Showing posts with label Tarbiyatul Aulad. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyatul Aulad. Show all posts

Thursday, December 29, 2011

Dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak...



Saya memetik kata-kata seorang sahabat dalam sembang santai petang tadi...

"Sekarang, masa untuk kita menjadi kaya, demi masa depan anak-anak. Kita memerlukan wang yang banyak sebagai satu investment..."

Jujurnya, sebagai ibu bapa semestinya kita hendak yang terbaik untuk anak-anak. Demi masa depan yang sempurna. Tatkala mereka masih kecil, arah tuju mereka, kita yang aturkan. 'Remote' mereka, kita yang pegang. 'Channel' mana yang kita nak, kita yang tekan. Jangan sampai mereka sudah punya akal untuk memilih, malah menentukan sendiri arah laluan mereka. Tika itu, pepatah yang sesuai tidak lagi "melentur buluh biarlah dari rebungnya", tetapi yang paling sesuai "nasi susah menjadi bubur"...

Seawal usia 4 tahun lagi, ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka, memilih pusat pendidikan seperi CIC, CEC, Cuedis, Smart Reader, Genius Aulad, Zul Iman dan macam-macam lagi. Yuran mahal? Itu tak penting bagi mereka, asalkan berbaloi 'pelaburan' yang mereka buat demi anak-anak.

Kita juga boleh lihat sekarang, kenapa agaknya sudah semakin ramai ibu bapa berpusu-pusu malah berebut-rebut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama swasta, walaupun kita semua tahu, kos yuran yang mahal, tidak memungkinkan semua orang ke sana, apatahlagi dengan anak yang ramai!!!

Apa istimewanya sekolah agama swasta? Apa pula kurangnya di sekolah kebangsaan yang sudah diketahui umum bahawa yurannya telah dimansuhkan!

Saya sendiri pernah menjadi guru di salah sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya. Walaupun yuran yang dikenakan setiap bulan mencecah RM260 - RM320, namun sekolah tersebut mampu menarik ramai ibu bapa untuk menyekolahkan di situ.

Bukan semua ibu bapa tersebut terdiri daripada kategori 'orang berada' atau kaya. Ada juga yang pada hemat saya, berpendapatan sederhana. Tetapi masih sanggup untuk berkorban wang ringgit, sebagai pelaburan masa depan mereka.

Kesedaran ini telah lama wujud. Sewaktu saya mengajar di sekolah tersebut juga, ada ibu-ibu yang mengiringi anak ke sekolah tanpa menutup aurat dengan sempurna, berseluar pendek, tidak bertudung, berbaju T. Namun, mereka tetap mahukan pendidikan agama yang baik untuk anak-anak.

Teringat saya seorang ayah yang menghantar 3 orang anaknya (ketika itu di Tahun 3, Tahun 2 dan Tahun 1) di sekolah tersebut. Kalau dikira2, hampir RM720 sebulan tidak termasuk yuran pendaftaran hampir RM570 seorang.

Dia tidak mempunyai pendapatan tetap. Kerjanya hanya menjual nasi lemak di pasar malam. Orangnya cukup ramah, senyumnya juga tak lekang di bibir. Isteri membantu berniaga. Saya dikhabarkan juga waktu itu, seorang lagi anaknya akan sama-sama mengikut jejak langkah abang dan kakaknya di situ.

Terharu saya lihat kesungguhannya. Kenapa tidak saja dihantar anaknya ke sekolah kebangsaan yang pastinya akan meringankan beban mereka suami isteri?

Saya mengajar dua dari tiga anaknya. Anak-anak itu tidaklah sepintar mana, namun punya akhlak yang cukup cemerlang. Rendah diri, hormat guru, pandai berkawan. Sehingga sekarang, riak muka yang menyejukkan mata ini, sentiasa berligar di dalam benak.

Menurut bapa tadi, harapannya tak banyak. Cuma mahukan anak2nya mendapat ilmu dunia dan akhirat secara seimbang. Dia juga dambakan anak-anak yang punya akhlak soleh dan solehah. Mereka adalah aset untuk dia dan isteri tatkala tiba masa mengadap Ilahi.

Mungkin itu merupakan antara jawapan-jawapan yang akan diberi oleh ibu dan bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka di sekolah agama swasta, bukan di sekolah kebangsaan.

Mungkinkah ibu bapa sekarang ada yang tidak yakin atau kurang yakin dengan kurikulum yang ditawarkan di SK?

Mungkinkah juga, pengaruh yang tidak sihat yang semakin menular dikalangan remaja menjadi faktor untuk mereka menyekatnya dari awal?


Sebenarnya ibu bapa masih ada pilihan. Jika tidak mampu dari segi kewangan, namun masih mengharapkan ada kurikulum agama tambahan untuk anak-anak, mereka masih boleh pergi ke SRA di bawah seliaan JAIS atau KAFA di bawah seliaan JAWI.

Namun, ibu bapa berhak memilih yang terbaik untuk anak-anak mereka. Saya kagum dengan sahabat-sahabat yang mampu menghantar anak-anak mereka di sekolah swasta. Pilihan mereka, pasti yang terbaik. Sanggup sabar menunggu walaupun dalam 'waiting-list'. Sanggup ditemuduga, sanggup melalui ujian-ujian saringan dan macam-macam peringkat sebelum diterima masuk.

Bagi anda wahai pembaca,... dimana pilihan TERBAIK untuk anak-anak anda??? Kenapa itu pilihan anda??? Mari sama-sama kita kongsikan... Moga ia menjadi perkongsian yang bijak antara kita...

Wednesday, April 22, 2009

Pesanan Buat Pendidik 2

Salam,

Entri kali ni menyambung beberapa pesanan yang dirujuk dalam sebuah kitab yang tidak ternilai bukan sahaja buat seorang pendidik, malah kepada ibu dan bapa yang baru menapak menelusuri jalan mencipta sebuah istana bahagia bersama anak-anak. Mengajar mengenal erti sebuah kehidupan.

Melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi:

Ertinya:

Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia.

Malah, saya tertarik juga dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tobrani;

Ertinya:

Lengkapkanlah anak-anakmu dengan tiga perkara: Cinta terhadap Nabi kamu, cinta terhadap ahli rumahtangganya dan selalu membaca Al-Quran

Selain himpunan hadith dan ayat suci yang terkandung dalam kitab tersebut, banyak kata-kata perangsang yang tertulis. Bukan kata-kata biasa, malah mampu menyirap ke sanubari seorang murabbi.

Antara wasiat Ibnu Sina dalam soal pendidikan anak-anak, katanya:

Hendaklah anak yang belajar di sekolah itu mempunyai teman-teman yang ramai, baik adabnya, senonoh adab dan tertibnya, kerana anak-anak itu akan meniru lagak dan tingkahlaku sesama mereka, ambil mengambil dan berkasih sayang

Antara kesungguhan lain yang jelas terlihat dalam pemilihan pendidikan anak-anak, melalui kata-kata Hisyam bin Abdul Malik kepada pendidik anaknya yang bernama Sulaiman Al-Kalbi.

Katanya;

Sesungguhnya anakku ini adalah cahaya mataku, dan kini aku telah serahkan kepadamu untuk kau mengajarinya. Maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, dan tunaikan amanah dengan sempurna.

Beliau menyambung lagi;

Mula-mula sekali, aku wasiatkan kepadamu supaya engkau membimbingnya dengan kitab Allah. Kemudian engkau lengkapkan dirinya dengan syair-syair yang terbaik sekali, kemudian engkau bawa dia mengelilingi perkampungan-perkampungan Arab, dan pilihlah syair-syair mereka yang terbaik sahaja, dan jangan lupa mengingatkannya dari hal halal dan haram. Ajarlah dia juga berpidato dan cara-cara berperang

Hebat bukan? Bersemangat saya membacanya. Bagaikan ada sebuah kekuatan muncul dalam diri. Begitu tinggi harapan seorang bapa tatkala menyerahkan anak untuk dididik seorang pendidik.

Mengapa masyarakat Arab begitu mengagungkan karya dalam bait-bait syair? Syair merupakan suatu yang indah, bukan calang-calang orang dapat menghasilkan karya syair yang begitu puitis menusuk kalbu, jua penuh bermakna.

Lihat juga, bagaimana soal halal dan haram dititikberatkan. Kita telah dedahkan perkara itu kepada murid-murid bukan? Ya, sememangnya. Namun, dapatkah mereka amalkan, hayati? Bila ditanya erti halal, haram, makruh, sunat dan harus,... lancar bibir menuturkannya.

Namun lekatkah dihati? Wallahu 'Alam. Bimbang saya dengan situasi kini.

Kenapa? Saya cukup risau. Anak-anak semakin membesar. Banyak yang dipelajari sehari-hari. Petang tadi saya telah dipertanggungjawabkan menyelesaikan satu kes. Cukup mengejutkan. Melibatkan murid tahun satu. Nanti lah, dalam entri yang akan datang, mungkin saya akan ceritakan.

Membaca kata-kata tersebut membuatkan saya bermonolog sendiri. Adakah saya mampu menjadi pendidik seumpama apa yang dikata? Adakah saya mampu membentuk akhlak anak-anak harapan keluarga sebagaimana yang diharapkan?

Wahai para pendidik, renungkanlah... tanggungjawab kita cukup besar... Laksanakanlah sebaiknya...

Sunday, April 19, 2009

Pesanan Buat Pendidik

Dalam entri ni, suka saya untuk berkongsi apa yang dibaca.

Melalui buku Tarbiyatul Aulad karya Abdullah Nasih 'Ulwan, banyak yang dapat dijadikan sandaran dan panduan.

Dalam Bab Tanggungjawab Pendidik, ada dinyatakan:

Al-Jahizh telah meriwayatkan bahawasanya 'Uqbah bin Abu Sufyan, apabila menyerahkan anaknya kepada seorang pendidik, katanya:

Mula-mula sekali, sebelum engkau memperbaiki anakku, hendaklah engkau memperbaiki dirimu sendiri kerana matanya menumpu kepada matamu. Yang baik padanya adalah apa yang engkau pandang baik, yang buruk pula ialah apa yang engkau pandang buruk.

Katanya lagi:

Ajarkanlah dia perjalanan para ahli bijaksana dan akhlak para budiawan, dan ancamlah mereka dengan diriku, dan didiklah mereka tanpa membandingkan diriku. Dan jadilah baginya laksana seorang doktor yang tidak tergopoh-gopoh menentukan sesuatu ubat, sebelum dia tahu penyakitnya, jangan engkau bergantung atas keuzuran daripadaku, sebab sesungguhnya aku telah bergantung sepenuhnya kepada kebolehan dan pengalaman yang ada padamu...


Banyak lagi kata-kata menarik berunsur nasihat kepada insan bergelar guru, murabbi, pendidik, cikgu, mu'allim dan sebagainya. Begitu berat tugas kita sebenarnya.

Kata-kata yang bisa dijadikan renungan. Dengan tugasan yang banyak di sekolah, kita masih perlu menitipkan suatu yang bernilai buat 'anak-anak' kita.

Saya ingat lagi kata-kata Penyelia Petang saya dalam suatu mesyuarat ringkas bersama guru-guru sesi petang.

Katanya;

Treat them as your own child. Apa yang anda mahu orang lain (guru lain) lakukan pada anak anda, begitulah juga apa yang perlu anda lakukan. Hukum kita, hukum bertempat. Untuk mengajar, jangan mencederakan. Kalau tindakan cikgu semua betul, saya akan membela hak cikgu jika ada ibu bapa datang 'menyerang'... Don't be afraid! Selagi cikgu dipihak yang benar...

Itulah kata-kata Puan Susheela a/p Kannapathy yang begitu memahami tugas seorang pendidik. Saya hormat beliau. Bukan hanya kerana dia seorang pentadbir, kerana pengalaman dan nasihat serta sokongan yang diberi.

InsyaAllah dalam entri yang akan datang akan saya selitkan beberapa nasihat yang berguna buat kita melalui pembacaan dalam buku 'Pendidikan Anak-anak Dalam Islam' seterusnya. Bacaan yang sungguh menginsafkan. Semoga kemuliaan yang diharapkan dapat dilestarikan...

Popular Posts