.
Nota 3. Apa khabar orang Jawa seJordan? ha