Showing posts with label Penanda Quran. Show all posts
Showing posts with label Penanda Quran. Show all posts

Thursday, April 21, 2016

Itulah dikatakan anak tidak matang

Sambil duduk di sebelah aku dia memerhati. "Ekeleh... fatihah pun tak pandai" itu yang keluar dari mulutnya. Langsung tidak teringat awal tahun lepas dia pun sama. Abang yang pada awal tahun lepas satu huruf hijaiah pun tidak tahu malam tadi sudah mengakhiri bacaan Iqra' 5. Mesti dia rasa perkara semudah itu pun budak ini tidak tahu. Kanak-kanak tidak ada rasa bersalah hatta dulu dia lebih payah berbanding anak yang ada di depan aku ketika dia berkata demikian. Malam ini abang sudah bolehlah mulakan membaca Iqra' 6, itu yang mungkin padanya fatihah satu bacaan paling mudah sebab sudah dibacanya setiap hari.

Sebenarnya malam tadi aku menerima dua anak comel, kira mendaftarlah untuk sama-sama menimba pembelajaran seperti kawan-kawannya yang lain. Seorang berusia 7 tahun dan seorang berusia 5 tahun. Biasalah bila belum pernah mendapat pendedahan seperti abang yang 'berlagak' di atas itu anak ini agak berat lisannya untuk membaca suroh al-fatehah. 

Mia - Baru bermula malam tadi. Ibunya ada membawakan rehal tetapi aku sedari kecil sudah terdidik dengan bapak mengaji beralas bantal jadi dari dulu juga aku memang menggunakan dua biji bantal sebagai alas membaca.
Akhir Iqra' 5 - Abang yang dulu sampai menangis-nangis kata susah mengaji dengan mama Zakie sehingga siibu menunggu di rumah aku kerana tidak mahu mengaji,  kini baru setahun sudah hampir habis membaca Iqra'. Sebelum ramadhan rasa aku abang sudah boleh tamat membaca Iqra' kerana pembacaannya sudah benar-benar lancar. Alhamdulillah.
Baru bermula - Malam tadi bertambah dua naskhah Iqra' masuk di dalam almari. Satu kepunyaan si kakak Syasya dan satu lagi siadiknya Mia. Mereka sebenarnya menyewa rumah kami yang baru kami beli atas nama Kak Reen.

Iqra' - Lihatlah perbandingan dua yang di atas dengan yang di bawah. Bawah sekali itulah abang yang dulu punyalah susah membaca. Naik lunyai Iqra'nya. Budak lelaki tidak sama budak perempuan. Walaupun membaca Iqra' tetapi mereka semua menggunakan penunjukseperti kakak-abang yang membaca AlQuran. Aku gunakan chopstik sebab keras dan pasti tidak patah. Semua anak-anak yang mengaji dengan aku menggunakan chopstik pemberian  Huda Cik Minah Lesing (CML). Melekat sudah nama ini dengan Huda (marah kalau ketahuan si abahnya En. Sani yang memberi nama cantik-cantik diubah hihi...)
Sebenarnya Kak Meen mahu aku berehat dari menerima anak-anak baru. Melihat mamanya tidak cukup rehat itulah dia mahu selepas semua sudah khatam dia mahu aku berhenti. Tetapi malam tadi datang lagi dua yang baru. Sebenarnya aku rasa tidak ada jariah untuk ditinggal bila mati kelak. Itu yang aku katakan pada anak-anak. Buat kerja inilah saja yang aku rasa benar-benar ikhlas, berbanding kerja-kerja lain. Mungkin juga sebab aku suka pada kanak-kanak dan merasakan mereka ini bagaikan terapi bila keletihan. Mohon Allah kurniakan aku kesihatan yang baik itu saja.

~~ Jangan mengira berapa usia untuk terus mentadabbur kitabullah.~~


Friday, September 5, 2014

Mari membaca Al-Quran - Hukum Saktah

Hari ini makcik khususkan entri makcik untuk anak-anak yang baru belajar membaca Al-Quran. Dua hari lepas sewaktu makcik mengajar salah seorang anak mengaji terjumpa hukum saktah. Tetapi sebab jarang bertemu dilanggar semacam oleh anak tersebut. Membaca Al-Quran sudah hampir khatam tetapi masih tersilap juga. Secara kebetulan malam tadi hari membaca Yaasin terjumpa lagi hukum saktah ini. Jadi kenalah makcik jelaskan kepada semua tentang hukum saktah yang hanya ada satu dalam suroh Yasin.

Ayat yang ditemui dua hari lepas  - Pembacaan hendaklah berhenti sebentar pada ayat 28 tetapi tidak mengambil nafas bahkan hendaklah diteruskan untuk membaca ayat seterusnya (ayat 29).
Petunjuk - Biasanya akan ditunjukkan di sebelah ayat tersebut seperti ini. Jelas dinyatakan sebagai peringatan ketika membaca. Semua Al-Quran resam Uthmani pasti ada.
Suroh Yasin - Satu-satunya hukum saktah di suroh Yasin yang malam tadi makcik jelaskan. Anak-anak yang belum membaca Yasin bolehlah membukanya sekarang. Kalau kini sedang membaca suroh Al-Kahfi habiskan dulu pembacaannya. Selepas ini buka pula suroh Yasin ini untuk melihatnya sendiri.
Huruf sin yang kecil - Lihat anak panah yang makcik tunjukkan itu. Itulah tempat hukum saktah diaplikasikan. Ini terdapat jelas di dalam suroh Yasin.
Tanda di tepi ayat - Lihat anak panah pink -  kotak kecil tersebut memberitahu dimana hukum saktah perlu dibaca.
Sekali lagi ingin makcik tekankan di sini bahawa saktah bukanlah waqaf dan bukan ibtida'. Kalau waqaf terus berhenti dan akan mengambil nafas baru bagi meneruskan pembacaan. Begitu juga ibtida' pula membaca tidak berhenti dan tidak mengambil nafas. Tetapi saktah ini ialah pembacaan berhenti seketika tetapi tidak mengambil nafas dan sambung meneruskan bacaan. Makcik harap anak-anak faham. Kalau kurang jelas sila bertanya kepada ustaz/uztazah anak-anak ye sayang. Wallahu'alam.

 ~~ Belajar di waktu kecil bagai mengukir di atas batu. Belajar sesudah dewasa bagai mengukir di atas pasir. Tapi andai ada kesungguhan pasti tidak mustahil.~~ 


Monday, April 14, 2014

Audit diri kita untuk bahagia di dunia dan akhirat

Mendapat titipan istimewa dari seorang teman blogger. Rezeki untuk siraman rohani yang sentiasa perlu dibaja. Terima kasih nhhas. Boleh juga membaca entrinya di sini. Semoga nhhas mendapat ganjaran dari Allah dari semua ilmu yang dapat dikongsikan bersama sesama umat Islam.

CD Mufti Ismail Menk dan chopsticks -  Alhamdulillah satu CD sudah selesai didengar bersama hubby sewaktu dalam perjalanan untuk pergi shopping. Banyak yang menarik sebenarnya isu yang dikupas. Ramai yang sibuk mencari kebahagiaan di dunia lupa untuk mencari kebahagiaan di akhirat. Ingat jangan sampai kebahagiaan di tarik balik (perkataan snatch) yg digunakan sangat menarik sebab seolah-olah andai kita lalai Allah rampas balik kebahagiaan itu.
Chopsticks - Sebahagian sudah diagih tapi yg tidak datang belum dapat lagi sebab di JB ini setiap lewat petang membawa ke senja hujan. Anak-anak bila hujan biasalah mengaji pun cuti juga. Ole-ole yang adik blogger ini sudah pesan untuk diberikan kepada anak-anak yang mengaji.
Titipan - Kasihan sebenarnya CD ini sudah 2 kali Huda cuba kirimkan tetapi untuk kali pertama dikembalikan kepadanya semula. Insya-Allah malam ini dan seteruskan akan diagihkan kepada semua chopstick ini sebagai penunjuk mereka waktu mengaji.
Set dua keping CD - Menghayati CD yang penuh bersemangat terasa kerdilnya diri. Sebagimana dikatakan audit diri sendiri setiap hari demi mencari kebahagiaan. Cari dimana kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaiki mana yang perlu. Benar apa dikatakan beliau. Ingin aku memberi pendapat juga yg hidup kita ini bukan sekali tatapi dua kali iaitu di dunia dan akhirat. Kerana kematian akan kita tempuhi hanya sekali tapi selepas mati kelak akan dihidupkan semula di akhirat kelak. Mestilah kita mahu bahagia hidup di dunia dan di akhirat.
Depan CD - Lihat benar kata-katanya. Semakin kita mendalami agama kita semakin kita akan rasa sayang pada agama kita begitulah sebaliknya kalau ilmu cetak. Mohon dijauhkan dari kelalaian.
Satu - Bujang kecik ini dapat sudah. Khusyuk mengaji dengan penunjuk baru. Atas kanan itu penunjuk si adik comelnya yang sudah patah hujungnya. Itu mamazakie yg beli dulu di pameran batik & kraft di Plaza Angsana.
Nakal tapi cerdik - Satu adik punya. "mama cakap terima kasih pada kakak itu ye" itu pesannya. Makan lengkung mamazakie buat bawa masuk bilik sebab di luar dia tidak ada kawan. Tergugat si abang yang mengaji. Dia sudah siap mengaji menggunakan penunjuk baru. Penunjuk mamazakie beli letak tepi:)
Adik juga ini - Semua anak bongsu yang mengaji dengan aku dipanggil adik. Suka juga dapat penunjuk baru. Sudah dua malam mengaji menggunakan penunjuk baru. Penunjuk mamazakie punya pun dia letak tepi:)
Moga susah payah nhhas mengirimkan semua ini buat aku mendapat ganjaran dari Allah. Sesunguhnya pemberian ini sangat bermakna buat diri kami sekeluarga. Anak-anak yang di asrama belum lagi mendengarnya. Tunggu mereka balik. Pagi tadi dalam perjalanan ke tempat kerja aku ulang kembali mendengar CD pertama kerana sudah berjanji dengan hubby untuk mendengar CD ke dua bersama. 

 ~~Ingin berkenalan dengan teman blogger yang menitip CD ini silalah ke sini.~~

Friday, December 20, 2013

Hari Kraft Malaysia

Sebenarnya sejak tahun 2013 menuju penghujungnya aku dilanda sedikit kesibukan.Hari ini aku paparkan saja penunjuk anak-anak untuk mengaji yang aku beli baru-baru ini. Membeli di pameran Kraft Malaysia yang hingga kini masih berlangsung diperkarangan Plaza Angsana. Membawa anak-anak ke sini sekadar memenuhi kehendak mereka. Anak-anak membeli apa yang dihajatkan, tetapi mamanya tidak membeli apa-apa.

Tuding - Aku memanggil penunjuk mengaji ini tuding. Belilah untuk anak-anak yang mengaji memandangkan semua jualan mahal-mahal belaka. Dulang rotan yang aku beli di Melaka berharga RM10/- tetapi di pameran ini mencecah harga RM45/- manalah aku mahu membelinya.
Pilihlah anak-anak -  Inilah dia tuding tersebut. Daripada tidak ada apa yang dibeli jadilah aku membeli ini saja. 
 
~~ Ada kala harga pameran yang dijangka murah tetapi jauh lebih mahal sebenarnya.~~ 


Tuesday, January 15, 2013

Tambah rajin dengan tuding baru

Tuding adalah perkataan keluarga kami gunakan sedari dulu hingga kini. Biasa orang panggil penunjuk. Adik beli di sekolah. Murah saja, seringit setiap satu. Macam-macam warna ada tetapi adik biasalah warna pink adalah warna pilihan dia. 

Bahagian hujung -  Dibuat dari benang bulu macam-macam warna. Didalamnya adalah lidi sate. Benang itu dililit dengan ketat dan bercorak.

Bahagian ekor - Kreatif dan ieda yang baik. Ada juraian benang di belakangnya itu yang kelihatan tambah menarik anak-anak.

Sebatang - Masuk di dalam Al-Quran sebagai penanda juga tidak terjulur habis jadi tidak mudah rosak. Betul-betul ikut panjang saiz Al-Quran yang biasa.  Pandai cikgu yang membuat penunjuk ini.

~~ Kadang-kadang hanya kerana penunjuk yang unik pun boleh membuat anak-anak rajin mengaji. Motivasi yang paling mudah buat anak-anak yang belum baligh.~~


Monday, November 5, 2012

Sejenak aku berada di Arab

Boleh dikatakan kebanyakan kaum lelaki yang hadir memakai baju putih menakala perempuan pula memakai baju hitam. Aku pula tidak terfikir yang aku kunjungi adalah majlis keluarga pak-mak Arab. Melihat hubby mencapai baju light purple aku pun turut ikut sama. Pak-Mak Arab yang kami jumpa semuanya boleh berbahasa Melayu. Menghadiri majlis Istighosah  ini semalam aku rasakan bagai berada di Arab seketika.

Istighosah Kubro - Berada di majlis sempena memperingati pemergian allahyarham atok dan ayahanda Sharifah Nadzarah (SN) yang diadakan di perkarangan rumah beliau dan rumah bondanya - kedudukan rumah bersebelahan tembok saja amat memudahkan.

Masakan arab - Inilah dia hidangan yang dijamu keapda para jemaah yang hadir. Aku beruntung kerana dapat berada di dapur bersama SN dapatlah membantu mengangkat hidangan.

Makan dalam dulang - Berdulang-dulang dihantar keluar. Kuih-muih adalah ikhsan pemberian orang ramai itu kata SN

Bagaikan kenduri kahwin sebab ramai yang datang. Banyak kereta Pak-Mak arab yang rata-rata berkereta mewah telah tiba dahulu. Selesai majlis aku tidak boleh berlengah terus bersalam-salam juga mohon beredar. Tetapi balik aku bukan dengan tangan kosong kerana apa yang ada dalam gambar di atas semuanya dapat aku bawa balik sama sebagai berkat. Selain itu diberikan kepada semua yang hadir penanda buku/al-quran yang lengkap dengan Asma'ul -Husna. Banyak SN berikan pada aku. Terima kasih SN.

~~ Cuti sekolah belum tiba tapi semakin banyak kad jemputan telah diterima sebagai tanda setiap hujung minggu pasti ada tempat untuk dikunjungi. Apa yang pasti kosongkan perut sebelum keluar rumah.~~

Friday, February 3, 2012

Tuding mengaji

Bukan tuding-menuding mencari kesalahan orang. Sewaktu aku kanak-kanak dahulu belajar mengaji mestilah memerlukan alat penunjuk. Bapak panggil ia 'tuding'. Amalan ini masih aku terapkan pada anak-anak yang mengaji dengan aku. Apa yang beza anak-anak sekarang mempunyai tuding yang cantik-cantik.

Bahagian pemegang - Penunjuk yang digunakan Mohd. Hafiz. Bersekolah di sekolah yang sama juga berada di kelas yang sama dengan adik. Penunjuk ini hadiah dari membeli naskah Al-Quran baru.

Bagaikan keris - Cantik bentuknya bagaikan keris. Bila aku bergurau padanya "Eh... takut makcik dengan penunjuk Hafiz. Tajam tak ni?" Dia sekadar sengih tersenyum malu.

Aku punya - Macam lidi satay tapi besarlah sedikit sebab ianya adalah pencucuk bebola ikan yang aku beli di pasar malam. Bertahun sudah aku menggunakannya, kalau hilang pun boleh dicari yang baru di dapur.


Terkenang ketika zaman kanak-kanak, sanggup meredah kebun kelapa bapak mencari lidi pada daun kelapa yang patah tetapi masih bergantung di pokok lagi. Waktu itu selalu kami berfikir daun kelapa yang bergerak-gerak itu berzikir lalu biasanya kami berebut untuk mendapatkan lidi kelapa tersebut. Sebenarnya aruah emak pernah berkata daun kelapa pun berzikir kenapa tidak kita. Itu yang membuat kami anggap dengan menggunakan lidi yang bergoyang bagaikan berzikir itu bila mengaji lebih pandai. Kelakar betul bunyinya.


~~ Belajar mengaji sedari kecil bagai mengukir di atas batu, tetapi kalau belajar sesudah dewasa bagai melukis di atas pasir. Namun lebih baik belajar dari tidak tahu terus sehingga terpisah nyawa di badan.~~