بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Bahaya Fitnah. Show all posts
Showing posts with label Bahaya Fitnah. Show all posts

Saturday, June 9, 2012

Fitnah akhir zaman bawa perpecahan umat Islam


 FACEBOOK media sosial berpengaruh  beri ruang kepada penyebaran maklumat.
FACEBOOK media sosial berpengaruh beri ruang kepada penyebaran maklumat. 


Oleh Ustaz Zaman

2012/06/02



Masyarakat diselubungi prasangka, jejas keharmonian

KETIKA sahabat bersama Baginda SAW, ada bersama mereka seorang sahabat terkenal bernama Abu Musa Asa'ri. Lalu mereka bertanyakan kepada Baginda SAW siapakah orang mukmin yang paling berkualiti di sisi Allah SWT?


Maka Baginda SAW bersabda dalam keadaan bertentangan mata sambil tersenyum: “Mukmin yang berkualiti ialah mereka yang menjaga kesejahteraan orang Islam yang lain daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Dunia maya tanpa sempadan hari ini telah memberi ruang yang luas untuk berbicara dan melebarkan pandangan, seterusnya berkongsi maklumat dalam pelbagai tujuan sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya iaitu menjatuhkan seseorang.

Oleh itu, kita melihat kemudahan ini sudah menjadi fitnah berlarutan jika tidak mengikut garis panduan Islam yang sentiasa menjaga hak kemanusiaan. Jika pesanan Baginda SAW tadi tidak diberi perhatian, apakah bisa kita meyakini akan mendapat syafaat Baginda di mahsyar kelak? 

Fitnah akhir zaman amat bahaya dan boleh menyebabkan perpecahan kepada semua pihak. Bicara pada hari ini tidak hanya terbatas kepada mata pena semata-mata seperti dulu, tetapi merangkumi facebook, twitter dan blog. Maklumat tersebar ke seluruh dunia dalam masa singkat.

Demikianlah bahaya teknologi terkini terhadap masyarakat. Sabda Baginda SAW: “Akan berlaku fitnah suatu hari nanti di mana orang yang tidur lebih baik daripada orang yang berjaga, orang yang berjaga lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berlari. Jadi, sesiapa yang memperoleh tempat berlindung hendaklah segera ia berlindung.” (Hadis riwayat Muslim). 


Menunjukkan kepada kita sesiapa yang dapat berlindung daripada fitnah akhir zaman, hendaklah berlindung daripadanya. Kita sudah melihat kesan di depan mata, pergolakan rumah tangga, keruntuhan akhlak muda-mudi, jiran tetangga bermasam muka, sahabat tidak bertegur sapa, keaiban terdedah serta pelbagai gejala masyarakat akibat fitnah siber ini. 

Kesan yang lebih besar adalah mentaliti masyarakat akan diselubungi prasangka serta berkembangnya unsur negatif yang menjejaskan keharmonian kehidupan manusia.

Kita mesti mengetahui kenapa ia menjadi bala kepada umat kini kerana ada yang sanggup menzalimi saudaranya sendiri demi memenuhi kehendak peribadi masing-masing sehingga menjangkaui batas agama. 

Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan takutlah kamu akan berlakunya dosa yang membawa bencana bukan saja kepada orang yang zalim secara khusus, tetapi akan menimpa kamu semua secara umum.” (Surah al-Anfal, ayat 5).

Ingatlah ketika hampirnya kiamat, akan muncul pelbagai fitnah merosakkan seluruh masyarakat. Apakah kita bersedia bertemu Allah SWT dalam keadaan kehidupan dipenuhi permusuhan sesama sendiri, memaparkan tohmahan tiada bukti dan sandaran kukuh serta membicarakan perkara mencabar hukum Allah SWT?

Sesungguhnya alam siber telah melenyapkan sifat malu seseorang menyebarkan segala bentuk fitnah kerana segala-galanya dilakukan dalam keadaan rahsia dan sendirian. Namun Allah SWT berfirman dengan maksud: “Katakanlah wahai Muhammad jika kamu sembunyikan di dalam dirimu atau zahirkan sesuatu di khalayak ramai, nescaya Allah maha mengetahui segala-galanya.” (Surah ali-Imran, ayat 29).

Kita hendaklah menginsafi serta bermuhasabah terhadap perbuatan yang telah dilakukan kerana terlalu banyak fitnah berlegar dalam kehidupan sama ada secara sedar ataupun tidak. Justeru, belum terlambat untuk membuat perubahan atau transformasi memperbaiki kesilapan lalu.

Setiap berita serta maklumat yang diterima mestilah dipastikan kesahihannya sebelum ia ditelan sebulat-bulatnya. Sensitiviti kaum, agama dan perasaan umum haruslah dipelihara serta menjaga kehormatan orang lain. 

Pastikan ahli keluarga juga tidak terjebak dalam kancah ini dengan mendedahkan gambar peribadi yang tidak sesuai untuk tatapan umum. Marilah kita menjadi orang yang bijak dalam urusan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka yang mendengar ungkapan serta berita yang sampai kepadanya lalu mereka memilih yang terbaik mengikut hukum agama dan merekalah sebenarnya orang yang mendapat petunjuk dan akal sempurna lagi bijaksana.” (Surah Az-Zumar, ayat 18).

Marilah kita mencontohi sahabat kerana dalam usaha menjadi mukmin berkualiti dari aspek rohani, jasmani dan emosi, mereka masih bertanya cara menjadi mukmin terbaik walaupun mereka adalah orang terawal sekali menyahut seruan tauhid. Malah ada yang dijanjikan syurga Allah SWT. 

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)


Thursday, October 20, 2011

Bahaya fitnah dalam hidup



SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.
Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.
Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: "Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid." (riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.

Bak kata pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".

Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)

Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).

Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.

Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.

Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.

Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.

Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, "Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut".

Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.

Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.

Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: "Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.

ARKIB : 19/10/2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...