Showing posts with label PAS. PKR. Show all posts
Showing posts with label PAS. PKR. Show all posts

Monday, April 22, 2013

PRU-13: Pembangkang Sabah bakal gigit jari

SECARA simbolik nama pakatan pembangkang amat idealistik. Gah namanya tetapi hakikatnya seperti 'gong', kosong di dalamnya, hanya gema sahaja boleh didengar hingga berkilometer jaraknya. 

Maaf cakap. Impian mereka untuk 'menakluk' Sabah akan tinggal sekadar mimpi ngeri, atau sekadar mengigau dengan mulut dipenuhi air liur yang bukan setakat basi tetapi amat busuk sekali. 

Maksud pakatan adalah berpakat dan dalam dimensi politik pembangkang, ia merupakan kerjasama untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN). 

Resepinya amat mudah, jika berlawan jangan sesekali meletakkan semua calon mereka dalam satu kawasan untuk menumbangkan wakil BN. 

Semua maklum ia bukannya strategi bijak kerana sudah semestinya yang akan mendapat nikmat kemenangan ialah BN. Dalam situasi itu, pengundi yang cenderung berpihak kepada pembangkang akan berada dalam situasi was-was, siapakah yang akan diberikan satu undi itu. 

Di Sabah, terdapat 25 kawasan Parlimen dan 60 Dewan Undangan Negeri, (DUN) hampir dua pertiga daripadanya ditandingi secara bertindih antara pembangkang seperti Pas, PKR, DAP, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) dan beberapa lagi calon yang kecewa kerana nama 'tidak naik' atas tiket Bebas. 

Pelbagai resolusi dan deklarasi sebelum ini untuk memastikan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan BN hanya tinggal sekadar catatan atas kertas cadangan, semuanya tidak berjaya. Bukan salah mereka tetapi salah BN!, pasti ada orang-orang BN yang menggagalkan usaha itu!. 

Adakah ini menunjukkan kesepakatan?. Bayangkan untuk meletakkan calon pun tiada kesepakatan, apa pula ceritanya jika ditakdirkan mendapat mandat. Tidak mustahil Sabah akan jadi kelam kabut, bercampur-baur hinggakan langsung menjadi tidak lazat untuk dimakan. 

Satu kapal tidak boleh sesekali mempunyai ramai nakhoda, begitu juga dalam peperangan tidak boleh sama sekali mempunyai ramai panglima untuk mengeluarkan arahan. 

Kepada rakyat, buatlah pilihan bijaksana, nilailah apa yang sedang melanda pembangkang Sabah, adakah mereka ini akan dijadikan pemimpin. Masalah antara mereka pun gagal diatasi, inikan pula masalah rakyat yang semestinya pelbagai ragam. 

Semalam, proses penamaan calon di 25 pusat seluruh negeri berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk kawasan bergolak akibat pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu dan Semporna. Semua penyokong parti kerajaan dan pembangkang rata-rata menunjukkan budi pekerti cemerlang. 

Secara keseluruhan, terdapat 357 calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) mewakili BN dan parti-parti lain di DUN dan Parlimen, iaitu 262 calon di DUN dan 95 bagi Parlimen. 

Bermakna daripada daripada jumlah itu, hanya 85 sahaja bakal bergelar Yang Berhormat, manakala bakinya, 272 calon lagi bakal menggigit jari apabila hanya 60 kerusi DUN dan 25 Parlimen sahaja mempunyai kekosongan. 

Berbanding dengan PRU sebelum ini, semua kerusi ditandingi, tiada satu pun yang menang tanpa bertanding. Malah lebih 70 peratus kerusi DUN menyaksikan pertembungan empat atau lima penjuru, manakala kerusi Parlimen pula kira-kira 50 peratus daripadanya ditandingi empat penjuru. 

BN secara tradisinya bertanding di kesemua 60 DUN dan 25 Parlimen, bagi kerusi Parlimen, Star mempertaruhkan 21 calon, PKR (19 calon), Bebas (15 calon), SAPP (8 calon), DAP (4 calon), Pas (2 calon), Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) (1 calon). 

Bagi DUN pula, Star dan Bebas masing-masing menampilkan 49 calon, PKR (43 calon), SAPP (41 calon), Pas (9 calon), DAP (7 calon), Bersama (3 calon) dan KITA (1 calon). 

Kawasan Parlimen dan DUN yang paling ramai ditandingi ialah Parlimen Kalabakan serta DUN Sulabayan dengan masing-masing tujuh orang. Terdapat juga enam DUN yang masing-masing ditandingi enam calon iaitu Merotai, Bugaya, Kunak, Kundasang, Lumadan dan Tanjong Kapor. 

Daripada 25 Parlimen dan 60 DUN, hanya dua sahaja yang ditandingi satu lawan satu, iaitu Parlimen Sandakan dan DUN Tanjung Batu.