:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "
Memaparkan catatan dengan label Ihya' Ulumuddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ihya' Ulumuddin. Papar semua catatan

Khamis, 4 April 2013

Kesabaran adalah penyelesaian



Kesabaran adalah penyelesaian




KADANG-KALA dalam kehidupan kita
 terdapatnya masalah yang tidak kita temui penyelesaiannya.
 Sudah terlalu ramai orang yang kita temui 
termasuklah pakar-pakar kaunseling dan alim ulama 
untuk menyelesaikan masalah yang berlaku namun masih
 belum mendapat cara penyelesaiannya.
 Maka, ketahuilah jawapan kepada permasalahan 
tersebut ialah kesabaran.






Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis
 Nabi SAW yang menjelaskan bahawa seorang
 yang beriman tidak akan memasuki syurga 
sehinggalah imannya itu diuji. Antaranya ayat kedua 
dalam surah Al-‘Ankabut yang mana Allah SWT
 menjelaskan:  




"Patutkah manusia
 menyangka bahawa mereka akan
 dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman,
 sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?






Bukan mudah sebenarnya untuk kita 
mendapat nikmat syurga Allah SWT di akhirat 
kelak dengan hanya mengisytiharkan keimanan 
melalui mulut sahaja. Allah SWT semestinya akan 
menguji keimanan setiap hambanya untuk mengetahui 
sejauh mana kualiti keimanan itu. 






Keimanan ini harus dibuktikan melalui ikrar 
dengan lidah, membenarkan dengan hati 
dan melakukan dengan anggota badan.






Cabaran-cabaran ini boleh datang daripada luar 
atau dalaman diri kita sendiri. Sengaja Allah SWT 
menurunkan cabaran-cabaran ini sebagai ujian 
untuk mengenalpasti siapa yang akan terus iltizam
 dan istiqamah dalam keimanan ini.
 Ia seolah-olah merupakan proses penapisan 
(filtering process) secara langsung daripada
 Allah SWT untuk mengetahui siapa yang
 benar-benar beriman kepada-Nya.






Allah SWT menjelaskan bahawa cara 
untuk berhadapan dengan ujian ini adalah
 dengan meminta pertolongan daripada-Nya 
dengan sabar dan mengerjakan solat. 








Firman Allah SWT yang bermaksud: 




" Dan mintalah 
pertolongan (kepada Allah) 
dengan sabar dan mengerjakan sembahyang.
Dan sesungguhnya sembahyang itu
 amatlah berat kecuali kepada 
orang-orang yang khusyuk."  
(al-Baqarah: 45)







Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil 
menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah mintalah
 pertolongan di atas segala bala yang menimpa ke atasmu
 dengan cara bersabar menanggung segala kesusahan 
(masyaqqah) dan segala kesukaran terhadap jiwa
 daripada segala taklif syarak. 




Syed Qutb pula menyebut dalam Fi Zilal al-Quran: 





“Perkataan ‘minta tolong dengan sabar’ 
banyak diulang-ulang kerana ia merupakan bekalan
 yang semestinya wujud dalam pertembungan 
dengan sebarang kesusahan (masyaqqah)."



Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud: 




"Dan sesiapa
 yang bertakwa kepada Allah, 
nescaya Allah akan mengadakan
 baginya jalan keluar
 (daripada segala perkara yang menyusahkannya) 
Dan memberi rezeki dari jalan 
yang tidak terlintas di hatinya."
 (at-Thalaq: 2-3)




Imam Nawawi dalam menjelaskan ayat ini 
menyatakan bahawa ia diturunkan berhubung
 satu peristiwa di mana seorang sahabat 
telah mengadu kepada Rasulullah SAW 
tentang kerisauannya kerana anaknya 
telah ditawan oleh pihak musuh. 
Lalu dia dinasihatkan bersabar oleh 
Rasulullah SAW maka dia bersabar. 
Tidak lama kemudian, anaknya berjaya 
melepaskan diri daripada tawanan musuh. 






Malah bukan itu sahaja, dia berjaya membawa pulang 
beberapa ekor kambing kepunyaan musuh tersebut.
 Maka dengan kepulangan anaknya, bergembiralah dia
 serta mendapat untung rezeki yang tidak disangka-sangka. 
Inilah salah satu kelebihan daripada kesabaran.



Sabar ada batasan



Kita juga perlu menyedari bahawa sabar ada batasannya. 
Kita tidak boleh bersabar apabila melihat Islam dinodai,
 nyawa saudara kita terancam, hak kita 
dipijak-pijak dan sebagainya. 
Nabi SAW akan bersabar sekiranya diri
 Baginda dihina oleh kafir Quraisy. 



Sebaliknya, Baginda SAW akan bertindak apabila Islam 
dihina dan dicaci oleh pihak musuh. Walau bagaimanapun,
 tindakan Baginda SAW terhadap musuh bukanlah secara
 semborono, tetapi dengan mengambil kira hukum syariat, 
etika dan adab dalam Islam.



Lantaran itu, jangan serik dan jemu untuk terus bersabar. 
Jangan biarkan nafsu dan kemarahan menguasai diri kita.
 Insya-Allah, segala masalah dan cabaran yang kita hadapi, 
anggaplah ia merupakan ujian daripada Allah SWT. 
Ia pasti akan berlalu apabila tiba masanya nanti.



PANEL penulis ialah 
dari Jabatan Pematuhan Syariah, 
Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. 



Rabu, 28 Disember 2011

BENCI kerana ALLAH









Ketahuilah bahawa setiap seseorang yang mencintai orang lain kerana Allah swt, tentulah ia akan membencinya kerana Allah swt juga. Misalnya ialah apabila engkau mencintai seseorang dan sebab cinta tadi ialah kerana orang tersebut taat kepada Allah swt dan oleh sebab itu tentulah ia dicintai oleh Allah swt.









Maka andaikata orang ini melakukan maksiat kepada Allah swt, sudah pastilah engkau akan membencinya, dan ia juga dibenci oleh Allah swt sebab kemaksiatan yang dilakukannya. Jadi, seseorang yang cinta mencintai kerana sesuatu sebab, tentunya akan benci membenci kerana sebab yang berlawanan.












Menampakkan kebencian itu adakalanya dengan menahan lisan yakni tidak bercakap-cakap atau berbicara, ataupun dengan jalan tidak merapati hubungannya lagi, bahkan adakalanya dengan menjauhinya sama sekali. Mungkin juga dengan cara menyedikitkan atau mengurangkan perhatian kepadanya, atau menganggapnya ringan atau kurang berguna, malahan apabila dirasa perlu dengan cara berkeras kepadanya, baik dengan ucapan atau tindakan. Terpulanglah untuk memilih cara mana yang terbaik, sesuai dengan kecil atau besarnya tahap kefasikan atau kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tadi.











Namun demikian perlulah diingatkan bahawa setiap manusia kadang-kadang tergelincir, sehingga tanpa disedarinya melakukan sesuatu kesalahan. Sekiranya orang itu dianggapnya terkeliru dan telah menyesal akan kesalahannya, serta tidak mengekalkan kesalahannya itu, tentulah ia akan dapat mencari jalan untuk memperbaikinya. Dalam perkara yang demikian ini hendaklah ia menutup keburukannya.









Sumber :

Intipati Ihya' Ulumuddin

Pengajaran Bagi Orang-Orang Mukmin

Imam Al-Ghazali

Oleh :

Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasaimi Ad-Dimasqi

CINTA kerana ALLAH











CINTA yang hakiki yang didasarkan kerana Allah ialah apabila seseorang itu tidak mencintai orang lain kerana peribadi (zat) seseorang itu, tetapi semata-mata kerana kebaikan yang akan diperolehinya di akhirat kelak dari sahabatnya itu. Misalnya, seseorang yang mencintai gurunya sebab dengan guru itu ia memperolehi ilmu pengetahuan serta memperbaiki amalannya, dan tujuan utamanya ialah dengan ilmu pengetahuan dan amalan yang dilakukannya itu dapat memberi kebaikan kepadanya di akhirat nanti. Orang yang sedemikian inilah termasuk dalam golongan para pencinta yang bertujuan mencari keredhaan Allah swt.
















Demikian pula seseorang yang mencintai muridnya, sebab kepada muridnya itulah ia dapat mencurahkan ilmu pengetahuannya dan dengan perantaraan murid itu pula ia memperolehi darjat atau tahap sebagai pengajar atau guru. Guru yang sebeginilah yang disebut mencintai orang lain untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.















Bahkan seseorang yang suka menyedekahkan hartanya kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk dan riak, suka menjemput para tetamu lalu menjamu mereka dengan berbagai makanan yang lazat-lazat serta yang aneh masakannya yang dilakukan semata-mata kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ia suka kepada tukang masak yang pandai kerana teliti dan baik cara masakannya, maka orang itupun termasuk dalam golongan pencinta untuk mencari keredhaan Allah swt.















Selain itu, termasuk juga dalam golongan ini orang yang mencintai seseorang yang suka menyampaikan sedekah atau zakatnya kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Ia mencintainya kerana Allah swt. Demikian pula seseorang yang mencintai pembantunya yang membantu dirinya untuk mencuci pakaian atau membersihkan lantai rumah atau memasak makanannya, kemudian dengan demikian itu ia dapat mencurahkan ilmu pengetahuan serta amal solehnya, dan maksudnya menggunakan pembantu untuk menjalankan tugas-tugas tadi adalah untuk terus menerus dapat beribadat, itu juga termasuk dalam golongan orang yang mencintai kerana Allah swt.

















Sementara itu, seseorang yang mencintai orang yang memberi nafkah dari hartanya dan mencukupi pakaian, makanan serta tempat tinggalnya dan juga segala keperluan yang diperlukannya dalam kehidupan dunia, dan maksudnya ialah bahawa dengan demikian itu ia dapat memusatkan perhatian dan seluruh waktunya untuk menuntut ilmu pengetahuan atau melakukan amal soleh yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah swt, maka orang inipun termasuk dalam golongan mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.





















Orang-orang salaf dahulu, sebahagian diantara mereka itu ada yang segala keperluannya ditanggung dan dicukupi oleh hartawan dan mereka yang berkemampuan. Maka kedua belah pihak tadi, baik yang memberi kegembiraaan atau yang diberi kegembiraan adalah termasuk di dalam mereka yang saling cinta mencintai untuk keredhaan Allah juga.
















Apabila seseorang itu mengahwini seorang wanita yang solehah, yang dengan demikian itu dilakukan agar dirinya terhindar dan terjaga dari godaan syaitan dan dapat menjaga agamanya dan agar dapat dikurniakan oleh Allah swt seorang anak yang soleh atau seseorang yang mencintai isterinya kerana isterinya itulah yang merupakan perantara atau alat kepada pelaksanaan hukum-hukum Islam, maka kedua-dua golongan ini juga termasuk di dalam mereka-mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.
















Juga seseorang yang dalam hatinya ada perasaan cinta kepada Allah dan dunia, seperti seseorang yang mencintai seorang guru yang mengajarnya ilmu pengetahuan, baik ilmu agama atau lainya, lalu ia memberikannya perbelanjaan, sehingga tidak lagi memikirkan keperluan dunia, umpamanya dengan menggembirakan hatinya dengan cara memberikan sebahagian hartanya, maka orang ini pun termasuk di dalam golongan mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.

















Sememangnya, syarat mencintai Allah bukan dengan tidak mencintai harta dunia, sehingga dunia ditinggalkan terus, itu tidak benar, sebab isi doa yang diperintahkan oleh para Nabi s.a.w itu mencakupi antara kepentingan dunia dan akhirat sebagaimana yang tertera dalam ayat Al-Quran :














وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ













201. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".




( Surah al-Baqarah : Ayat 201 )









Juga dalam hadis disebutkan suatu doa :


" Ya Allah, sesungguhnya saya memohon padaMu, suatu rahmat yang dengannya itu dapatlah saya memperolehi keutamaanMu di dunia dan di akhirat. "

(Diriwayatkan oleh Tirmidzi)



Demikianlah erti yang sebenarnya dalam persoalan mencintai Allah dan cinta mencintai keranaNya.



Selanjutnya perlu kita maklum, bahawa apabila kecintaan kerana Allah sudah benar-benar kuat dalam jiwa seseorang, maka itulah yang akan menimbulkan perasaan menghargai, suka menolong dan dermawan, membelanjakan segala yang dimiliki, baik jiwa, harta dan ucapan yang berupa nasihat yang baik dan terpuji.






Perbezaan setiap manusia dalam perkara kecintaan sebagaimana yang dihuraikan di atas itu adalah bergantung kepada kesedaran dan keinsafan mereka tentang erti kecintaan pada Allah swt itu sendiri. Kadang-kadang seseorang itu akan menerima suatu ujian dalam menghadapi masalah-masalah yang berkaitan dengan keuntungan atau bahagian untuk dirinya sendiri, bahkan kadang-kadang ia memenanginya, sehingga untuk dirinya sendiri tidak ada bahagian yang diperolehinya. Adakalanya juga bahagian itu diperolehi oleh orang yang dicintai itu kesemuanya.






Sementara itu, ada pula cinta yang dilakukan dengan cara meninggalkan sebahagian dari haknya dan hanya sebahagian sahaja yang diambilnya, umpamanya seseorang yang dengan rela hati memberikan sebahagian dari harta miliknya kepada kekasihnya, baik separuh, satu pertiga atau satu persepuluh. Dari kadar yang diberikannya itu, dapat dinilai betapa besarnya atau betapa tinggi nilai kecintaannya, sebab tidak dapat diketahui tahap kecintaannya itu melainkan dengan mengorbankan sesuatu yang dicintai.






Seseorang yang sangat mendalam cintanya dan dengan sepenuh hati mencintai, pastilah tidak ada sesuatu benda yang masih dicintainya kecuali apa yang paling dicintainya tadi. Oleh sebab itu, tidak perlulah dirinya memiliki atau menahan apa-apa pun, asalkan yang dicintainya itu masih tetap dalam genggamannya.







Contoh yang sedemikian ini ialah perbuatan yang dilaksanakan oleh Abu Bakar a.s Siddiq r.a. Ia telah menyerahkan seorang puterinya kepada Rasulullah saw yang sebenarnya ia adalah jantung hati dan penghiburnya. Bahkan seluruh hartanya diberikan untuk kepentingan agama.






Oleh sebab itu, maka dapatlah diambil kesimpulan dari huraian di atas inii, bahawa seseorang yang mencintai seorang alim atau seorang ahli ibadat atau mencintai seseorang yang suka menuntut ilmu pengetahuan atau mengerjakan ibadat atau apa sahaja amalan kebaikan, maka orang tadi benar-benar dianggap mencintai kerana Allah swt dan untuk Allah swt semata-mata. Dalam perkara ini, tentulah ia memperolehi pahala dan kurniaan dari Allah swt menurut kadar yang setimpal atau tahap kekuatan cinta yang dibuktikan olehnya.







Sumber :




Intipati Ihya' Ulumuddin



Pengajaran Bagi Orang-Orang Mukmin



Imam Al-Ghazali





Oleh :





Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasaimi Ad-Dimasqi











LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...