بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Puasa Enam. Show all posts
Showing posts with label Puasa Enam. Show all posts

Wednesday, September 28, 2011

Puasa Sunat Syawal


Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan.


Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).


Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.

Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.

Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري

Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat:  Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:

(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.

Wednesday, September 7, 2011

Puasa Syawal sempurnakan Ramadan



Oleh IBRAHIM ABDULLAH

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh (riwayat Muslim)".

Salah satu pintu kebaikan adalah berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai (riwayat Tirmizi)."

Hadis ini menegaskan bahawa puasa merupakan perisai bagi Muslim baik di dunia mahu pun akhirat. Di dunia, puasa adalah perisai daripada perbuatan maksiat, sedangkan di akhirat adalah perisai daripada api neraka.

Justeru, untuk mendapatkan kecintaan Allah SWT, lakukanlah puasa sunat setelah melakukan yang wajib. Di antara puasa sunat yang Nabi anjurkan selepas melakukan puasa Ramadan adalah puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa ini mempunyai keutamaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Ayyub al-Ansari mengatakan Nabi bersabda bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh(riwayat Muslim)."
Pada hadis ini terdapat dalil tegas tentang dianjurkannya berpuasa enam hari di bulan Syawal dan pendapat inilah yang dipilih oleh mazhab Syafie, Imam Ahmad dan Abu Daud serta yang sependapat dengan mereka. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah menyatakan makruh.

Namun pendapat mereka ini lemah kerana bertentangan dengan hadis yang tegas di atas (rujuk Syarh an-Nawawi 'ala Muslim).

Puasa setahun penuh

Daripada Thauban, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa berpuasa enam hari setelah hari raya Aidilfitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh. Barang siapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan semisal. (riwayat Ibnu Majah dan disahihkan oleh Sheikh al-Albani dalam Irwa'ul Ghalil)."

Orang yang melakukan satu kebaikan akan mendapatkan 10 kebaikan yang sama. Puasa Ramadan adalah selama sebulan bererti akan semisal dengan berpuasa 10 bulan. Puasa Syawal adalah enam hari bererti akan semisal dengan 60 hari yang sama dengan dua bulan.

Kerana itu seseorang yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal akan mendapatkan puasa seperti setahun penuh (rujuk Syarh an-Nawawi 'ala Muslim).

Cara melakukan puasa Syawal

Imam Nawawi dalam Syarh Muslim mengatakan: "Para ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa paling afdal melakukan puasa Syawal secara berturut-turut (sehari) selepas solat Aidilfitri. Namun jika tidak berurutan atau diakhiri hingga akhir Syawal maka seseorang tetap mendapatkan keutamaan puasa Syawal setelah sebelumnya melakukan puasa Ramadan."

Sebab itu boleh berpuasa Syawal tiga hari selepas Aidilfitri misalnya, baik secara berturut-turut ataupun tidak, kerana dalam hal ini ada kelonggaran. Bagaimanapun, jika seseorang berpuasa Syawal hingga keluar waktu (bulan Syawal) kerana bermalas-malasan, ia tidak akan mendapatkan ganjaran puasa Syawal.

Jika seseorang itu ada keuzuran (halangan) seperti sakit, dalam keadaan nifas, sebagai musafir, sehingga tidak berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka boleh mengqada (mengganti) puasa Syawal di bulan Zulkaedah (rujuk Syarh Riyadhul Salihin).

Tunaikan qada terlebih dahulu

Lebih baik bagi seseorang yang masih memiliki qada puasa Ramadan untuk menunaikannya terlebih dahulu sebelum melakukan puasa Syawal. Ini kerana tentu sahaja perkara wajib haruslah lebih dahulu diutamakan daripada perkara sunat.

Alasan lainnya kerana dalam hadis di atas Nabi SAW mengatakan bermaksud: "Barang siapa berpuasa Ramadan."

Jadi apabila puasa Ramadan belum sempurna kerana masih ada tanggungan puasa, maka tanggungan tersebut harus ditunaikan terlebih dahulu agar mendapatkan pahala seperti setahun penuh.

Apabila seseorang menunaikan puasa Syawal terlebih dahulu dan masih memiliki tanggungan puasa Ramadan, maka puasanya dianggap puasa sunat mutlaq (puasa sunat biasa) dan tidak mendapatkan ganjaran puasa Syawal kerana kembali kepada perkataan Nabi SAW tadi: "Barang siapa berpuasa Ramadan (rujuk Syarhul Mumthi')."

Untuk berpuasa sunat selain puasa Syawal, maka boleh mendahulukannya sebelum mengqada puasa yang wajib selama masih ada waktu lapang untuk menunaikan puasa sunat tersebut. Puasa sunatnya tetap sah dan tidak berdosa.

Perlu diingat, menunaikan qada puasa wajib tetap lebih utama daripada melakukan puasa sunat. Ini yang ditekankan oleh Sheikh Muhammad bin Salih al-Usaimin dalam kitab Syarhul Mumthi' kerana ada kekeliruan dalam permasalahan ini.

Niat dan membatalkan puasa

Mengenai soal niat dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim. Rasulullah pernah masuk menemui keluarganya lalu menanyakan: "Apakah kamu memiliki sesuatu (yang biasa dimakan?)." Mereka berkata: "Tidak." Kemudian Rasulullah mengatakan: "Kalau begitu sekarang saya berpuasa."

Daripada hadis ini bererti seseorang boleh berniat di siang hari ketika melakukan puasa sunat. Nabi SAW juga kadang-kadang berpuasa sunat tetapi kemudian membatalkannya sebagaimana dikatakan Saidatina Aisyah dan terdapat dalam riwayat an-Nasa'i (rujuk Zadul Ma'ad).

Semoga kaum Muslimin dapat menyempurnakan ibadah puasa Ramadan dengan menunaikan ibadah puasa sunat Syawal. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada kita agar mampu menjalankan ibadah ini secara sempurna.

Saturday, September 3, 2011

Puasa enam dibuat berterusan lebih afdal


Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh


RAMADAN melabuhkan tirainya dengan penuh kesyahduan dan pengharapan supaya dipertemukan lagi dengan Ramadan tahun depan. Keriangan terpancar di wajah mereka yang menyambut hari raya sebagai tanda kemenangan menghadapi ujian Ramadan lalu. 

Orang yang beriman hendaklah yakin dengan apa yang diperoleh daripada Ramadan baru berlalu iaitu mendapat ganjaran terbaik di sisi-Nya seterusnya bersangka baik dengan Allah SWT terhadap amalan dilakukan.


Ibnu Masud menyebut, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya tiada sesuatu pemberian yang terbaik dari Allah SWT selain dari bersangka baik dengan-Nya kerana ia akan memperoleh seperti apa yang disangkakan.”

Hadis sahih menyebut yang bermaksud: “Jika seseorang memohon, hendaklah memohon yang terbaik dan terbanyak.” (Al-Hadis) 

Allah SWT tidak pernah berasa segan untuk memakbulkan doa yang dimohon dan gembira apabila diminta dalam kuantiti yang banyak. 

Walaupun Ramadan sudah berlalu, kita masih lagi mempunyai talian hayat untuk menambahkan amalan Syawal, iaitu berpuasa enam hari selagi Syawal masih ada. Ia adalah puasa sunat selama enam hari bermula dua Syawal hinggalah penghujungnya. 

Puasa Syawal adalah lebih afdal (lebih baik) dilakukan secara berturut-turut daripada dilakukan secara berselang seli. Berpuasa secara berturut-turut adalah digalakkan kerana ia lebih hampir kepada fokus yang tinggi kepada pengabdian berterusan. 

Fadilat atau kelebihan puasa sunat Syawal disebutkan dalam hadis Abi Ayyub dari Abu Hurairah bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli berpuasa enam hari Syawal seolah-olah ia mendapat ganjaran berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim) 

Ini disokong oleh As-Sya’bi dalam kitabnya Al-Manawi yang menunjukkan bahawa ganjaran puasa sunat Syawal sangat besar di sisi Allah SWT. 

Ada riwayat menyebut, Allah SWT menciptakan langit dan bumi selama enam hari, iaitu pada Syawal. Sesiapa berpuasa pada bulan ini akan dianugerahkan kebajikan pahala seperti bilangan makhluk di dalamnya, diampunkan dosanya serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. (Durratul Waizin 71) 

Sufyan Atthauri pernah berdoa supaya diberi kekuatan untuk melakukan puasa Ramadan dan enam hari Syawal kerana kelebihan yang ada pada kedua-duanya. 

Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli dengan puasa Syawal seolah-olah ia baru saja dilahirkan dalam keadaan suci bersih dari dosa kesalahan.” (Targhib Wattarhib Fi Fadail A’mal) 

Nabi SAW juga pernah mengumpamakan orang yang berpuasa selepas Ramadan seperti orang yang lari dari satu peperangan dan kembali untuk bertarung semula. Menunjukkan bahawa ia sanggup kembali ke medan perjuangan bagi meraih pahala berlipat ganda. 

Antara tujuan atau hikmah puasa sunat Syawal adalah untuk mengekang nafsu balas dendam terhadap Ramadan lalu yang terkadang umat Islam terleka kerana keghairahan menyambut hari raya. 

Fadilat lain, ditambahkan rahmat dan kempunan ketika hampirnya masa roh seseorang akan berpisah dengan jasad (sakratul maut), dipermudahkan ketika berurusan dengan dua malaikat di alam barzakh dan ganjaran pahala setahun serta tiket pelancongan ke syurga di bawah pembiayaan Allah SWT. (Durratu Nasihin-Ibnu Ahmad As Syakir) 

Persoalan berkaitan menyatukan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan ulama muasarah (kontemporari) di mana keputusan mendapati mengasingkan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada adalah lebih baik serta digalakkan kerana puasa qada mempunyai ruang masa yang banyak untuk dilaksanakan berbanding puasa Syawal. 

Apa yang membimbangkan adalah sifat berlengah sesetengah kita untuk berpuasa Syawal sehingga luput waktu dan terlepas peluang keemasan ini. Semoga kemenangan Ramadan akan disambut lagi selepas kemenangan Syawal yang masih banyak berbaki, jangan tunggu lagi. 

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) 


Berita Harian2011/09/03
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...