Showing posts with label Ujian Allah. Show all posts
Showing posts with label Ujian Allah. Show all posts

Saturday, December 17, 2011

Apabila Si Kecil diganggu...

Bergambar kenangan sewaktu bertugas di SRIMDE, 8 tahun lalu

"InsyaAllah, kita jumpa hari Isnin nanti... "

Itu janji kami. Antara saya dan sahabat saya, Hidayat. Temujanji yang dibuat untuk merawat si kecil.

Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Apabila seorang sahabat menceritakan masalah anak kecilnya yang kerap menangis sejak 3 minggu yang lalu, saya terus terlintas untuk hubungi Hidayat.

Disebabkan ayah si kecil kesian melihat anaknya yang asyik menangis, beliau mempercepatkan temujanji. Bukan hari Isnin, tapi kalu boleh petang Jumaat. Alhamdulillah Hidayat bersetuju, tapi selepas asar kerana Hidayat ada temujanji lain sebelum itu.

Kami bergerak jam 4 petang melalui MRR2. Jalan agak sesak. Ibu dan ayah si kecil membuah kerisauan. Saya menghantar SMS kepada Hidayat, maklumkan kelewatan kami. Bimbang beliau ada temujanji lain. Namun lega apabila SMS dibalas:

"Takpe, aku tunggu..."

Alhamdulillah, kami sampai di Batu Caves jam 5.30 petang. Setelah 'diagnose' si kecil, Hidayat mula merawat. Beliau bertanyakan, sama ada si ibu atau ayah mendapat apa2 petanda dalam mimpi. Si ibu dan si ayah menafikan, tiada mendapat apa2 mimpi atau petunjuk.

Hasilnya, Hidayat maklumkan; bayi itu memang diganggu. Ada jin berupa seekor ular melingkari tubuhnya! Jin tersebut sudah lama 'duduk' ditapak rumah yang mereka tinggal sekarang. Walaupun sahabat itu sudah tinggal di situ sejak 2004, namun baru sekarang 'makhluk; itu mahu menunjuk 'belangnya'.

Tambah Hidayat lagi, 'makhluk' itu nak menimbulkan rasa was2 dan ragu dalam diri perawat. Maksudnya, mungkin perawat sudah mengamalkan bacaan yang sewajarnya untuk 'menghalaunya', namun jin yang ditafsirkan sebagai 'kafir totok' oleh Hidayat itu tetap berkeras untuk terus meninggalkan 'menghuni' si kecil itu.

Tambahnya lagi, jin tersebut suka jika timbul rasa ketidakyakinan dalam diri di perawat, contohnya;

"Eh, takkan dah baca 3 Quul pun tak jadi jugak???"
"Aikk... takkan Ayat kursi pun tak boleh juga???" dan lain-lain...

Bahaya juga 'makhluk' ini. Ada juga nak uji2 manusia, apatahlgi perawat! Macam ni punya jin pun ada ka???


Firman Allah dalam surah Al-Jin, ayat 6 bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.



Keistimewaan yang ada pada sahabat saya (Hidayat) ni, dia mampu 'bercakap' dan 'berkomunikasi' dengan makhluk yang mengganggu. Dalam masa dia 'membaca' ayat2 suci al-Quran di telinga bayi itu... dia juga sedang 'berdiplomasi' dgn makhluk itu.

Akhirnya, bayi itu dimandikan dengan air beserta beberapa helai daun sirih. Saya lupa pula nak tanya, kenapa guna daun sirih?

Daun sireh, dicampurkan dengan air, lalu dimandikan bati tersebut.

Sepanjang si kecil itu mandi, tangisannya makin kuat... kasihan sungguh.

Hidayat maklumkan pada si ayah, agar terus bersabar dan berdoa. Jangan sampai 'tewas' dengan ujian dan godaan makhluk itu. Mungkin kerana si ayah turut belajar kaedah perawatan Islam ini, makhluk itu suka untuk 'menguji' beliau.

Nasihat Hidayat, sesiapa jua yang ingin belajar ilmu rawatan Islam ini, perlu 'terjun' sedalam2dalamnya, serta bersedia dengan segala kelengkapan, rohaniah dan jasadiyyah. Perlu bersedia dalam apa jua kemungkinan dan keadaan sekalipun.

Diakhir pertemuan, Hidayat meminta tempoh  7 hari untuk 'menyelesaikan' tugas itu dengan 'jin' tersebut, akibat kedegilannya. Apa yang berlaku antara dia dan jin itu, akan dimaklumkan kemudian. Kami usai hampir Maghrib. Harapan kami, agar si kecil akan beransur pulih...

Teringat saya pada kes 7 tahun lalu. Kes ini berlaku di Balakong Seri Kembangan. Anak kawan kepada sahabat serumah saya telah diganggu makhluk halus. Bayi berumur 4 bulan itu menangis tanpa henti selama 40 hari.

Saya membawa Hidayat untuk melihat dan merawat bayi tersebut. Saya dan abg Amir menjemput Hidayat di flat Pekeliling (kini dah dirobohkan). Kami sampai jam 8.30 malam.

Dalam perjalanan menuju ke Balakong, Seri Kembangan, Hidayat maklumkan, dia berulang alik mandi dan berwudhuk selama 3 kali. Katanya, seperti ada petunjuk...

Sampai di rumah itu, Hidayat mengatakan seolah-olah memang ada 'sesuatu' di sekeliling rumah itu. Menurut ayah si kecil, rumah tersebut milik orang India. Tambah Hidayat, orang India biasa memuja di rumahnya. Jadi tidak mustahil ada makhluk yang turut berada dalam rumah itu.

Beberapa malam sebelum itu, saya dan abg Amir telah ke rumah itu. Tangisan bayi itu cukup nyaring, sehingga kadang2 tak kedengaran suaranya. Kesian saya tengok. Abg Amir dukung si kecil, kemudian diazankan. Terbeliak mata si kecil memandang saya yang berada dibelakang abg Amir. Seolah2 marah dengan tindakan abg Amir itu.

Bayangkan, bagaimana bayi 4 bulan mencelik matanya sebulat bulatnya kepada anda!... Huhu, meremang bulu roma saya ketika itu.

Berbalik cerita bersama Hidayat...

Hidayat mengambil bayi tadi dan mula men'diagnose'... menurut 'bacaan'nya, si kecil telah 'diculik' oleh jin yang bernama Ummu Mildan. Asalnya, jin tersebut cuma nak jadikan si kecil sebagai anak angkatnya, atas dasar kasih dan sayangnya padanya. Jin tersebut sudah lama 'mendampingi' bayi itu sejak dia dilahirkan. Namun, setelah jin itu dicederakan oleh seorang perawat yang datang pada malam sebelum itu, hingga melukakan kakinya, dia mula bertindak ganas.

Taburan garam kasar dan lada hitam pada malam sebelum itu, telah menambah kemarahan jin itu. Lalu, jin itu mengurung si kecil dalam sebuah kurungan yang gelap dan menguncinya dengan 3 'mangga' (mcm solex) yang besar.

Hidayat mula 'berdiplomasi' dengan jin itu. Katanya pada jin itu,

kalau kau sayang pada bayi itu, lepaskan dia, kerana ibu dan ayahnya lebih menyayanginya. Kau tinggal di dunia lain, jangan diganggu hidup sikecil dalam dunia kami ini. Mana mungkin bayi ini dapat hidup di dunia kau yang gelap dan menakutkan itu...

Patutlah bayi itu menangis kerana dia sedang berada dalam dunia yang gelap dan menakutkan!!!

Diplomasi Hidayat nampaknya tidak berjaya... akhirnya, Hidayat melaungkan azan sebanyak 3 kali. Azan yang pertama, merungkai kunci yang pertama, azan yang kedua merungkai kunci kedua dan begitulah pada azan yang ketiga. Akhirnya kesemua kinci tersebut dapat dibuka.

Alhamdulillah, selepas itu, si kecil berhenti menangis. Dengan kuasa Allah. Tampak riang dan syukur di wajah ayah dan ibu si kecil.

Mungkin itu petanda yang dia dapat sewaktu di rumah tadi, iaitu mandi dan berwudhuk sebanyak 3 kali. Akhirnya si kecil lena dalam dakapan ibunya.

Pesan Hidayat agar si ayah dapat mencari rumah lain dan meninggalkan rumah tersebut, untuk mengelakkan kejadian yang sama terus berlaku. Dan lagi, agar diamalkan bacaan ayat2 suci di dalam rumah untuk 'menghalau' penunggu2 yang mendiami rumah.

Itulah keistimewaan sahabat saya, Hidayat. Boleh berkomunikasi dengan 'makhluk halus'. Berkongsi cerita ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sebagai 'ibrah dan pengajaran untuk semua.

p/s: Hidayat aktif dalam rancangan Bapakku.fm yang bersiaran pada hari Khamis, jam 12.00 pagi hingga 4 pagi. Beliau akan mendengar setiap panggilan telefon yang dibuat kepada DJ Bapakku.fm, Isma Halil Hamzah dan akan membuat ulasan akhir. Dengarkan bersama-sama...

Thursday, August 13, 2009

Pergi Tak Kembali

Demikianlah... Lagu sebuah kumpulan nasyid gergasi... yang begitu menyentap jiwa...

Kini, penyanyi asal kumpulan tersebut iaitu RABBANI, Ustaz Asri Ibrahim telah pergi menemui Rabbul Jalil... takkan kembali lagi ke dunia yang fana ini.

Saya dihubungi seorang rakan, Ustaz Nazib jam 12.15 tengah hari memaklumkan berita kematian Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim... katanya, Allahyarham meninggal dunia akibat serangan sakit jantung dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Menurut sahabat saya, Frizdan yang bergegas ke hospital berkata, Allahyarham akan dikebumikan di Kg. Bukit Lancung, Shah Alam berhampiran dengan Putra Height selepas Solat Asar.

Semoga segala usaha dakwah yang dilakukan selama ini, dikira sebagai amal dan bekal menuju akhirat... Sama-sama kita kirimkan Al-Fatihah kepada Allahyarham...

S
emoga dambaannya menjadi hakiki... InsyaAllah

Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...



Allahummaghfirlahu Warhamhu Wa'aafihi Wa'fu'anhu...


PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia, pulang… ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


Ini lah keratan lagu nasihat yang ditinggalkan buat kita semua... Itu janji Allah dengannya... Bilakah pula janji itu dengan kita semua? Gilirannya pasti akan tiba...

Monday, August 10, 2009

H1N1 kah???

Salam...

Berita tentang jumlah kematian mangsa H1N1 terus menjadi berita UTAMA. Kes yang semakin menjadi barah. Banyak sudah sekolah ditutup gara-gara menularnya wabak yang tak diundang ini...

Saya... hampir 2 hari tidak dapat bangun... demam dan batuk.

Cerita saya...

Sabtu dan Ahad, sekolah anjurkan perkhemahan unit beruniform. Saya dipertanggungjawabkan sebagai urusetia kendalian Solat dan Jurulatih Ikatan dan Simpulan. Walaupun kesihatan saya sejak Khamis kurang memuaskan, batuk2 kecil... saya cuba gagahkan diri.

Sabtu, saya datang agak lewat. Kira-kira jam 9.30 baru muncul. Sebabnya, badan lesu... tak bermaya. Demam semalaman... mula petang Jumaat, sekembalinya dari sekolah.

Tugas saya bermula jam 11.15 pagi... Stesyen Ikatan dan Simpulan. Ketika mengendalikan stesyen, rasa tak sedap badan,... cuba gagahkan jua. Sampai la waktu Solat Zuhur. Usai solat, terus ke kantin... ambil makan tengah hari, kemudian terus pulang. Saya minta cikgu Fuad menggantikan saya untuk imamkan solat Asar. Saya dah tak larat!

Memang betul... balik rumah, terus tumbang!

Saya telan dua biji actifast, kemudian tidur. Batuk pun makin teruk. Sakit dada.

Namun, saya cuba gagahkan juga... pergi ke sekolah jam 6 petang untuk kendalikan solat Maghrib dan Isyak. Namun saya memang takde daya. Batuk makin teruk. Saya pakai baju sejuk (sweater), untuk hilangkan rasa sejuk. Ramai yang menegur... demam ke? Ya... demam!

Saya hanya pulang ke rumah jam 11.15 mlm, selepas selesai persembahan murid. Tak ramai guru yang ada... jadi saya keberatan untuk melangkah pulang.

Singgah warung, beli burger untuk isteri dan anak. 'Hadiah' kerana mereka saya tinggalkan seharian... demi tugas.

Terlintas... kenapa la pentadbir tak batalkan saja perkhemahan ni... ramai murid yang terbatuk2 sepanjang program... malah tak kurang yang selesema dan demam. Sudah banyak perhimpunan dan program luar dibatalkan oleh pihak lain...

Saya sampai di rumah jam 11.45 mlm. Badan dah makin lesu. Telan paracetamol lagi. Ubat batuk kehabisan stok. Mula bimbang, jika wabak yang digeruni singgah ditubuh. Nau'zubillahi min zaalik... Rasa risau mula muncul bila Muazz, anak sulung mula tunjukkan tanda demam dan batuk... Hajar menyusul kemudian... MasyaAllah... Jauhkan kami daripada wabak ini. Peliharalah kami semua Ya Allah...

Hari Ahad... langsung saya tak boleh nak bangun. Tak dapat saya ke sekolah... walaupun masih ada tugas yg perluu saya selesaikan, namun apa lah daya saya,...

Pagi tadi... saya rasa masih kurang kebah demam dan batuk. Lantas ke Klinik Husna, untuk dapatkan rawatan. Bersedia sahaja kalau di minta ke Hospital... screening H1N1.

Ramai sungguh manusia di klinik tadi. Penuh. Tak sanggup nak masuk, tunggu di dalam. Masing-masing batuk2. Berbalas2 batuk... Saya kesian melihat anak-anak kecil yang dipangku ibu dan ayah... Ya Allah, selamatkan kami semua daripada wabak penyakit ini... Ameen

Saya masuk ke kamar doktor. Kata doktor, jika demam berterusan, sakit dada dan sesak nafas... segera ke hospital. Doktor berikan saya antibiotik sahaja. Katanya kalau badan masih tidak dapat menerima antibiotik, maknanya... bukan bakteria yang menyerang... itu mungkin VIRUS... Kena dapatkan Anti-Viral secepat mungkin...

Saya diberi MC dua hari. Terpaksa mengurung diri di dalam rumah. Cuaca yang tidak menentu diluar, mungkin akan mengganggu kesihatan lagi...

Sebentar tadi, dapat SMS daripada Along (abang sulung). Dia sedang berguru dengan Ustaz Harun Din. Menjadi Mu'allij... pesan Along tadi... buat air tawar sendiri, baca...

1. Surah Al-Fatihah
2. Al-Muawwizat (tiga Qul : Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas)
3. Ayat Kursi
4. Ayat Al-Hasyr 21-24 (Lau Anzalna...)
5. Selawat Syifa'
6. Doa Hajat Khususi... (apa yang dihajatkan...)

Tiup pada air... Air diminum, di jerlun dan mandi... itu pesan Ustaz Haron Din... Pengasas Rawatan Darul As-Syifa'...

Mudah-mudahan kita semua selamat... Muazz, Hajar... jangan lari ye masa nak makan ubat nanti... :)

Tuesday, July 28, 2009

Bersabarlah bila kita diuji

"Ya... duk kat hospital. Mungkin lama lagi sebab hari Khamis baru boleh buat CT Scan. Tak elok sebenarnya mengadu susah kepada sesama makhluk, seolah-olah kita tak redho dengan ketentuan Ilahi. Kalau ada cinta-Nya dihati, pasti ujian berat pun terasa manis. Kawe jauh lagi dari tahap tu... HasbiyaLlahu Wa Ni'mal wakeel..."

"Ilham kena masa umur 50 hari. Sekarang dah 73 hari. Dia tak demam, tapi penyakit dia infantile spasm (sejenis sawan, tanpa tanda-tanda). Dalam banyak kes, punca penyakit unknown. Ilham pun sama, doktor masih mencari punca penyakit. Kalau tengok body dan berat, dia nampak ok dan sihat"

"...Sedih jugak, tapi dah nama hidup di dunia, kena sabar atas ujian. Orang lain lagi susah. Inna liLlahi wa inna ilaihi raaji'un...

=====

Itu lah sebahagian balasan SMS daripada sahabat saya, Mohd Arif yang sudah agak lama tidak ketemu. Berita tentang anaknya dimasukkan ke hospital pun, saya dapat tahu daripada emel MailingList alumni saya.

Anak keduanya, Ilham baru berusia 73 hari. Mula dihantar ke hospital ketika umurnya baru 50 hari. Saya, tahu... sahabat saya ni memang seorang yang kuat dan tabah. Membaca SMSnya sahaja telah membuatkan saya yakin, beliau mampu menghadapi ujian Allah ini dengan tabah. Pergantungannya kepada Allah cukup tinggi. Beliau begitu yakin, setiap makhluk di dunia pasti diuji.

Saya juga mendapat khabar yang tidak baik daripada Fared. Anak sahabat saya yang baru berusia beberapa bulan turut dimasukkan ke hospital. Terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan darah beku. Mengikut maklumat yang saya terima, anaknya kini sedang mendapat rawatan susulan seperti fisioterapi, pediatrik dan neuro. Semoga Asfani dan Hidayati akan tabah juga. Baca cerita di sini.

Terdahulu, selepas kami menjalankan gathering di Putrajaya, anak kecil Fadzli dan Wahyuna (tuan rumah gathering) telah dimasukkan ke hospital. Akibat demam berlarutan. Kini Hannan sedang menerima antibiotik bagi memberi kekuatan pada dirinya.

Mungkin ini hanya sebahagian cerita dan berita yang saya tahu. Ada lagi yang tidak sampai ke telinga saya. Bila cerita ni tersebar, hanya doa dari para sahabat lain...amat diharapkan. Semoga si kecil yang diuji akan segera sembuh dan pulih. Semoga si ayah dan si ibu tidak kering air mata, mengenang nasib si kecil yang masih belum betah menerima sakit sebegitu.

Saya cuba menyelami hati dan perasaan sahabat-sahabat saya ini. Bagaimana mereka mengharungi kisah hidup apabila anak yang masih kecil merengek, menangis kerana kesakitan. Mungkin sekarang, mereka diuji... nasib kita, belum kita ketahuinya lagi. Kerana jika kita mengaku kita beriman, kita pasti akan diuji.

Firman Allah dalam Surah 'Ankabut, ayat 2-3 yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.

Semoga ujian Allah ke atas Arif, Asfani dan Fadzli serta keluarga akan menjadi iktibar buat semua dan akan menambahkan lagi pergantungan kepada Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku ke atas kita.

Sahabat... bersabarlah dengan ujian yang ada...

Popular Posts