Thursday, August 05, 2010

:: Secangkir Senyuman Menusuk Kalbu...

Senyuman seindah mentari yang menyinar daripada anakku, cukup untuk melenyapkan segala kekusutan yang sering aku alami! Senyuman penawar duka, apatah lagi senyuman yang terukir di bibir Alisya, satu-satunya senyuman yang sangat aku tunggu! Biarlah ianya hanya seketika, tidak berlarutan, apatah lagi tidak sekali pun diiringi dengan kekekan dan gelak tawa kecil... namun cukup membuatkan hati ini berbunga riang!

Ya, Alisya masih belum mapu memberikan aku dan abang gelak tawa yang sewajarnya. Alisya masih jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakannya yang senasib. Jika nak dibandingkan dengan anak seusianya yang sehat, lagilah jauh di belakang! Alisya masih tidak berupaya ketawa apabila dikeletek, masih tiada tindak-balas yang mengujakan jika berinteraksi dengannya. Alisya masih lagi di takuk di mana dia tidak mampu memberi respon yang spontan jika bermain dengannya. Biarlah... aku tidak mahu terlalu 'mendesak', jauh sekali mahu membezakan Alisya dengan anak yang lain! Ini janjiku pada Alisya!!! Tidak mendesak bukan bermakna aku tidak berusaha ke arah yang lebih baik, tetapi aku tidak akan pertikaikan keupayaan Alisya kerana hanya aku yang memahami dan mengetahui sejauh mana kebolehan dan usaha anakku! Mungkin masanya akan tiba jua nanti.

Bagi ummi, Alisyalah yang paling menawan!
Senyuman inilah pengubat duka lara di hati... :)

"Ummi tidak akan membandingkan adik dengan kawan-kawan adik. Ummi tahu tahap keupayaan anak ummi dan yang pasti ummi yakin, suatu hari nanti Alisya pasti dapat 'membanggakan' ummi dan abi! Ummi yang mengandungkan adik, ummi yang melahirkan adik, ummi yang menyusukan adik! Tak sanggup ummi mahu kecilkan hati anak ummi dengan membandingkan kebolehan adik dan kawan-kawan adik, sebabnya ummi tahu bahawa anak ummi juga punyai perasaan dan faham akan setiap yang ummi bualkan bersama. Ummi tahu, hari itu akan tiba jua... di mana Alisya tidak akan berhenti dari tersenyum, seterusnya terkekek-kekek gelak-ketawa bersama ummi!".....

Abang juga pernah dibuai rasa yang sangat menggembirakan. Satu situasi di mana tatkala kami sedang berbincang dan berbicara mengenai sesuatu yang sangat merumitkan, sangat merunsingkan hati... tiba-tiba Alisya melemparkan senyuman yang sungguh meleret! Sungguh mendamaikan jiwa aku dan abang sekelip mata! Masih aku ingat senyuman itu. Mungkin ketika itu Alisya mendengar keluhan kami, lalu anak ini tidak mahu ummi dan abi terus-terusan runsing, maka hanya dengan senyuman yang menawan mampu membuatkan ummi dan abi terubat seketika! Dan sehingga hari ini, Alisya masih memberikan aku dan abang senyuman seumpama itu! Walaupun bukan setiap hari, bagiku itu adalah perkembangannya yang positif!

Tidak mengapa nak, ummi tetap sabar menunggu detik itu. Ummi tetap berdoa agar Allah beri ummi dan abi nikmat 'bergelak-tawa' dengan anak ummi ini! Mungkin ummi perlu lebih banyak bersabar... ummi tunggu! Walau 1000 tahun lagi, ummi tetap tunggu senyuman daripada anak ummi ini! Kerana hanya senyuman Alisya lah pengubat, penawar bagi hati ummi ini! Ummi sayang kamu; Alisya Qaireen!!!


** Masih banyak cerita yang tidak kesampaian. Adakala ummi rajin, ada masa ummi sangat malassssssssssssssss!!!