Showing posts with label Tentera Sulu. Show all posts
Showing posts with label Tentera Sulu. Show all posts

Friday, March 8, 2013

Kronologi Pencerobohan Kumpulan Bersenjata Di Lahad Datu (5 - 7 Mac 2013)

Berikut adalah kronologi selepas hari ketiga Op Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

5 Mac (7 pagi) - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh bersenjata Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan tentera dan polis di sekitar kampung itu.

5 Mac (8 pagi) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.

5 Mac (4 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu sidang akhbar operasi susulan dan penggeledahan diteruskan kerana percaya masih ada musuh di kawasan itu.

6 Mac (11 pagi) - Ketua Polis Negara sahkan kumpulan penceroboh mula menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.

6 Mac (4 petang) - Hari kedua Op Daulat: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan seorang anggota kumpulan penceroboh ditembak mati dan sembilan mayat ditemui di dalam lubang di kawasan ladang dekat Kampung Tanduo.

6 Mac - Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas di dalam sebuah lubang.

6 Mac - Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Al-Haj Murad Ebrahim mengakui kumpulan pemberontak terbesar di Filipina itu tidak terlibat dalam konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah.

6 Mac (6 petang) - Berlaku tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada kira 4.15 petang semasa operasi susulan dan penggeledahan.

7 Mac (7 pagi) - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan mengadakan kepungan di laut dan di darat untuk mengekang bekalan makanan dan persenjataan sampai kepada pihak musuh.

7 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Sabah dan bertemu pemimpin masyarakat kaum Suluk di Tawau; turut menyatakan kerajaaan tidak sangsi terhadap kesetiaan etnik itu berikutan insiden pencerobohan tersebut.

7 Mac (15.50 petang) - Perdana Menteri mengumumkan pada sidang media di Felda Sahabat pembentukan Kawasan Keselamatan Khas di pantai timur negeri ini, yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

- Najib berkata penceroboh Filipina di Sabah perlu letak senjata tanpa syarat sebelum tawaran gencatan senjata dipertimbangkan

- Najib umum tambahan lima batalion anggota pasukan keselamatan untuk ditempatkan di kawasan keselamatan khas di timur Sabah

- Najib berkata Op Daulat akan diteruskan sehingga penceroboh di Sabah meletakkan senjata tanpa syarat.

- Perdana Menteri beri amaran kepada mana-mana pihak jangan pandang ringan iltizam rakyat dan kerajaan mempertahankan bumi Sabah sebagai sebahagian dari Malaysia selama-lamanya.

7 Mac (5.30 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang musuh terbunuh dalam Op Daulat di Tanjung Batu semalam manakala 31 lagi, termasuk seorang berpangkat jeneral terbunuh hari ini.

7 Mac - Sehingga pukul 7 petang, seramai 52 penceroboh maut sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna. - Bernama

Thursday, March 7, 2013

Bukan masanya mana-mana pemimpin menuding jari


RM100 RIBU KEPADA KELUARGA ANGGOTA KESELAMATAN YANG TERKORBAN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga anggota keselamatan yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman mengumumkan sumbangan itu dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di Wisma Innoprise di sini kelmarin. 

Selain itu, beliau juga berkata bahawa kerajaan negeri juga menyumbangkan sebanyak RM50,000 kepada setiap anggota keselamatan yang cedera parah dalam konflik berkenaan. 

Musa menambah: “Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan pemberian bantuan-bantuan lain yang sesuai kepada balu-balu mangsa dan anak-anak mereka. - New Sabah Times

PBS HARGAI PASUKAN KESELAMATAN NEGARA

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengutuk serangan kumpulan penceroboh di Lahad Datu dan Semporna yang mengorbankan nyawa pasukan keselamatan dan mencetuskan gangguan ketenteraman awam di negeri ini. 

Presidennya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, PBS amat bersimpati dan bersedih atas kehilangan nyawa pihak keselamatan berikutan insiden itu.

“Soal menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab semua. Ia memerlukan kerjasama daripada semua rakyat, pasukan keselamatan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-28 PBS di Dewan Hakka, di sini malam Selasa. 

Sambutan Ulangtahun PBS itu diadakan secara sederhana kerana berkabung untuk memberikan penghormatan terhadap anggota keselamatan negara yang terkorban. Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri turut berterima kasih diatas tindakan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dalam memastikan kedaulatan negara dipertahankan. 

“Kita doakan penyelesaian akan diperolehi secepat mungkin untuk mengembalikan ketenteraman dan keselamatan awam kerana pihak keselamatan telah membuat tindakan terhadap penceroboh yang mencemarkan kedaulatan negara kita,” katanya. - New Sabah Times

V.K.LIEW SUMBANG RM5,000 KEPADA TABUNG PERWIRA DAN KEBAJIKAN POLIS

SANDAKAN : Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong membidas sekeras-kerasnya tkenyataan Naib Presiden Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menyifat pertempuran bersenjata antara Militan dengan anggota pasukan keselamatan yang berlaku di daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna sebagai satu sandiwara politik UMNO/BN. 

V.K.Liew menyifatkan dakwaan yang dilemparkan oleh Tian Chua itu seperti kebudak-budakan kerana menganggap peristiwa berdarah yang berlaku sehingga mengorbankan nyawa lapan orang anggota Polis yang mempertaruhkan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara masih dianggap remeh. 

V.K.Liew berkata demikian sejurus selepas menghadiri satu sesi sidang media mengenai isu pencerobohan bersama Ketua Polis Daerah ACP Rowell Marong yang dilangsungkan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jalan Pantai, dekat sini pagi kelmarin.

Dalam pada itu, V.K Liew memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Ketua Polis Daerah untuk tabung perwira dan kebajikan polis. - Sabahkini

PPS LAPOR POLIS TERHADAP KENYATAAN TIAN CHUA

Presiden Pertubuhan Pribumi Sabah (PPS), Dato Seri Mohd Jeffry Rosman bersama-sama ahlinya telah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu, kelmarin dan membantah sekeras-kerasnya kenyataan liar Tian Chua. 

“Saya membuat laporan Polis ini kerana membantah sekeras-kerasnya kenyataan Tian Chua yang mendakwa tragedi di Lahad Datu, Kunak Dan Semporna sehingga meragut nyawa anggota Polis sandiwara tidak masuk akal," kata Jeffry yang mendesak agar pihak berkuasa menangkap Tian Chua atas tuduhan menghasut. - Sabahkini

BUKAN MASANYA UNTUK MANA-MANA PEMIMPIN MENUDING JARI

SIPITANG: Timbalan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Sabah Sylvester Mutang Dawat, menggesa pemimpin pemimpin politik tidak kira di pihak pembangkang mahupun Barisan Nasional (BN) agar duduk bersama membincang untuk mengatasi masalah keselamatan Negara yang kini semakin meruncing. 

Beliau berkata, bukan masanya untuk mana-mana pemimpin menuding jari dan menuduh pihak lain dengan berbagai tuduhan yang tidak berasas yang kebanyakkannya sekadar gimik politik dengan agenda tertentu tetapi sebaliknya mereka lupa kesannya kepada keselamatan Negara. 

“Kita perlu menghormati dan bersimpati dengan keluarga perwira kita yang telah gugur dimedan pertempuran baru-baru ini, semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan Negara dari dicerobohi oleh petualang asing. - Sabahkini

Pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Tian Chua dan Lajim Ukin sepatutnya melihat bagaimana pemimpin-pemimpin diatas mengulas isu pencerobohan tentera Tausug di Lahad Datu. Dalam masa mereka memuji tindakan pasukan keselamatan negara, ada juga sumbangan yang disalurkan kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dan cedera. Janganlah taksub sangat dengan politik ketika negara berhadapan dengan situasi seperti ini. Apa gunanya pembangkang berjaya merampas kerajaan jika krisis ini masih berlarutan? Ada kalanya hal-hal politik perlu diketepikan bagi memberi laluan kepada penyelesaian mengenai isu pencerobohan ini.

Monday, March 4, 2013

Tolong Jangan Siarkan Rahsia Gerakan PDRM Dan ATM Di Sabah!

Sememangnya topik pencerobohan “tentera Diraja Kesultanan Sulu” yang mencemar kedaulatan negara menjadi perbualan hangat sekarang. Terpampang didada akhbar dan pelbagai media mengenai insiden berdarah itu.

Bermacam-macam jenis gambar turut tersiar dan tidak kurang juga cerita-cerita yang ditokok tambah disiarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Paling tak tahan, gambar keganasan yang meletus di Narathiwat, Thailand, juga disiarkan sama…

Sehingga kini, disahkan secara rasmi bahawa sudah 7 orang anggota PDRM telah terkorban di dalam pertempuran dengan gerila Sulu yang mengganas di Sabah itu. Antara kawasan yang disyaki telah disusup masuk penceroboh-penceroboh itu ialah Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

Meskipun sudah menyenaraikan seramai 7 mangsa dari kalangan anggota PDRM, pihak berkuasa itu menegaskan bahawa keadaan di ketiga-tiga lokasi terbabit adalah selamat.

Kenyataan itu disokong oleh siaran media arus perdana yang menunjukkan rakyat di Lahad Datu masih bebas membeli belah di pekan Lahad Datu dan mereka masih lagi boleh keluar berkerja seperti biasa.

Tahniah kepada pasukan keselamatan yang berjaya memastikan keadaan selamat di kawasan-kawasan tersebut.

Pun begitu, ramai lagi mereka-mereka yang masih suka mencari populariti dengan mensensasikan kejadian-kejadian yang berlaku di sana. Gambar-gambar operasi pasukan keselamatan di merata kawasan itu disiarkan sewenang-wenangnya.

Tidakkah mereka sedar bahawa siaran gambar-gambar tersebut di internet bakal mendedahkan maklumat keselamatan negara kepada penceroboh-penceroboh tersebut?

Misalnya, jika kita menyiarkan gambar pasukan keselamatan yang berkawal di depan simpang tiga tertentu di Lahad Datu, sudah tentu penceroboh dari Filipina itu dapat menghidu lokasi tersebut dan mengelak dari menggunakan jalan terbabit.

Bukankah itu tindakan yang tidak wajar? Janganlah berbangga dengan siaran yang kononnya eksklusif yang mampu menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara ini…

Justeru itu, saya merayu kepada semua pengguna internet yang sayangkan Malaysia supaya jangan sesekali menyiarkan tentang gerakan atau informasi pasukan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia diluar sana.

Bukan apa, dalam hal seperti ini, tindakan yang melulu pasti akan membawa padah. Seharusnya, gunakan akal yang dikurniakan Allah untuk mempertahankan kedaulatan negara ini.

Mungkin kita tidak mampu berjuang mengangkat senjata, tapi sekurang-kurangnya kita berjuang menggunakan akal yang kita ada. Tak salah, kan? - kedahan69ers