Saturday, July 17, 2010

:: Hidup Tidak Selalunya Indah...

Sakit!!!! Sangat sakit! Sekali lagi aku dan abang diduga dengan ujian yang ku kira sememangnya berat! Tidak pernah kami terfikir akan melalui situasi sebegini hebat! Benar... hidup tidak selalunya indah dan tersusun rapi! Adakala, benda yang kita mahu... belum tentu akan kita kecapi. Akan tetapi, sesuatu yang kita tidak mahu itulah, hadir tanpa diundang!

'Keperitan' itu hanya aku dan abang dapat merasainya, bagaikan menusuk ke tulang putih! Aku tertanya sendirian; kenapalah aku harus melalui semua ini? Dalam ramai-ramai adik-beradikku, kenapa aku yang harus menanggung seksa ini? Ujian Allah itu adalah berbeza-beza. Ya, aku harus kuat! Aku harus menahan 'sakit perit' itu demi Alisya! Ummi cuba sayang. Andai sudah termaktub... untuk memulihkan anak, ibu dan ayahnya harus menanggung kesakitan itu... aku terima, aku akan lalui semua itu! Asalkan aku dan abang mendapat keberkatan dan petunjuk Illahi, demi memulihkan anak ini.

Aku sedar, tidak mungkin Alisya dapat menjadi senormal anak-anak yang lain. Pasti akan ada 'kekurangannya' jika pun Alisya dapat berjalan dan menguruskan diri kelak. Ikhlas dari hati seorang ummi, cukuplah andai itu yang ditakdirkan Allah. Sememangnya hati ini mahu melihat anak kesayangan jauh lebih hebat. Hati ini sentiasa berdoa dan memohon yang lebih indah untuk Alisya. Namun... aku mengerti akan setiap perkara yang terjadi!

Lama sudah aku tidak merasai dan meratapi kesedihan hati berkaitan Alisya. Mampukah aku harunginya sekali lagi? Apa yang terjadi pada aku dan abang hari ini, pernah kami laluinya dulu. Selalu aku bermohon, agar situasi ini tidak hadir lagi. Akan tetapi... setiap yang direncanakan Allah, punyai maksud yang tersendiri! Abang, harapnya abang kuat untuk menempuhinya demi anak kita. Dari mana puncanya, usahlah di bangkitkan. Ayang hanya bersandar pada abang, pada suami yang sangat ayang sayangi!!!