Showing posts with label Computer. Show all posts
Showing posts with label Computer. Show all posts

Sunday, July 14, 2013

Kesan penggunaan komputer ke atas anak anda



ADAKAH komputer membawa pengaruh yang negatif kepada kanak-kanak? Ketahui jawapannya dan pelajari kesan penggunaan komputer ke atas anak anda.

Anda sedang melihat senarai beberapa video resepi kek cawan di laman web kegemaran anda. Sebaik sahaja anda mencatat resepi tersebut ke atas kertas, si manja anda terus memanjat riba anda untuk bermain dengan komputer. Jelasnya dia berminat melihat apa yang tertera di skrin komputer atau cara anda menaip menggunakan papan kekunci.

Terdapat ramai ibu bapa yang tidak menggalakkan anak mereka meneroka atau bermain dengan komputer dengan anggapan komputer mungkin boleh membawa pengaruh negatif ke atas perkembangan mereka. Adakah terdapat bukti kukuh untuk mengesahkannya? Bolehkah komputer menjejaskan perkembangan kanak-kanak?

Di sini terdapat beberapa mitos tentang penggunaan komputer oleh kanak-kanak:

Mitos # 1: Anak saya masih terlalu kecil untuk menggunakan komputer

Ini tidak benar. Kajian menunjukkan kadar pembelajaran kanak-kanak adalah paling cepat pada usia satu hingga enam tahun. Pada usia ini, mereka menyerap kebanyakan daripada apa yang mereka lihat atau belajar. Namun, kebanyakan kajian juga mengesyorkan bahawa umur tiga hingga empat tahun merupakan usia terbaik untuk mengajar si manja menggunakan komputer. Mereka telahpun membentuk pemikiran logikal dan tahap kebijaksanaan tertentu pada usia ini.

Mitos # 2: Buku sahaja sudah memadai sebagai sumber pembelajaran

Memang tidak salah untuk menyediakan semua buku di dunia ini kepada si manja. Tetapi, anda perlu tahu terdapat pelbagai gaya pembelajaran yang berbeza dalam pembelajaran. Selain daripada membaca,'bermain'juga merupakan suatu aktiviti yang boleh membantu si manja membentuk kemahiran intelektual yang penting. Menerusi cara yang sama, penggunaan komputer akan membantunya membentuk satu atau lebih banyak lagi kemahiran sedemikian.

Mitos # 3: Saya bimbang anak saya akan ketagih dan kurang bergaul

Ini tidak akan berlaku jika kita memainkan peranan kita dalam membantu anak-anak kita mencari keseimbangan antara masa yang dihabiskan dengan komputer dan aktiviti-aktiviti lain. Sebagai contoh, kita boleh menetapkan peraturan dan syarat seperti menetapkan penggunaan komputer dengan had masa atau menghadkan penggunaan komputer untuk tujuan memanfaatkan pembelajaran anak anda.

Kebaikan Penggunaan Komputer Awal oleh Kanak-kanak

* Pertingkatkan kemahiran pembelajaran - Kajian menunjukkan penggunaan komputer membantu

* merangsang minda yang berkembang, memperbaiki pengenalan huruf, kemahiran dan komunikasi lisan serta kemahiran berkonsep. Ia turut membantu si manja menyesuaikan diri dan belajar lebih cepat.

Merangsang kreativiti - Peluang untuk membentuk kreativiti menerusi penggunaan komputer tiada batasan. Program yang membolehkan anak anda menggubah lagu, menyelesaikan masalah logik kompleks dan pelbagai lagi membantu membuka `jendela peluang' untuk imaginasi dan kreativiti.

Meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah - Mereka yang menggunakan komputer sudah biasa mencari punca masalah dan menyelesaikan masalah secara logik. Ini akan membantu si manja memiliki proses pemikiran yang logikal dan juga memperbaiki kemahiran menyelesaikan masalahnya.

Bagaimana Anda Boleh Memulakannya

* Galakkan si manja untuk bertanya dan bersabarlah apabila mengajarnya cara menggunakan komputer.

* Perhatikan aktiviti dan kemajuan anak anda.

* Mulakan dengan mengajar mereka mencari maklumat yang menarik minat mereka. Contohnya, jika mereka ingin belajar tentang dinosaur, ajar mereka bagaimana untuk mendapatkan maklumat tentang dinosaur menggunakan enjin pencarian yang mudah.

* Cari program atau perisian komputer yang boleh memanfaatkan anak anda.

* Pastikan bilik komputer dalam keadaan teratur dan tunjukkan tabiat menggunakan komputer yang baik supaya boleh diikuti oleh anak anda.

Oleh Dr Goh Chee Leong, Pakar Psikologi.

Monday, November 15, 2010

Corak jenayah siber sentiasa berubah



Antara kaedah digunakan penjenayah siber

1. Berkenalan menerusi laman sembang. Ada dua cara untuk memerangkap mangsa, sama ada menerusi Internet atau berdasarkan janji temu yang diatur kemudian.

i) Menerusi Internet, penjenayah akan mensasarkan mangsa, biasanya wanita yang ingin mencari teman lelaki serta kesunyian. Bermodalkan perasaan mengambil berat mengenai mangsa selain penyamaran identiti lain yang lebih menarik, penjenayah mengatur masa lama bagi membolehkan mangsa termakan kata-kata. Berdasarkan perbualan laman sembang itu, ia kemudian bertukar kepada perbualan melalui telefon di mana akhirnya kepada perbualan unsur lucah dan penukaran gambar peribadi dalam keadaan bogel atau separuh bogel. Gambar bogel ini kemudian digunakan untuk menggugut mangsa, umpamanya memberi wang bagi mengelak ia disebar.

ii) Menerusi janji temu yang diatur kemudian. Penjenayah biasanya tidak menukar identiti sewaktu menjerat mangsa dalam laman sembang. Namun apabila membuat janji temu di luar, penjenayah terlebih dulu merancang tempat dan cara sesuai untuk memerangkap mangsa. Dalam situasi ini, mangsa mungkin dirogol atau diculik bagi tujuan mendapatkan wang daripada keluarga mangsa.

2. Phishing website (laman web palsu). Pelaku menggunakan laman web palsu menyerupai sesuatu organisasi perbankan untuk mendapatkan maklumat akaun serta kata laluan perbankan mangsa. Kebiasaannya orang ramai dihubungi menerusi e-mel yang meminta supaya membuka alamat pautan (link address) bagi tujuan mengemas kini akaun 'perbankan on-line' mereka. Menerusi data dimasukkan oleh mangsa, pelaku membuka akaun milik mangsa secara talian dan memindahkan wang kepada akaun pihak ketiga sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

3. Aplikasi Internet. Merujuk kepada peraduan berbentuk uji minda atau tawaran yang menyatakan seseorang itu memenangi hadiah. Sistem ini meminta pengguna memasukkan nombor telefon mudah alih bagi melihat jawapan atau menawarkan hadiah kerana berjaya menjawab tepat semua soalan berkenaan. Kemudian, satu kiriman SMS dihantar kepada pemilik nombor terbabit yang meminta supaya membalas SMS berkenaan dengan menaip 'AKTIF' atau 'ON'. Apabila dilakukan, pemilik sebenarnya tidak menyedari mereka melanggan khidmat yang dikenakan caj mengikut kadar berbeza dan hanya boleh dihentikan sebaik mereka menamatkan langganan dengan menghantar 'STOP' atau 'OFF' kepada perkhidmatan tadi. Biasanya cara ini dilakukan menerusi aplikasi dalam laman sosial seperti Facebook.

4. Telefon. Pelaku menyamar sebagai kakitangan perbankan dengan menyatakan pihak perbankan melakukan kerja naik taraf akaun. Orang ramai diminta memberi nombor akaun perbankan bagi membolehkan proses naik taraf dilakukan. Sebaik memiliki nombor akaun berkenaan, pelaku berpura-pura menyatakan akaun tidak dapat diakses dan memerlukan kata laluan. Mangsa yang tidak menyedari selalunya memberi kata laluan, sekali gus membolehkan pelaku mengakses akaun perbankannya.

5. Urus niaga atas talian. Membabitkan urusan jual-beli barangan yang diiklan dalam sesebuah laman web. Pelaku menawarkan barangan paling laris dalam pasaran dengan tawaran harga murah. Sebaik pembeli mencapai persetujuan, pelaku berpura-pura menyatakan penghantaran berkenaan dilakukan seperti dijanjikan dan sebagai syarat, pembeli diminta memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun penjual dan bakinya sebaik barangan berkenaan sampai ke tangan pembeli.

Dalam situasi ini, pelaku selalunya menggunakan akaun pihak ketiga yang turut ditipu sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

6. Muat turun haram. Menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk muat turun atau muat naik sebarang perisian, maklumat, lagu, video tanpa kebenaran rasmi pemilik.

7. Hasutan. Ini dilakukan penjenayah dengan menyebarkan fitnah atau penulisan, rakaman yang menghina seseorang.

8. Penggunaan Identiti. Pelaku menyamar sebagai individu lain dengan menggunakan segala maklumat, termasuk gambar seseorang itu.

9. Penghantaran virus dan cecacing bagi memusnahkan sistem perisian. Situasi ini digunakan oleh individu tertentu bagi merosakkan sistem komputer orang lain.

Sumber: Metro Ahad - Informasi Elektif

Wednesday, October 14, 2009

Rekaan berbeza bawa perubahan

PERKEMBANGAN komputer peribadi (PC) dan laptop kian maju dengan inovasi penggunaan yang dipelbagai dari hanya sebuah peranti untuk menaip hingga ke salah satu alat keperluan hidup.

Kebanyakan pengguna menggemari cara tradisional menekan papan kekunci pada PC sebagai antaramuka utama yang digunakan setiap hari selain rekaan laptop biasa berwarna perak.

Selepas pencetak mula memperkenalkan fungsi semua dalam satu serta fungsi sesentuh sebagai `lauk', kini tiba giliran PC mengalami situasi yang sama.

Selepas ini, mungkin tiada lagi CPU kerana semuanya boleh dimuatkan dalam monitor yang dijual vendor tambahan pula pengguna mementingkan penjimatan ruang di atas meja.

Bagi pengeluar PC terkemuka, Hewlett Packard (HP), PC semua dalam satu dibantu paparan skrin sesentuh mampu membawa perubahan baru dalam dunia perkomputeran moden.

Naib Presiden dan Pengurus Besar, Unit Sistem Desktop, HP Asia Pasifik dan Jepun, Dennis Mark, berkata keupayaan skrin sesentuh banyak merubah kaedah menggunakan PC.

"Kami pernah memberikan PC semua dalam satu dengan fungsi sesentuh kepada masyarakat yang tidak pernah mengenal teknologi sebelum ini.

"Hasilnya, mereka mampu melayari menu tanpa pengawasan pengajar kerana sentuhan lebih bermakna untuk semua perkara," katanya.

Jelasnya, sejak PC semua dalam satu kategori Touch-Smart diperkenalkan pada 2007, HP mendapat maklum balas baik dari pengguna yang mendapati fungsi terbabit lebih menyenangkan pelayaran menu atau aplikasi.

"Inovasi terbabit membuka peluang seluas-luasnya kepada dunia perkomputeran," katanya.

Beliau berkata, pengenalan TouchSmart menukar model berinteraksi antara komputer dan pengguna yang mana ia menumpukan persekitaran aplikasi berkaitan kehidupan manusia.

"Perhubungan antara manusia dan mesin suatu ketika dulu hanya terhad kepada perkara tertentu namun pengenalan skrin sesentuh membuka untuk penambahbaikan beberapa perkara.

"Ia membabitkan aplikasi yang meliputi ruang berkomunikasi masyarakat dengan PC sekarang adalah pembantu paling padan untuk manusia," kata Mark.

Berbeza dengan siri 2.0 yang lalu, TouchSmart 3.0 membenarkan banyak aplikasi dimuatkan untuk mengurus kehidupan manusia yang sofistikated.

"Kita menyaksikan produk skrin sesentuh berjaya di Jepun serta negara Pasifik Selatan seperti Australia dan New Zealand kerana antaramuka yang ditawarkan membina komunikasi dua hala," katanya.

Tambahnya, HP akan sentiasa melihat aplikasi yang bersesuaian untuk dimuatkan dalam PC semua dalam satu dengan fungsi skrin sesentuh.

"Contohnya, ketika ini kami mempunyai aplikasi foto yang membolehkan pengguna menyuntingnya menggunakan tangan dengan menukar saiz dan sebagainya.

"Ia salah satu daripada aplikasi yang disorotkan bersama produk TouchSmart terkini iaitu model 300 dan 600," kata Mark.

Mark berkata, HP menjalankan dua penyelidikan di India dan China yang menunjukkan keupayaan skrin sesentuh dan PC semua dalam satu amat ditagih pengguna di kedua-dua negara terbabit.

"Kajian mendapati hampir 7,000 masyarakat India yang tidak mengenal erti teknologi mampu menguasai PC berskrin sesentuh dengan pantas tanpa dibantu tenaga pengajar," katanya.

Sementara di China pula, hampir 70 peratus rakyatnya mahukan PC semua dalam satu untuk memudahkan mereka melayari menu serta berinteraksi dengan lebih baik.

"Kami percaya teknologi skrin sesentuh membolehkan manusia berinteraksi secara semula jadi berbanding jika diberikan papan kekunci saja kepada mereka.

"Ada yang bertanya kepada kami bagaimana untuk mengajar manusia menggunakan PC berskrin sesentuh? Kami hanya mengatakan mereka tidak perlu belajar kerana ia adalah sifat semula jadi manusia," ujarnya.

Beliau mengambil contoh penggunaan mesin juruwang automatik (ATM) yang tidak memerlukan pegawai bank untuk mengajar pengguna cara menggunakan mesin terbabit.

"Kalau kita lihat di pasaran, banyak vendor lain mula melabur dalam pembangunan PC dalam satu berskrin sesentuh," jelas Mark.

Prestasi menggunakan skrin peka sentuhan dikatakan lebih baik apatah lagi ketika ini dunia perkomputeran menuju kaedah kerja untuk memperoleh produktiviti dan komunikasi lebih pantas.

Ternyata fungsi skrin peka sentuhan membolehkan pengguna melakukan serta melayari PC dengan lebih baik walau di mana juga mereka berada.

Penggunaan PC semua dalam satu berasaskan skrin sesentuh direka menerusi inovasi optikal yang mana dua lapisan mengandungi bahan untuk menyebarkan cahaya bagi menghantar dan menerima isyarat membolehkan pengguna memilih menu dan pilihan dengan menyentuh pada skrin.

Menurutnya, walaupun pasaran PC desktop menguncup, pasaran PC semua dalam satu kian menjadi tarikan utama terutama di negara membangun.

"Laporan kaji selidik agensi penyelidikan terkemuka IDC terhadap masa depan desktop HP menunjukkan kenaikan berdasarkan pertambahan 14.6 peratus unit yang dihantar ke seluruh dunia," katanya.

Katanya, ia menunjukkan penerimaan pengguna terhadap peranti itu terutama pada masa depan.

"Menerusi PC semua dalam satu, HP membawa pengalaman desktop di dalam kategori notebook. Kami menawarkan rumusan yang disasarkan untuk membawa pengalaman baru yang menggabungkan reka bentuk terbaik dengan kefungsian yang mudah digunakan dan menarik penggunaan," katanya.

Bercakap mengenai fesyen laptop, Naib Presiden, Unit Perniagaan Mudah Alih, Kumpulan Sistem Peribadi, HP Asia Pasifik dan Jepun, Chua Hwee Koon, berkata situasi ekonomi dunia yang dialami hari ini tidak menghalang pengguna mendapatkan produk kegemaran mereka.

"Oleh sebab itu, kami turut memperkenalkan pereka Tord Boontje yang mementingkan alam untuk mencipta rekaan kerangka luar pada produk HP Mini," katanya.

Menurutnya, rekaan tidak hanya bergantung kepada bentuk luaran laptop namun ia turut bergantung kepada pengalaman melayarinya.

"Kami melihat dari segenap sudut untuk mereka faktor `wow' yang mampu memberi kejutan kepada dunia," kata Hwee Koon.

Menurutnya, inilah masanya kita memilih laptop yang betul, inovasi yang betul, reka bentuk yang betul dan prestasi yang betul, malah semua itu mesti memenuhi kehendak serta keperluan dan yang penting ia mampu dimiliki.

"Maka HP tampil dengan pelbagai produk baru ini yang memiliki semua ciri serta kefungsian ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki.

"Misalnya laptop yang ke arah fesyen selain teknologi, begitu juga dengan PC yang selama ini memang mementingkan reka bentuk," katanya.

Sebenarnya, semua inovasi ini terhasil mengikut kehendak pengguna yang sentiasa mahukan sesuatu segar walaupun ia membabitkan teknologi.

Benarlah kata Naib Presiden Kanan Kumpulan Sistem Peribadi, HP Asia Pasifik dan Jepun, See Chin Teik, "Produk baru yang dikeluarkan berdasarkan pacuan pengguna yang mahukan rekaan inovasi paling canggih."

Sumber: Harian Metro