Showing posts with label Anak. Show all posts
Showing posts with label Anak. Show all posts

Monday, February 27, 2017

Makanan segera menjadi pilihan

Menjadi rutin setiap hari Sabtu itulah satu-satunya hari untuk bertemu anakanda di asrama. Semenjak berada di tingkatan dua inilah kali pertama kami pergi menjenguknya dua minggu sekali berbanding sejak dari tingkatan satu kami pergi setiap minggu. Semakin membesar semakin pandai berdikari. Apa lagi kini sudah dilantik menjadi Lembaga disiplin pelajar kenalah memikul sedikit tanggungjawab yang ditugaskan. Bukanlah berat mana contohnya minggu sebelum ini adik ditugaskan mengurus pendaftaran kemasukan pelajar tingkatan satu untuk tahun 2017.



Sudah beberapa kali bila kami datang, adik lebih suka keluar dari asrama berbanding memakan bekal yang mama bawa dan makan di asrama. Apa lagi ada kawan yang akan menumpang untuk bersama mencari barang keperluan. Kali ini kawan adik dari Melaka yang menumpang. Selesai makan tengahari masing-masing berbelanja membeli keperluan mereka. Biskut, air kotak, air mineral, kekacang dan toiletaries semua dibelanja. Selesai papa membayar semua jam sudah menginjak ke waktu asar. Sebelum balik ke asrama masing-masing mahu membeli KFC. Terperanjat aku rata-rata yang berada di dalam outlet KFC dan Marybrown adalah anak-anak dari tempat adik belajar. Bila di lihat sudah bagaikan pasukan bola sepak pasukan Selangor😀. Apa pun aku hanya membayar kepada anak yang menumpang kereta kami saja. 

~~ Makanan anak-anak asrama kini lebih lazat dan berkhasiat. Anak-anak semakin pandai. Silap sedikit dewan makan membuat menu pasti akan menjadi isu di mesyuarat perbadanan pelajar. Dahsyat! ~~



Wednesday, February 22, 2017

Tiga adik dulu dan sekarang

Ketiga-tiganya sepupu sebab mama mereka adik beradik. Balik kampung terlihat gambar sewaktu masing-masing masih bersekolah rendah. Adik darjah/tahun 1 (kiri), Adam (tengah) darjah/tahun 2 dan Afiq (kanan) darjah/tahun 3. Waktu itu mereka dibawa ke zoo negara. Masa kecil selalulah mereka dibawa ke tempat begini. 


Gambar bawah diambil akhir tahun lepas ketika kami balik kampung dan ketiga-tiganya sudah remaja. Sepakat mengambil gambar semula dengan gaya yang agak sama.  Adik remaja perempuan malulah mahu kangkang macam masa belum baligh dulu😀. Gambar bawah adik iaitu anak aku (kiri) di tingkatan 1, Adam (tengah) di tingkatan 2 dan Afiq (kanan) di tingkatan 3. Kesemua mereka ini juga adalah adik dalam keluarga sebab semuanya anak bongsu.

~~ Sepuluh tahun akan datang harapan mama semua sudah memacu wawasan untuk kerjaya masing-masing.~~

Tuesday, February 14, 2017

Melihat yang di depan mata

Bukan lapar sangat tetapi apabila keluar hanya berdua, lalu kami sengaja mencari tempat persinggahan untuk mengisi perut sambil bersantai. Suami tanya isteri, isteri tanya suami jawapan diberi "mana-mana bolehlah". Akhirnya singgah di sini. Sambil menanti pesanan melihat anak-anak remaja yang bekerja di outlet tersebut. Sementara menunggu keputusan SPM memang baiklah mereka berusaha mencari rezeki. Nilai RM dari sehari ke sehari kian merudum. Duduk bersebelahan dengan negara yang nilai matawangnya besar sangat terkesan. Melihat anak bukan bangsa aku yang bekerja di seberang tambak mendapat pendapatan sama tetapi dengan SGD lalu apabila convert ke RM nilainya sudah lebih tiga kali ganda. Anak bangsaku bekerja di bandar sendiri pendapatan sekadar mencukupi untuk membeli apa yang diingini bolehlah. Lebih dari itu tidak berupaya berbanding mereka yang memperolehi gaji dengan nilai SGD.


Setiap seorang memesan dua air. Coklat panas dan lemon madu si isteri punya. Manakala si suami seperti biasalah kopi dan lemon sejuk. Pesan juga spring-roll satu set. 

~~ Sebaiknya kepada yang mampu membeli aset terutama rumah belilah lagi dan lagi dari sekarang kerana kita tidak tahu akan datang mampukah kita membelinya?~~


Monday, February 13, 2017

Perjalanan yang masih panjang

Cuti tiga hari saja buat adik sudah kena balik bersekolah semula.

Malam - Biasalah bila anak-anak semua ada di depan mata ada saja agenda masing-masing. Ke Plaza Angsana untuk membeli buku dan stationery. Mereka berposing, mama pula 'curi' gelagat mereka.

Perjalanan - Biasalah bila balik ke asrama ada membawa bekal. Tetapi kali ini boleh adik kata sudah lapar. Lalu bekal dimakan di dalam kereta. Kalau mama tahu akan di makan di dalam kereta acar yang mama buat boleh dibawa. Bimbang basi itu yang bekal sebiji timun. Tengoklah adik makan timun dengan menggigit saja😀 Mama masak nasi tomato. ayam masak merah dan acar. Tetapi yang bekal adik ini mama tumiskan sayur kobis.

Durian - Singgah di bandar sebelum ke asrama adik. Rasa yang pahit-manis dengan isi yang tebal sangat puas.
Tidak habis - Membelinya dua biji tapi separuh lagi tidak termampu dihabiskan oleh kami bertiga. Bungkus plastik tebal-tebal masuk dalam kereta bawa balik JB.

Jiwa muda - Sepanjang perjalanan kami banyak mengulas isu ini disebabkan ketika dalam perjalanan kami ditemukan dengan gelagat dua anak remaja begini. Semoga mereka cepat sedar akan kesilapan ini  kerana cara ini bukan saja membahayakan diri mereka tetapi juga pengguna jalanraya yang lain.
Perjalanan sebagai anak remaja masih panjang lagi itu yang selalu kami mama/papa berpesan kepada anak-anak. Pasti ibu-bapa remaja itu pun tidak mahu anak mereka berbuat begitu. Bukan mudah mahu memantau anak-anak yang berada diluar. Pendidikan sudah diberi bukan saja di rumah bahkan guru-guru setiap hari mendidik tapi masih ada juga anasir begini terjadi. Sebenarnya sudah tiba masanya kita kena 'jaga tepi kain orang' tetapi siapa yang berani dan mampu? Silap bersuara boleh naik-turun mahkamah.

~~ Mendidik dan menasihati anak tidak boleh ada istilah putus asa.~~


Tuesday, January 17, 2017

Makan di tepian pantai Mersing

Sekarang menjenguk adik dua minggu sekali sebab itu janji yang termetri sebelum sessi persekolahan 2017 bermula. Oleh itu sabtu lepas kami semua pergi bertemu adik selepas menghadirkan diri di majlis perkahwinan anak sepupu dan jiran sebelah taman. Pergi ke majlis sebelum tetamu lain hadir dan hidangan pun belum keluar. Tetapi kami memaklumkan kepada sepupu mengapa kami datang awal. Selepas berbual seketika kami pun bersalam dan terus bergerak untuk berjumpa adik. 

Selepas mendapat kebenaran warden asrama terus bawa adik keluar. Singgah di masjid untuk solat zuhor, kemudian bawa adik ke klinik. Ada banyak ruam di badannya. Dapat krim untuk disapu. Selepas itu barulah kami beredar mencari tempat makan. Minta bantuan wase untuk mencari lokasi dipertemukan dengan tempat berhampiran pantai. Cantik juga.

Sambal belacan - Lihat dalam set ada sambal belacan. Hanya hubby, mama dan Mak Zah saja yang makan ini. Anak-anak timun yang terkena sambal pun dia sudah tidak mahu.

Set - Nasi putih, siakap tiga rasa, tomyam campur, kailan ikan masin, telur dadar dan sotong goreng tepung.

Bolehlah - Telur dadar dan sotong goreng tepung

Lagi - Kailan ikan masin dan telur dadar

Siakap - Pilihan anak-anak masak tiga rasa. OK juga dan ini salah satu dish yang licin kami makan.
Selepas makan mencari keperluan adik. Belikan air mineral, susu, net cuci baju, ubat tambahan bimbang kalau demam/batuk dan lain-lain. Membantu juga kawan adik mengambilkan duit di ATM sebab tanpa ibu-bapa mereka tidak boleh keluar. Menumpang ibu-bapa orang lain juga tidak dibenarkan. Kasihan pada mereka itu lalu aku berikan anak-anak itu jajan. Dari rumah juga aku sudah rebus jagung yang Mak Zah bawa dari kampung. Puas mereka makan jagung😀. Sesekali makan sedap tapi adik dan kakak-kakaknya sudah puas. Kami menghantar adik balik ke asrama selepas asar. Naikkan semua keperluan adik, salam-peluk-cium-doa kami pun bertolak balik JB.

Bertahun lagi aku kena berulang-alik menziarahi adik selagi mampu. Hujung bulan ini mungkin papa akan menjemputnya dan balik untuk cuti Tahun Baru Cina dan balik sana semula ke sana kenalah mama yang menghantarnya sebab Isnin 30 Januari papa bekerja dan mama masih bercuti.

~~ Rutin selagi ada anak belum habis bersekolah beginilah.~~

Tuesday, January 10, 2017

Ragam anak menagih kesabaran

Masa: Malam waktu belajar mengaji
Hari: Semalam

Ketika anak pertama yang mengaji duduk di hadapan aku, si comel itu sudah keluar bilik. Aku menjangkakan dia mahu ke bilik sebelah.Tidak seperti biasa dia akan cuba membelek dulu Iqra' dia sementara menanti gilirannya. Aku pula yang sudah tua ini tidak menduga ada sesuatu yang mahu dibuat olehnya tapi tidak kesampaian. Masuk anak kedua mengaji dia masih juga tidak masuk. Tidak lama dia masuk bilik dan mendapatkan kakak sepupunya yang sudah selesai membaca. Ada satu bau sudah dapat ditangkap ke hidung. 

"Siapa kentut? kena ambil wuduk balik." Boleh itu yang mama Zakie mereka ini bercakap dan sambung lagi menghadap anak yang duduk di depan untuk membaca. Tapi tiba-tiba Kak Meen masuk bilik "Mama, Icha terberak." Masya-Allah kenapa pula dengan si comel satu ini. Terpaksalah berhenti seketika. Kalau dulu si abangnya pernah terkencing ini si adiknya pula lagi dahsyat. Tapi anak kecil siapalah boleh menduga. Terpaksalah Kak Reen jadi tukang mandikan sementara Kak Meen mengambil tuala manakala aku selongkar kotak baju-baju kecil yang sudah lama tersimpan. Hujung tahun ini umur Icha akan masuk 4 tahun tapi mungkin sudah tidak tertahan terlepas juga. Cuma bernasib baik dia terbuang di depan toilet tidak di dalam bilik seperti abangnya dulu.

Upin-Ipin - Ini baju tidur adik sewaktu adik kecil dulu. Boleh ngam-nagm bila disarungkan ke badan Icha yang buat hal tanpa di duga oleh semua. Malam itu dia tidak mengaji sebab baru  siap dimandikan ibunya sudah datang menjemput.
Anak belum baligh menduga kesabaran mereka yang baligh inilah salah satunya. Kena ejek pun tidak berkesan dihatinya. Senyum saja siap boleh bertanya lagi bila aku sarungkan baju. "Baju siapa ni mama?" Tidak malu pun dia berbogel di depan mama Zakie dia ini. Boleh lagi berkata sabun mandi mama wangi. Alahai anak...

~~ Ragam anak tidak membawa apa-apa dosa tapi ragam orang dewasa boleh mengundang dosa.~~


Friday, December 23, 2016

Tempuh segala ujian dengan tabah

Empat tahun lepas tiga orang anak bersekolah. Semua pakaian sekolah aku jahit sendiri dengan tabah. Cuba bayangkan jika seorang anak tiga pasang baju, ada tiga anak mestilah kena sembilan pasang. Untuk sekolah agama juga tiga pasang bermakna tahun sebelum ini berbelas pasang baju sekolah aku kena jahit. Belum termasuk tudung yang selalunya setiap seorang juga tiga helai. Sekolah kebangsaan dan pagi pula tidak sama warna. Pengawas sekolah pagi warna biru muda tapi pengawas sekolah agama warna pink. Masuk tahun 2014 tinggal Kak Meen dan adik saja. Ada yang aku jahit dan ada yang aku beli siap. Malangnya baju beli siap biasanya jahitan tidak kukuh/mudah tetas.

Tetapi untuk tahun ini hanya adik seorang, aku sudah jadi malaslah pula. Kalau dulu tabah menjahit sebab mahu berjimat. Tapi bila tinggal adik seorang mulalah terdetik beli saja baju yang sudah siap lebih senang. Untuk tudung sajalah aku jahit😃. Dari dulu jika tudung anak-anak lebih suka mama jahit sendiri. Kenalah mama bertabah sebab tudung beli biasanya bahagian hujung depan akan terjongkit tidak sama jika jahit sendiri nampak terletak elok.

Ukur - Mudah saja jahit tudung. Selepas di segtigakan kain bertindan, gunting keliling dan pin paras mana untuk ruang muka. Macam kita buat telekung solat. Ini lagi mudah sebab kecil dan tidak perlu kekek di dagu dan pelapik atas kepala.

4 helai - Siap sudah bergunting dan berjahit untuk ruang muka tinggal jahit tepi keliling saja. Aku letih sebab baru balik dari menjenguk anak buah yang masih koma. Tetapi memandangkan sudah tidak ada masa aku gigih luangkan sejam juga buat ini. Hujung minggu ini kena balik Batu Pahat pula sebab ada kenduri aqiqah.
Mama Leha - Tabah dan cekal kakak aku seorang ini. Ujian terlalu besar buat orang yang baik sepertinya. Business Amway/shaklee/Avon/ serbanika/benih pokok bunga dan sayur semuanya terpaksa ditanggalkan untuk sementara. Mujur juga orang bawahannya cergas dan mampu menggalas. Duduk di hospital pun masih mendapat panggilan pelanggan yang mahukan produknya.  Untuk nursery pokok bunga pula jiran sebelah pun pandai tolong jual bila ada pelanggan datang. Abang ipar pula sentiasa ulang-alik ke HSI saban hari.
Sudah sebulan dan seminggu kini anak buah aku terlantar. Majlis pengantin anak buah pada minggu lepas Mama Leha sekeluarga saja yang tidak ada. Sewaktu di meja hidangan kami semua sama-sama teringat sehingga masing-masing mengalirkan airmata. Doa kami semua titipkan setiap waktu buat anakanda Muhamad Haikal ini. Anak yang baik, besar pula ujiannya. Walaupun Mama Leha punya kewangan yang kukuh tapi setiap bulan sebaik mendapat gaji tidak kurang RM700/- dia beri pada mamanya ini. Selepas solat maghrib setiap hari tidak lepas dengan Al-Quran, tetapi itulah apabila Allah mahu menguji siapa pun tidak mampu menepisnya. 

~~ Semoga keluarga kami mampu dan redha atas ujian ini semua.~~


Wednesday, December 21, 2016

Merakam gelagat mereka

Pertemuan pertama. Tidak ada rasa malu-malu. Duduk sama-sama. Mula-mula tunjuk yang dia ada kipas tangan yang diperolehi dengan menyelongkar beg tangan Nekzakie. Semua yang dewasa menyangka baik sebab pandai berkongsi. Tapi lain pula jadinya.  Pangkat cucu kepada aku sebab ini anak kepada anak buah kami.

Tunjuk - Cantik kan kipas Nekzakie 

Berebut - "Eh... janganlah ambil saya tunjuk aje"

Lawan - "Tak boleh saya kata tak bolehlah!"

Marah - "Lain kali janganlah tunjuk saya kalau kedekut tak boleh kongsi"
Moment ini waktu malam ketika kami sedang sibuk menyediakan barang hantaran anak buah kami yang menikah hujung minggu tempohari. Kiri berusia 17 bulan, dan kanan berusia 14 bulan. Berbeza tiga bulan pun sudah nampak yang lebih sedikit usianya lebih kuat.

~~ Anak kecil jika dapat apa yang dikehendaki akan ketawa, tapi kalau tidak dapat menangis.~~


Tuesday, December 20, 2016

Austin Heights Water & Adventure Park

Setiap hari pergi-balik kerja pasti aku akan melewati tempat ini tetapi aku tidak pernah terlintas untuk singgah. Dulu sewaktu aku kerja di Austin Hills Golf Resort tempat ini belum ada lagi. Bagaimanapun naluri mama tua ini tidak ada keinginan untuk mandi-manda atau bermain di situ sehinggalah adik bersuara teringin untuk pergi. Bijak juga perancangan adik dengan mengajak dua kawan tumpang mama pergi kerja dan balik bila mama balik kerja. Tetapi aku pula kurang senang untuk pergi mengambil anak-anak itu waktu pagi untuk pergi kerja. Oleh itu pada hari Sabtu lepas aku pergilah menjemput dua orang kawan adik dan hantar mereka bertiga ke sini. Sementara mereka mandi-manda dan bermain aku pergi menjenguk anak buah aku yang koma sambil bersembang dengan Mama Leha di HSI yang berhampiran dengan tempat ini. Pemanduan mungkin dalam sepuluh minit saja sebab jalan di sini sentiasa jem. Rasa aku kalau mengayuh basikal lebih dulu sampai berbanding memandu kereta.

Selfie - Mereka sibuk selfie bertiga tanpa sedar mama sudah menunggu dan mengambil gambar mereka
Penat - Mereka berkongsi locker. Locker yang murah tidak muat untuk meletakkan pakaian dan barang lalu berkongsi locker yang agak besar dengan charge dikenakan RM40/-
Posing - Masing-masing tahu ini mesti mama akan masukkan dalam blog.  Dari kiri: Mellisa, Nadzreena dan adik. Mereka ini semua bagaikana anak-anak aku. Pergi-balik aku jemput-hantar. Agak lewat inform saja mama mereka.
Pengunjung - Sayangnya petang itu hujan lebat. Kepada mereka yang dari jauh ramai juga yang hampa apabila ada announcement mengatakan minta dikosongkan tempat mandi.  Ramai yang menanti hujan teduh tapi nasib baik adik dan kawan-kawan tiba awal sudah puaslah juga menjelajah semua tempat sehingga tempat anak-anak kecil pun mereka teroka.
Gelang - Seperti water park yang lain di sini juga sebaik membayar tiket masuk akan diberi gelang ini.  
Menurut adik kerana waktu ini cuti sekolah tiket masuk hanya RM53/- saja. Jika harga untuk hari-hari biasa rasanya lebih RM80/-. Tetapi lebih murahlah jika dibandingkan di Legoland. Tetapi dari pemerhatian aku di sini lebih ramai warga Singapore yang berkunjung sebab aku lihat di kawasan parking kereta rata-rata plate kenderaan dari sana.

~~ Aku benarkan adik ke sini berbanding bercuti ke pantai. Bimbang ombak kuat dan keadaan kesihatan adik buat masa ini.~~



Monday, December 19, 2016

Adat dipelihara, agama dijunjung tinggi

Seminggu lepas kami meraikan majlis walimah anak buah kami aka sepupu anak-anak. Malam sebelum majlis akad nikah pada keesokan harinya kami bersama-sama menyediakan semua barang hantaran. Tidak ada satu pun yang kami tempah tetapi semuanya atas kreativiti mak-mak saudara dan sepupu yang ada. Jimat beribu sebab setelah bertanya kepada satu kedai setiap satu gubahan ada yang mencecah dua-tiga ratus. Oleh itu pakat-pakat baik kami buat sama-sama.

Daun pandan - Bagi menaikkan aroma pada setiap bekas hantaran kami buat kuntuman bunga dari daun pandan. Aroma original dari daun pandan dapat menaikkan seri meraikan mempelai.

Persiapan - Semua menghulur tangan masing-masing bagi menghasilkan gubahan yang sedap mata memandang. Sayangnya bila siap dan tersusun cantik, satu pun tidak ada di dalam handphone aku. Benar-benar lupa disebabkan sibuk ke sana-sini. Kena tunggu cameraman tempahan memberikan album. Kalau lihat dalam salah satu bakul ada bola mainan itu kerja budak belum 2 tahun. Sibuk juga 'membantu' berkali-kali mahu letakkan mainannya dalam bakul akhirnya kami biarkan saja bagi dia puas hati.

Khusyuk - Mak-mak dan anak-anak dara semua khusyuk membuat gubahan sehingga jam 12:00 malam. Sambil menggubah sambil menikmati hidangan beehoon goreng, mee goreng, soto dan kuih-muih.

Makan - Sebelum tetamu datang kami mak-mak dan anak-anak semua menikmati hidangan dahulu. Masak-masak dan waiter semua kami serahkan kepada pihak catering. Mudah, senang dan kami boleh bergaya sakan dengan tema baju hijau dan tudung kelabu.

Sepupu - Pengantin bersama sepupu yang kesemuanya anak dara yang mahu mendapat seri dari mempelai. Semuanya sepupu dari lima mama/mak/mummy. Tiga darinya anak aku.
~~ Selamat pengantin baru buat Siti Nabiha dan Mohd Shahir dari Mamazakie dan keluarga.~~

Thursday, December 8, 2016

Hablumminallah, hablumminannas

Setiap kali cuti sekolah inilah satu masalah yang pasti akan aku hadapi. Belum pun mama Zakie mereka ini selesai berwirid kaki-kaki mungel dengan muka selamba sibuk berebut mahu mengambil Al-Quran dan Iqra' masing-masing. Semua mahu jadi orang pertama duduk di depan mama. Cepat siap cepat boleh main, itulah yang mama sudah arif benar. Jadi kalaulah mama Zakie mereka ini belum pun masuk rokaat ke dua muka sudah tersembul depan bilik sudah pasti selesai mama solat mereka akan dipanggil. "Pergi wudhu' dan solat dulu." Oleh itu bila ruang bilik tidak cukup adalah seorang anak 'cerdik' ini solat di depan televisyen. 

Abang - Lihatlah  dia bersolat tidak mengadap qiblat. Mama tidak tahu sebab mama di dalam bilik. Gambar ini Kak Meen yang ambil. Dia solat mengikut arah carpet kecik tempat kegemaran Jojo kucing anak dara mama di sebelah itu. Mengadap ke utara. Siapalah yang tidak tergelak. Habis satu rumah termasuk semua anak-anak yang lain ketawa. 
Anak belum baligh beginilah. Bila ditanya apa dijawabnya, "Kalau rumah abang memang menghadap arah sanalah selalu ibu dengan papa sembahyang abang tengok." Jawapan mudah seorang anak berusia 6 tahun. Tapi jangan tidak tahu semua bacaan solat dia sudah baik dan mantap sebab anak ini belajar di tadika Pasti yang berteraskan didikan Islamik. Sebenarnya apa yang aku mahu terapkan jangan mengejar yang sunnah tetapi yang wajib terabai. Bersyukur juga ibu-bapa mereka tidak kisah apa pun aku susun untuk anak-anak mereka.

Titipan - Ini bukan mainan abang di atas tapi adalah titipan seorang teman blogger. Kalau boleh dia mahu kanda dia ini comey macam dia juga tapi si kanda dia ini tidak juga comey-comey. Jazakallahukhairon Adinda Hainom.
Berkat kasih sesama teman
ukhuwah terjalin indah sekali
solat menjadi tunjang keimanan
sedekah membuka pintu rezeki

~~ Semoga hubungan dengan Allah dan sesama ummah terus terpelihara.. Hablumminallah, Hablumminannas. ~~


Monday, November 28, 2016

Kasihnya ibu

Sejak bersalinkan empat ekor anak, Jojo menjadi kucing yang alim. Tidak seperti dulu suka bermain. Sudah jadi ibu muda dek kena rogol kucing liar di luar rumah. Itulah sibuk sangat keluar rumah bila ada peluang. Tidak terkejar tuannya bila dia sudah dapat peluang keluar rumah dan hanya akan balik rumah bila lapar. Akibatnya sudah kena rogol. Tetapi apa yang kami puji Jojo punya sifat keibuan yang tinggi. Sayang betul dengan anak-anaknya. Pantang mendengar kucing liar di luar rumah pasti cepat saja masuk ke dalam besen yang menempatkan anak-anaknya. Kini dari empat ekor tinggal dua saja yang hidup. Mungkin sebab Jojo belum cukup matang menjaga anak. Kami rasa berkemungkinan anaknya mati sebab tertindih sewaktu menyusu. Sedar-sedar balik dari shopping anak-anak memberitahu baby kucing sudah mati. Sedih.


Apa yang sadis mestilah aku kena simpan suara lebih sedikit kerana Jojo dengan anak-anaknya ini. Bayangkan bila aku buka pintu bilik tiba-tiba tersembul muka dia sedang menggonggong babynya. Mahu tidak bergegar satu rumah dengan jeritan aku. Kak Reen yang sedang menyidai kain, Kak Mira di dalam bilik dan KakMeen yang di depan PC terus datang ke bilik mama. 


Kalut dan panas terus kepala mama bila bertembung dengan Jojo begini. Memanglah anak-anak ketawa tapi dada mama berdegup kencang. Kalau lemah jantung boleh pengsan.

Sayang - Lihatlah sudah tidak mengira Kak Reen sibuk mengambil gambarnya pun dia buat tidak tahu. Mahu mencari lokasi baru untuk anak-anaknya selesa. Itu anggapan kamilah

~~ Binatang pun menatang anak bagaikan minyak yang penuh.~~


Thursday, November 24, 2016

Rasa bersalah seorang sahabat

Hari ini adalah hari akhir persekolahan bagi anak-anak di negeri Johor. Hari ini juga peperiksaan akhir untuk subject sejarah dan mathematics. Adik sudah beransur ceria walaupun masih bersolat duduk dan mandi berdiri tegak (susah mahu menggosok badan). Berjalan pun masih tidak stabil/betul. Tetapi semangat adik untuk sama-sama menduduki peperiksaan akhir semester masih kuat sama seperti rakan-rakannya juga. Motivasi dari guru-guru dan rakan-rakan adik tidak kurang membantu sedikit sebanyak kekuatan mental adik. 

Namun dalam keadaan begitu tidak kurang usik-mengusik rakan-rakan sebaya. Anak lelaki yang tertimpa adik tempohari sebenarnya amat merasa bersalah walaupun dia juga tidak kurang diberikan kaunseling kerana merasa amat bersalah dibimbangi menjejaskan emosinya. Usikan rakan-rakan mengatakan jika terjadi sesuatu kepada si rakan perempuan mereka (adik) dia kena bertanggung-jawab membuat hati seorang anak lelaki baru berusia 13 tahun amat kesal. Sehingga ada yang berkata kalau adik cacat dia kena kahwin dengan adik. Manalah mama dan papa tidak tergelak. Semua ini aku dapat tahu dari guru hal ehwal pelajar (HEP). Menurut HEP juga ketika adik diusung masuk ambulan anak itu menggigil ketakutan apa lagi disoal-siasat. Tetapi pihak maktab mempunyai cara terbaik menangani emosi pelajar mereka memandangkan peperiksaan akan dijalankan tinggal bersisa beberapa hari saja lagi waktu itu.

Sebagai ibu-bapa apabila sesuatu kejadian terjadi walaupun ia menjejaskan anak kita usahlah cepat melatah. Biarpun kalau mengikut nasihat doktor laporan polis boleh dibuat tetapi memandangkan kejadian terjadi tidak disengajakan aku tidak sampai hati melakukannya. Sementelahan pula apabila aku mendapat tahu daripada adik bahawa budak lelaki itu bukan bukan nakal. Begitu juga bila aku bertanyakan kepada rakan-rakan adik yang lain. Kekesalan di hatinya dapat aku rasakan. Inilah dikatakan takdir.
Sekadar hiasan - Telur pindang amat sinonim di negeri Johor. Kepada yang tidak pernah merasa mungkin akan mengatakan ianya telur basi. Tetapi ada pelanggan (tempat kerja) aku seorang mat salleh yang pertama kali makan sudah jatuh hati. Kalau kita makan sebiji dia boleh makan hingga 2 biji. Aroma perencah itu yang membuatkannya bertukar warna dan rasa.
~~ Bumi mana tidak ditimpa hujan, manusia mana tidak melakukan kesilapan apa lagi jika yang terjadi tidak disengajakan.~~





Wednesday, November 23, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 3

Bumi Johor kini boleh dikatakan kian kerap ditimpa hujan. Jika tidak turun di waktu malam, ia akan gugur di waktu pagi atau petang. Supermoon tempohari juga kami tidak berpeluang untuk melihatnya. Namun kami tahu kebesaran Allah tidak ada siapa yang mampu untuk menidakkannya. Ombar besar yang amat jelas kelihatan di pantai Danga Bay dan pantai Pontian baru-baru ini sudah cukup untuk membuat kami gerun. Melimpah-limpah air laut dengan ombak yang tinggi sehingga ke jalan-jalan raya. Bunyi desiran angin yang kencang sudah membuat kami membayangkan seandainya keadaan ini pun tidak mampu kami tepis apa lagi jika tsunami yang melanda. Allahuakbar!!

Begitulah juga tsunami yang menggegar jantung hati Mama Leha (kakak aku) apabila pagi-pagi lagi ketika mahu menghadirkan diri untuk bermesyuarat telefon bimbitnya berbunyi memberi khabar kurang enak. "Puan ini ibu En Haikal?" Sebaik mengiakan, dihujung talian menyampaikan berita yang menggegar jantung Mama Leha. Setelah diberitahu kedudukan kemalangan itu terus saja Mama Leha dan abang ipar menuju ke destinasinya. Anak buah aku ketika itu menahan sakit sehingga rumput di sebelahnya dicabut-cabut hingga licin, sambil menanti ambulan. Itu yang membuat kakak dan abang tidak sabar terus saja dibawa ke hospital terdekat menggunakan keretanya. Secara kebetulan anak sulung Mama Leha (seorang staff-nurse) sedang berseminar di hospital  tersebut. Waktu itu belum pun sejam berada di seminar tetapi membantu dan memudahkan si kakak untuk terus saja membawa adik lelakinya ke dalam. Si adik sudah pengsan dan diberikan bantuan pernafasan. Haikal anak buah aku kemalangan dengan kereta seorang anak gadis baru mendapat lesen. Keadaan jalan sedang dalam pembinaan projek rapid membuatkan mungkin dia tidak cekap. Signal arah lain masuknya bertentangan. Laju pula apa lagi berdentumlah. Dia sudah memohon maaf tapi bagai aku katakan apa yang Allah tulis di Loh Mahfuznya kita tidak tahu. Redhalah atas ujianNya.

Hasil dari diagnosed yang dilakukan ada pendarahan di otak. Operation perlu dilakukan segera. Memandangkan hospital di situ kurang kelengkapan, terpaksa petang itu dihantar ke HSI (Hospital Sultan Ismail). Kedudukan HSI dengan tempat aku bertugas amat dekat oleh itu selepas selesai discussion bersama pelanggan terus saja aku tinggalkan pejabat menuju ke HSI. Sewaktu mahu menziarahi anak buah aku inilah aku mendapat panggilan MRSM adik belajar. Itulah sebabnya aku terus terdetik pasti ada salah-silap yang tidak kami sedari sehingga Allah memberikan dugaan ini kepada aku dan kakak aku serentak. Kalau Mama Leha ditimpa ujian pada pagi hari aku pula di waktu petangnya.

Sehingga kini adik masih lagi bersolat duduk manakala anak buah aku masih koma di HSI. Operation kepala sudah dilakukan. Apa yang sedih 1/4 bahagian tempurung kepala yang asal terpaksa dibuang memandangkan bank untuk menyimpan tempurung kepala di HSA sudah terbakar. Jika bank itu tidak terbakar masih boleh disimpan sementara menanti sembuh boleh disambung semula. Ujian Allah tidak siapa mampu menahan. Semoga ada sinar di sebalik kegelapan seketika yang Allah berikan buat keluarga kami. Perancangan untuk kami sekeluarga berkumpul pada 26/27 November ini terpaksa dibatalkan atas nasihat Abah Din satu-satunya abang kami.

Tarik nafas - Tarik nafas dan hembus perlahan. Sesak membaca entri di atas lihat gambar ini.  Soursop atau durian belanda ini dijual dengan harga RM22/- sekilo. Sungguh aku tidak sangka begitu mahal harganya sebab di rumah kampung kami ada kalanya hingga jatuh ke tanah tidak termakan. Boleh dijadikan business kalau ada tanah.

~~ Dugaan Allah ini semakin mendekatkan ukhuwah kami sekeluarga. Biarlah ketika ketawa dan menangis kami bersama. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa yang tidak kami sedari.~~


Monday, October 31, 2016

Mama sudah tua

Hari: Sabtu 29-10-2016
Waktu: Malam selepas anak-anak selesai mengaji

Sudah menjadi perkara biasa apabila mereka tahu esoknya cuti sekolah selepas selesai mengaji mereka akan terus bermain, makan-makan kudapan yang ada sehingga puas. Apa lagi jika adik bercuti  menonton VCD menjadi kesukaan anak-anak. Kepada yang tidak minat menonton itulah keluar masuk bilik aku.

Anak: Mama dah tua kenapa masih mengaji juga?
Mama: Sebab dah tualah kena baca banyak-banyak.
Anak: Mama belum khatam lagi ke?
Mama: Sudahlah. Kalau tidak macam mana nak ajar adik.
Anak: Habis kenapa mama baca tiap-tiap hari?
Mama: Sebab mama dah tualah sayang, tak lama lagi mama mati.
Anak: Alaaa.... mama janganlah mati. Nanti siapa nak ajar adik

Anak-anak - Mereka menggayakan tudung baru ole-ole mama balik dari Terengganu. Sehelai RM15/- saja tapi nampak comel pula apabila mereka menggayakannya. Conversation di atas lahir dari anak yang tepi kiri sekali (4 tahun - kini sudah membaca Iqra' 3)
Sebenarnya aku terharu apabila dengan nada sedih anak itu merayu mohon aku jangan mati dulu. Sungguh walaupun dia bukan anak kita jauh di sudut hati aku mengaminkan doa anak ini semoga diterima Allah. Aku pun sebenarnya mohon biarlah aku dipanjangkan usia dapat melihat semua mereka mengamalkan apa yang telah aku curahkan selama ini.

~~ Tidak ada siapa yang mampu menahan seandainya Izraeil sudah datang menjemput.~~


Thursday, October 13, 2016

Kismis mama sudah habis

Budak tidak tahu apa dia kebaikan dan khasiatnya. Apa yang mereka tahu sedap dimakan. Bila habis di dalam balang yang selalu dimakan mudah baginya bertanya "Mama belum beli lagi ke, kismis dah habis tau." Itulah yang dia tahu. "Makan dulu kurma dan biskut yang ada." Itulah jawapan Mama Zakie mereka ini. Sebenarnya aku terlupa membelinya sewaktu shopping minggu lepas. Esoknya datang mengaji mengadu pula kepada Kak Meen. Tetapi Kak Meen menjawab nakal "Adik suruh ibu adik belilah." Aku senyum saja. Tapi anak cerdik senang saja jawapannya "Kismis mama beli sedap. Ibu tak pernah beli." Bertuah betul anak 4 tahun yang cerdik memberikan jawapannya.

Ada dinyatakan di dalam kitab At-Tib An-Nabawi yang merupakan perubatan nabi dinyatakan dalam hadis yang bermaksud " Sebaik-baik makanan adalah buah zabib (kismis) kerana ia mampu menghilangkan keletihan, menguatkan urat-saraf, meredakan kemarahan, mencerahkan kulit dan mengharumkan bau hidung dan mulut."

Kudapan - Biasanya aku masukkan dalam bekas-bekas begini untuk memudahkan anak-anak membuka dan nampak isi di dalamnya. Kismis sudah habis belum dibeli lagi.
Pilihlah - Warna hijau dalam balang itu dapat 5 goodie-bags masa majlis kahwin, tuang semua dalam bekas. Sama juga botol yang baru kosong di dalamnya kekacang dpt dari hubby attend seminar. Koko crunch itu dapat dari hamper orang bagi. Kurma itulah yang sekarang aku ganti kismis yg  habis buat sementara waktu. Itulah hikmahnya ada anak-anak yang datang ke rumah, jika tidak siapa yang akan makan semua ini.
Kudapan ini aku sediakan sementara menanti giliran membaca bolehlah mereka menikmati ini. Begitu juga selepas habis mengaji sebelum ibu/ayah mereka datang menjemput. Budak-budak bila ada kawan yang sudah menjamah yang lain pasti akan ikut sama. Hanya selepas mereka balik kita kenalah periksa kerana pasti ada bekas yang tidak di tutup rapat.

~~Kismis mengandungi mineral berbentuk kalsium dan fosforus, glukos dan fruktos, vitamin A dan vitamin B.~~

Monday, October 10, 2016

Hukum ular panjang

Habis membaca doa untuk memulakan bacaan selepas al-fatihah kenalah membaca arahan yang tertera di atas muka surat tersebut. Mama pun akur menanti kerana bibir anak itu menuturkan patah-patah ayat yang ada. Tiba-tiba apa yang keluar dari bibirnya " Tanda ular panjang kena baca panjang" Macam manalah mama tidak tersembur ketawa. 

Mad - Inilah yang dikatakan ular panjang oleh si abang yang berusia 6 tahun itu. Si abang ini belum pandai membaca jawi untuk perkataan panjang seperti di atas. Jika yang pendik seperti perkataan harkat itu dia pandai.  
Aku mengambil iktibar ini untuk diri aku sendiri. Selalu aku berkata pada anak-anak, "Tengok ada tanda macam ular panjang ini kenalah baca panjang 6 harkat". Jadi dia faham kena baca 6 harkat tetapi menggantikan perkataan mad kepada ular panjang itulah yang silap. Rata-rata semua anak sudah faham huruf mad lazim atau tabi' iaitu Alif, Wau dan Ya dibaca dengan dua harkat tetapi dengan mad-mad yang lain seperti mad wajib mutasil, jaiz munfasil dan sebagainya biasa bila sudah masuk Al-Quran baru mereka akan lebih faham kerana di sekolah juga mereka akan didedahkan dengan hukum-hukum tajwid ini.

~~ Anak ibarat kain putih. Jika kita selalu sebut ular panjang, jangan salahkan mereka mengapa sebut ular panjang juga. Ingatan buat diri ku ini kenalah menggunakan perkataan yang betul.~~

Tuesday, September 6, 2016

Walyatalattof

Hari: Jumaat lepas 
Masa: Waktu mengajar anak-anak mengaji selepas maghrib 
Surah: Al-Kahfi 

Menjadi anak yang belum baligh bertemu dengan ayat apa pun jua sekadar membaca seandainya kita tidak memberikan pendedahan. Bertemu ayat yang disunatkan bersujud/sajadah pun kenalah kita terangkan, jika tidak pasti dia akan membaca terus tanpa bertanya itu-ini. Apa yang penting padanya bacaan memenuhi tajwid yang dimestikan oleh orang yang mengajarnya. Tetapi bila bertemu yang pastinya hanya sekali di dalam Al-Quran tentulah menjadi tanda-tanya pada anak-anak.

Terhenti - Sebaik bertemu perkataan ini dia terhenti dan senyum. "Kenapa ini merah mama?". Pandai juga bertanya sebab bukan dia seorang yang musykil bila bertemu ayat ini. Rata-rata anak yang menggunakan Al-Quran cetakan Malaysia akan bertemu begini. 
Walyatalattof - Inilah perkataan yang duduknya betul-betul di tengah-tengah kitab Al-Quran. Duduknya di juzuk ke 15, pada surah Al-Kahfi. Maksud perkataan ini "hendaklah bersikap lembut". Latif bermaksud lembut. Samalah dengan ini. Cuma ada kata kerja "hendaklah"  nahu bertukar bunyi tapi maksud tetap sama. Tetapi jika kita menggunakan Al-Quran yang kita beli di Mekah/Madinah biasanya kita tidak akan jumpa perkataan ini dibold atau diwarnakan. 
Adik - Walaupun sudah 9 tahun tetap adik juga. Ada satu kakak dan satu abang. Berharap boleh katam tahun depan. Itu penyapu lidi di belakang sebagai 'jaga' aku takut Jojo, kucing anak aku dari menceroboh masuk.
Anak-anak kecil ibarat perisian komputer baru. Banyak boleh diisi dan tidak mudah tepu. Berbanding mendidik yang sudah dewasa lebih mudah mendidik anak-anak yang baru belajar mengenal bacaan. Tetapi menjadi tanggung-jawab mendidik kepada yang memerlukan tidak kira anak kecil mahupun dewasa. Ada tanggungjawab di situ jika tidak dilakukan akan ditanya di akhirat kelak.

~~ Setiap manusia selagi masih bernyawa ada tanggung-jawab kena jalankan.~~

Thursday, September 1, 2016

Mereka belum mumayyiz atau baligh - 2

Sehari sebelum itu setiap anak yang menapak masuk senyum-senyum berkata "bau durianlah mama." Sedihlah juga sebab tinggal bau saja sedangkan bendanya sudah tiada lagi. Untuk tidak menghampakan mereka semua itulah esoknya papa bawa balik banyak sedikit untuk dikongsi dengan anak-anak yang tidak ada dosa ini. Sementara menanti giliran mengaji mereka makan dulu. Selepas mengaji sambung semula. Sediakan air minum (air masak sejuk saja) dan tissu. Cuci tangan masing-masing sudah tahu ke dapur sendiri.
Sedulang - Papa jadi tukang bukakan buat mereka. Selagi mereka mampu makan papa buka saja. Tapi sentiasa pesan kena minum air banyak-banyak. Lihatlah rambutan mereka tidak pandang di tolak ke belakang. Anak-anak bertuah:)

Nikmat - Bila kena panggil masuk bilik aku pula yang naik pening kepala. Ada yang masih comot mulut aku perintahkan untuk cuci semula. Begitulah anak-anak. Walaupun aku sudah tidak punya anak kecil tapi anak-anak ini semua memberi sedikit keceriaan buat diriku. Bila balik terlewat takut mulalah ambil telefon mama Zakie untuk menefon ibu mereka.
Baki - Budak-budak bukan banyak mana pun makannya. Lama-lama tidak terhabis juga dan inilah bakinya. Esoknya aku kupas masukkan ke dalam bekas besar, tutup rapat-rapat masuk dalam freezer bekukan. Bila teringin kelak boleh keluarkan dalam setengah jam sudah boleh dimakan.
Main Saidina - Bila sudah bermain lagilah lalai. Bila ibu telefon bertanya belum siap lagi ke?  Baru masing-masing sengih minta diri. "Mama nak baliklah".
Sementara ada anak-anak ini adalah keriuhan di rumahku. Tetapi ada kalanya bila bising sangat kerana bermain sehingga mengganggu yang sedang khusyuk mengaji kena marah juga. Oleh itu cara terbaik supaya mereka duduk diam bagi saja makanan, mesti khusyuk makan selagi belum dipanggil selagi itulah mengadap makanan. Itulah anak belum mumayyiz dan belum baligh.

~~ Dunia kanak-kanak sangat indah untuk dikenang.~~