Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Thursday, May 25, 2017

Ahlan wa sahlan ya ramadhan 1438H

Akhirnya terkulai dan bisu tanpa titisan walau sepatah perkataan. Ampun dan maaf dariku selaku tuan empunya blog TITISAN NURANI. Terlalu banyak rentetan yang perlu dirungkai andai mahu dititipkan di sini. Alhamdulillah ujian yang Allah berikan buat kami adalah petanda DIA masih sayangkan kami dan peringatan bahawa selagi kita masih diberi pinjam nyawa untuk bernafas pasti akan ada ujian diberikan untuk melihat sejauh mana kekuatan iman kita.

Terima kasih di atas segala ingatan semua sahabat yang tidak pernah terduga walau sekadar di alam maya tapi kasih kalian amat kami hargai. Semoga dipertemukan di syurga firdausi Allah kelak.

Bersempena bulan ramadhan al-mubaraq yang akan tiba aku dan keluarga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan di atas apa jua perlakuan dan keterlanjuran yang sengaja atau tidak sengaja sepanjang aku menitip kata di TITISAN NURANI dan ketika berkunjung untuk memberikan komen ke blog kepunyaan anda semua. Sekali lagi kemaafan dipohonkan.

~~Selamat menjalankan ibadah berpuasa. Semoga amalan kita diterima Allah hendaknya. Aamiin ya robbal'alamiin..~~

Wednesday, July 13, 2016

Iftar kami sebelum balik beraya








~~ Menikmatinya di rumah sendiri dua hari sebelum balik kampung.~~

Friday, June 24, 2016

Lailatul-Qadar di bulan Ramadhan

Banyak berganda-ganda siapa tidak mahu apa lagi jika ianya ada nikmat dan kebaikan. Ibarat lombong emas yang dikejar begitulah juga umat Islam sejagat.  Mencari posisi mahu menggali sedalam boleh selagi ada dasar yang mampu memberi keuntungan berlipat kali ganda. Dari celik mata sehingga mata terlelap semula semuanya berebut mengejar akan tawaran ganjaran yang berganda-ganda. Siapa tidak mahu mendapat ganjaran berlipat kali ganda. Usah kata berzikir dan beramal-ibadah saja bahkan tidur pun mendapat pahala. Indahnya ramadhan yang Allah berikan buat kita semua.

Kini hanya tinggal lebih kurang sepuluh hari terakhir ramadhan akan meninggalkan kita (Jika satu syawal jatuh 6 Julai ada sebelas hari lagi - tidak kisah kita manfaatkan selagi ada ruang ramadhan buat kita). Tidak perlu dipertikaikan mengapa masih ada yang terleka dan berlengah. Bersama kita saling mendoakan saudara-saudara seagama dengan kita berpimpinan sama meniti titian As-Sirot menuju ke syurga di padang mahsyar kelak. Cari yang baik-baik, doa yang cantik-cantik selainnya kita serahkan kepada Robbul-Jalil. Kita melihat orang, orang lain pula melihat kita. Hakikatnya kita semua tidak sempurna. 

~~ Banyakkan membaca doa ini "Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa'fuanni (2x). Allahumma innaka afuwwun tuhibbul afwa fa'fuanni ya kareem"~~

* Jika berdoa bersama-sama keluarga/ramai fuanna, jika sendiri fuanni (bahasa arab pun ada singular dan plural, jika kurang faham tidak mengapa)


Tuesday, June 21, 2016

Dulu lain sekarang lain

Membawa semangkuk pengat pisang yang dicampur dengan sagu biji perlu berhati-hati. Panas lagi. Mak tutup mangkuk dengan daun pisang. Untuk mengelakkan daun pisang terbang kedua-dua tangan perlu bekerjasama. Sambil memegang piring yang menampung mangkuk, sambil jejari dari tangan sebelah menindih sedikit daun pisang tersebut. Perlahan-lahan kaki melangkah menuju destinasi. Di dalam minda mula membayangkan sebaik mangkuk bertukar tangan pasti akan ada juadah lain dihulur sebagai balasan.

Sekadar hiasan - Dulu tidak adalah memberi dengan bungkus seperti ini. Sewaktu aku kanak-kanak dulu dengan situasi di kampung, bekas plastik atau polisterin tidak pernah dibeli. Duit sangat dipantau untuk kegunaan persekolahan kami adik-beradik.
Itulah keindahan zaman aku kanak-kanak dulu. Allahyarhamah mak (al-fatihah buat almarhumah mak) pasti akan mengagih beberapa mangkuk ke rumah jiran tetangga yang rata-rata adalah sepupu-sepapat kami juga. Bergilir kalau hari ini aku ke rumah sebelah kanan, esoknya ke kiri pula. Mama Leha, kakak atas aku akan ke arah lain. Begitu juga Cik Lin dan Cik Idah dua adik-adik aku semua ada tugasan yang sama. Balik semua pasti tersenyum menunjukkan apa pula balasan dari bibik-bibik atau wak kami (bermaksud mak saudara muda dan mak saudara tua). Selepas mandi semua baring sambil menanti waktu berbuka.

~~ Sekarang ada kalanya memulangkan piring jiran dengan membeli juadah di bazar saja.~~


Tuesday, June 14, 2016

Satu petang di bulan ramadhan

Setiap hari dalam lebih kurang jam 4:30 petang minggu pertama berpuasa papa akan menelefon anak-anak apa pesanan yang mereka mahu untuk dijadikan berbuka puasa. Sehingga ada pekerjanya yang sudah arif berkata kepada hubby "ambil order ye boss". Tetapi minggu ini papa terus saja menelefon mama kerana kakak tidak seperti adik apa saja papa beli mereka tidak ada halangan. Cuma jika ada yang teringin dia sendiri yang akan menelefon papanya.

Semalam menjadi lain kisahnya. Sebaik menerima panggilan, aku serahkan pada hubby belilah apa saja asalkan jangan yang pedas-pedas. Sebelum memutuskan talian telefon hubby sudah berpesan ada pisang  yang diberi oleh nenek kepada salah seorang budak yang mengaji untuk digoreng. Sayang jika dibiarkan sebab bukan ada budak mengaji sekarang ini. Kena goreng dan bolehlah dibawa ke masjid. Bila hubby berkata begitu tahulah aku perlu balik awal sedikit. Jam 4:20 lebihkurang aku sudah turun menuju ke kereta.  Memandu seperti biasa tiba di Bandar Dato' Onn ada sedikit ketidak-selesaan pada tayar kiri bahagian belakang. Mahu berhenti kereta bersusun. Terus memandu perlahan dan sebaik ada ruang berhenti di tepi jalan berdepan plaza toll aku berhenti. Sah, tayar pancit! Telefon hubby mendapat arahan pandu saja ke depan dan berhenti di hadapan selepas membayar toll supaya hubby boleh u-turn tidak perlu membayar toll. 

Kita merancang tapi Allah juga merancang. Selepas membayar toll dan parking di tepi jalan,  mata aku sudah terpandang polis peronda PLUS secara kebetulan ada di sebelah atas hadapan surau R & R. Memberitahu hubby tidak perlu datang kerana aku akan meminta bantuan polis peronda tersebut. Sambil menanti dua 'hero' tersebut menukar tayar dalam kepala aku membayangkan sempat atau tidak hajat mahu menggoreng pisang. 

Ganjaran di bulan puasa - Kasihan pula di petang hari kedua mereka ini kena membantu menukar tayar keretaku yang pancit. Ketika aku menghulur sebagai tanda terima kasih pun pada mulanya mereka tidak mahu. Tapi aku katakan pada mereka "Ini abang yang pesan, ambillah. Terima kasih banyak dari kakak". Semoga Allah berikan ganjaran berganda buat mereka.
Menggoreng - Alhamdulillah hajat hubby mahu aku menggoreng pisang juga kesampaian. Lebih kurang 20 biji juga aku goreng belah dua dan syukur ramai yang suka. Ketika rehat sebentar terawih 8 rokaat semua habis dimakan jemaah. Sebab ada jemaah yang tidak solat terawih sehingga 20 rokaat. Habis 8 rokaat mereka keluar saf dan solat witir sendiri. Tidak menjadi masalah.
Baki - Di dapur aku kini masih berbaki lagi dalam 5 biji yang belum masak. Mungkin akan menjadi kuihlah yang ini sebab kalau digoreng tidak mencukupi untuk dibawa ke masjid.
Betapa aku ini kurang bijak merancang masa sebenarnya. Hanya kerana menggoreng pisang pun selepas asar semalam aku tidak bertadarus. Rugi satu juzuk. Tapi ada kepuasan sebab dapat memberi apa yang hubby hajatkan. Kalau tidak entah apa jadi dengan pisang yang banyak itu.


~~ Media diminta bekerjasama untuk membantu rakyat berfikiran lebih intelektual bukan membantu mencari keburukan kerajaan (itu kata orang politik). Apa pun rakyat sekarang lebih cakna biarpun tanpa bantuan media. ~~


Monday, June 13, 2016

Berjauhan dengan keluarga lagi

Rutin kembali semula ke sekolah adalah saat berpisah lagi untuk sementara dengan anak. Demi kelangsungan kehidupan kena lalui juga. Memandangkan perjalanan dilalui tidak ada highway kenalah kami hantar adik balik sebelum pukul 12:00 tengahari. Singgah sebentar di masjid untuk solat zuhor dan membelikan adik kurma terus masuk asrama. Ke dua-dua kakak membantu mengemaskan katil dan almari adik. Pasangkan cadar, sarung bantal, susun semua makanan dan pakaian adik. Siap semua turun bawah, bersalam-salaman, peluk, cium sayang dan baca doa terus tinggalkan adik dlam lebih kurang jam 3:15 petang itu untuk sementara waktu. Ada masa kami akan datang menjenguk lagi. 

Siap gosok - Semua uniform dan pakaian adik yang sudah siap digosok dari rumah. Masuk kereta semuanya digantung di kanan dan kiri pintu belakang. Kami hantar adik dengan MPV sebab ada dua kakak ikut sama.
Jojo - Sibuk mahu ikut sama ketika semua penghuni sibuk mengemas dia pun mencari peluang keluar rumah menjelajah melihat pokok bunga mama. Bermain sendirian sebab sudah tidak ada kawan.
Telefon / MP3 - Biasa adik bawa ini tetapi kali ini adik hanya membawa telefon saja. Bukan mudah mahu mencari telefon yang tanpa kamera seperti ini. Dua minggu selepas adik tinggal di asrama waktu itu baru papa berjumpa. Itu pun selepas menempah dengan kedai telefon. Sekolah adik membenarkan membawa telefon bimbit yang tidak berkamera. Setiap hujung minggu akan diserahkan kepada murid dan sebelum hari Ahad kembalikan semula kepada warden. 
Pengalaman pertama buat adik berpuasa berjauhan dengan keluarga. Mama berbuka puasa dan bersahur pun masih teringatkan adik. Terkenang tahun lepas walaupun sudah berumur 12 tahun ada masa bila adik kata tidak mahu bersahur mama masih suap lagi di bilik. Tahun ini nampaknya adik benar-benar kena berdikari. Hati seorang mama biasalah mudah benar tersentuh. Makin papa pujuk makin luruh airmata mama ketika mahu berbaring selepas bersahur sementara menanti waktu subuh. Mahu membaca Quran pun bagaikan tidak ada semangat.

~~ Hari ini membaca isu berkaitan harga yang ada 99 sen. Mengapa masih ada sedangkan duit satu sen sudah tidak bernilai dipasaran. ~~


Tuesday, June 7, 2016

Kakak ramai kenapa kena cuti juga?

Waktu : Hari terakhir mengaji - sehari sebelum ramadhan. 

Biasa masuk rumah terus masuk bilik. Tidak nampak ada sesiapa pun selain muka tua mama Zakie mereka ini. Tiba-tiba cuti sekolah masuk rumah dengan mulut pot-pet-pot-pet terus tersenyap. Mata sudah terpandang ada kakak-kakak sedang membaca Al-Quran di sana, sini, situ. Malu dan kaki terus melangkah dan duduk bersila di tempat biasa.

Dia: Mama kenapa banyaknya kakak? (anak aku tiga dan anak buah aku seorang)
Mama: Bukan banyak, ramai.
Dia: Siapa tu mama?
Mama: Kakak-kakak itu anak mamalah.
Dia: Adik tak pernah nampak pun
Mama: Sebab adik mengaji belum lama. Sejak tak pakai pampers baru adik mengaji betul tak?

Mengaji - Bila mengaji bukan dengan mama suara masing-masing bagaikan berbisik. Kalau dengan mama membaca di dalam bilik di luar bilik pun boleh didengar.
Dia terus senyum. Tetapi malu-malu bila aku katakan mengaji untuk malam ini dengan kakak-kakak. Sewaktu mengaji suara pun tidak sekuat jika mengaji dengan mama. Mama memberi alasan tidak boleh bercakap banyak sebab muka mama bertampal. Waktu mereka datang memang pun aku sedang menanti mask di muka mengering. Tidak perlu bagi alasan lain sebab malas mahu melayan banyak soalan kalau diberitahu mengapa.

Bermula malam pertama ramadhan jugalah anak-anak sudah bercuti mengaji. Rutin aku mengajar tidak pernah bercuti tetapi di bulan ramadhan sebulan terus mereka kena bercuti sebab mama perlukan masa untuk diri mama sendiri. Mereka yang sudah lama mengaji tahu hal ini, tetapi yang baru ada yang suka dan ada juga yang tidak suka. Ada juga yang berkata "Kakak ramai kenapa kena cuti juga?". Mereka tidak faham yang kakak pun sama macam mama juga. Masa terlalu suntuk dan cemburu di bulan ramadhan. Waktu selepas iftar, solat maghrib, isyak, terawih dan bertadarus itulah yang mengekang. Bercutilah yang terbaik dan mereka juga boleh mengikut ibu-bapanya bertadarus dan berterawih sama.

~~ Sunyilah seketika rumah dengan suara anak-anak mengaji.~~


Saturday, June 4, 2016

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Biarlah kotak Tupperware itu mengucapkan Selamat Hari Raya. Aku dari TITISAN NURANI mahu mengambil kesempatan kepada semua yang sama-sama akan menjalankan ibadah berpuasa Ramadhan 1437H ini dengan ucapan Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubaraq.

Cantik - Bekas dan kotak sama-sama hijau
Kotak dan tupperware - Ada anak yg mengaji dengan aku ibunya pengedar tupperware memberi ini buat keluarga kami
Terima kasih - Memberilah walau dengan sebiji tamar, Beruntung ibu yang memberi kepada kami kerana setiap kali kami makan kurma yang diberi berganda-ganda ganjaran Allah berikan kepadanya.
Mengambil kesempatan ini, aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan di atas apa juga perlakuanku sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati atau apa juga, melalui TITISAN NURANI memohon keampunan dan kemaafan.

~~ Selamat menjalankan ibadah puasa dan ibadah sampingannya. ~~


Wednesday, July 15, 2015

Menjelang Syawal 1436H

Dam-dam-dum bunyi mercun tidak langsung kedengaran di kawasan perumahan aku sehingga kini. Berbanding jika dulu sewaktu zaman aku kanak-kanak, bunyi meriam dan mercun itulah yang membangkitkan rasa kemeriahan beraya. Deretan lampu minyak tanah di sepanjang jalan menuju ke surau bersambungan dari satu rumah ke satu rumah tidak juga kelihatan sekarang. Kad raya usah diimpikan. Namun aku berbahagia di penghujung ramadhan 1436H ini ada titipan dari insan mulia yang membahasakan dirinya nekcik buat keluarga kami hingga nikmat kemeriahan untuk beraya kian terasa. Lihatlah...
Biskut tat - Tat istimewa ini kiriman dari nekcik buat kami sekeluarga (maaflah dibulan ramadhan penghujung ini rasanya melihat tat jangalah sampai rasa kecur pulak). Insya-Allah dua hari lagi boleh dinikmati di siang hari.
Acar buah - Juga titipan nekcik. Terpaksa dipaparkan yang masih berbungkus bimbang membuat pembaca tambah kecur kerana sejujur-jujurnya rasa tip-top sangat! Ada kurrma di dalam acar nekcik ini kalau mahu tahu.
Penanda buku dan setokin - Setokin ini sudah tentulah anak dara kecik yg grab. Penanda buku aku simpan sebab sayang mahu menggunakannya. 
Buat nekcik dan Tokpokcu terima kasih tidak terhingga dari kami sekeluarga. Moga rahmat Allah melimpah-ruah buat nekcik sekeluaga.

Ramadhan kian ke penghujungnya seperti juga usiaku yang menuju ke dunia yang satu lagi. Syawal pasti akan menjelma dan sarat sudah aku panjatkan doa moga Allah memberikan aku peluang untuk menikmatinya dan berjumpa lagi. Lalu dengan rendah diri dan penuh ikhlas, melalui TITISAN NURANI ini aku memohon keampunan atas apa jua salah-silap dari berblog di alam maya ini.

Buat semua teman-teman blogger ikhlas juga aku katakan tidak ada yang membuat aku tidak senang hati selama bersua di alam maya. Terima kasih atas segalanya. Moga Syawal 1436H ini memberi keberkatan dan kebahagiaan buat kita semua dan khususnya buat semua umat Islam sejagat.

~~ SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN.~~

Monday, July 6, 2015

Khazanah dijumpai

Ahad adalah hari aku di rumah sendirian tanpa en hubby dan anak-anak. Hendak keluar rumah mengemas pasu bunga pun tidak sanggup sebab walau masih pagi tetapi panas tidak tertahan. Setelah letih bertadarus terlihat tempat adik belajar alangkah semaknya. Ambil peluang mengemas apa yang patut. Walaupun anak dara tapi dalam mengemas khazanah milik sendiri mama juga yang kena buat.

Kit poskad - Satu-satu aku keluarkan isi di dalam folder Jom Tangani Stress. Elok juga dijadikan panduan bukan untuk anak-anak sekolah tapi sebagai ibu-bapa juga. Tetapi tidak pernah pula dia menunjukkan pada mama sebelum ini

Bertepek-tepek - Banyak betul kertas warna-warni dan origami ini yang aku temui.  Apalah keinginan dia kerana boleh dikatakan semuanya lebih kurang saja. 

Buku comel - Ini lagi yang aku rasa entah berapa banyak ada dalam simpanan. Bertulis hanya beberapa muka surat saja. Buku 555 ini buat aku tersenyum sendirian kerana teringat cerita P Ramlie dulu (lupa tajuk filemnya).

Ini juga - Magic box adan surah-surah hafazan ini entah ada berapa keping. 

Budak belum baligh beginilah. Sebenarnya bukan setakat itu saja. Kalau keratan Didik dari akhbar mingguan juga banyak aku temui. Semuanya sudah dibuat ulangkaji tapi tidak bersusun langsung. Balik sekolah tengahari melihat almari bukunya bersusun rapi suka tapi tidak tahulah berapa lama boleh bertahan. Mama sudah berpesan jangan kecah lagi sebab mama letih setengah hari sekadar mengemas tempat buku-buku adik saja. 


 ~~ Ramadhan kian beransur meninggalkan kita. Apakah yang terbaik telah aku lakukan sepanjang ramadhan yang ditinggalkan. Aku terus menghitung hari.~~


Thursday, June 18, 2015

Ramadhan 1436H sudah menjelma

Alhamdulillah masih berpeluang untuk menikmati ramadhan tahun ini.
Alif, Laaaam, Miiiim - Malam tadi rata-rata semua sudah memulakan tadarus. Walau sebelum 1 ramadhan sudah hampir ke juz Amma kena mulakan balik dari juzuk pertama. Masing-masing berebut mencari ganjaran terbaik di bulan yang mulia ini.  Hari ini Johor cuti umum boleh diambil peluang untuk membaca lebih 4-5 juzuk. 
Walaupun berpuasa bagaimana pun environment keliling lebih kurang sama. Banyak tempat mencari rezeki di sana-sini. Bazar pula kian rancak di merata tempat. Pasaraya-pasaraya semakin riang mengalunkan lagu-lagu raya. Siang-malam-pagi-petang sana-sini ada tawaran harga murah. Masjid pula kian meriah di waktu terawih bermula. Walau di mana kita berada kelompok manusia tidak dapat dihindari. Bila ramai manusia, mata pun banyak yang melihat dan akan dapat dilihat. Begitu juga dengan mulut yang sama banyaknya dengan jumlah manusia yang ada. Tidak kurang telinga yang rata-rata mempunyai sepasang telinga untuk mendengar. Menjaga anggota pancaindera ini juga amanah kita semua. Dosa kecil akan terampun dengan solat dan ibadah yang dilakukan. Dosa besar kena segera bertaubat.

Terlajak tanpa sengaja segera berundur. Mohon keampunan dan berniat untuk tidak mengulangi lagi. Istighfar dan berzikir sebanyak mana yang termampu. Peluang yang ada hari ini tidak akan pernah berulang lagi. Ujian masih banyak merata-rata walau syaiton sudah digari dek kerana rutin kebiasaan. Nasihat buat yang menulis dan juga keluarga sama.

~~ Bersama kita didik mata, mulut, telinga dan anggota yang lain untuk turut berpuasa sama seperti mana perut kita. Selamat berpuasa. ~~

* Mohon tidak perlulah melihat gambar entri di bawah. Itu entri semalam sebelum kita berpuasa. 

Wednesday, June 17, 2015

Riang-ria bersama keluarga - 7

Entri riang-ria terakhir sebelum menyambut ramadhan esok. Selepas hidangan malam yang kami nikmati ini bermakna kami akan makan di luar selepas ramadhan 1436H berakhir. Moga masih diberi peluang untuk menikmat riang-ria ini lagi, lagi dan lagi.


Dengan rendah hati tuan empunya blog memohon ampun dan maaf di atas segala keterlanjuran. Moga kemaafan kalian tidak membebankan ibadah yang akan sama-sama kita jalani di bulan ramadhan yang mulia.

~~SELAMAT MENJALANKAN IBADAH DI BULAN RAMADHAN.~~



Saturday, July 19, 2014

Hanya beberapa hari saja lagi untuk menikmati suasana begini

Banyak dan ramai - Jumlah gerai yang begini sesak dan banyak bertambah sesak dengan kunjungan manusia yang ramai tidak terkata.

1 Malaysia - Apa yang pasti bukan saja yang menjalankan ibadah puasa saja yang bertandang. Sahabat kita yang bukan Islam juga tertarik sama untuk membeli juadah yang beraneka.

Adik - Anak-anak pasti gembira sebab apa saja yang diingini pasti ada dijual.  Kuih tradisi negeri lain pun boleh didapati bila ada bazar ramadhan begini.

~~ Kemeriahan Malaysia tahun ini pasti sedikit tercalar dengan tragedi MH17.~~

Tuesday, July 15, 2014

Segmen KAD RAYA BERSAMA AIZU

Bersempena memperingati dimana turunnya kitab suci Al-Quran yang menjadi garispanduan seluruh umat di dunia, Titisan Nurani mengambil kesempatan untuk sama-sama kita menjadikan Al-Quran sebagai pendamping dalam kehidupan. Negeri Johor tidak bercuti walau banyak negeri di Malaysia menjadikan hari ini sebagai cuti umum. 

Apabila NuzulQuran tiba bermakna Aidilfitri juga akan menjelma tidak lama lagi. Mengambil peluang itulah aku turut serta segmen anjuran Aizu.

Banner - Ini kena ada sebagai salah satu syarat

Ingin turut serta sila lihat di sini
Syarat diberikan mudah saja:-
  1. Follow blog AIZU..  (lama sudah menjadi teman Aizu)
  2. Mestilah ada blog.. (Titisan Nurani nama blog diberi)
  3. Buat n3 bertajuk "Segmen KAD RAYA BERSAMA AIZU"..berserta banner di atas itu.
  4. Ajak kawan2 join..  (Titisan Nurani dengan ini mengalu-alukan semua teman-sahabat-handai-rakan-taulan untuk turut serta segmen anjura Aizu ini)
  5. Selesai semua, tinggalkan LINK di bahagian komen di sini
  6. Ok, itulah saja syaratnya. 
  7. Tarikh tutup pada 17hb Julai/19 Ramadhan ini. 
Sebelum mendapat kad raya Aizu aku sudah mendapat kad pertama dari seorang blogger pakar memasak.

Nurhayati - Inilah kad pertama yang bertandang dan menjadi tatapan seisi keluarga. Terima kasih dari kami buat Yati dan keluarga.
~~ Bersempena hari baik, bulan baik ini bersama kita tingkatkan keimanan dengan Al-Quran, jalinkan ukhuwah dengan kad Hari Raya yang dikirimkan.~~

Friday, July 4, 2014

Menagih kesabaran tinggi di bulan Ramadhan

Bila hari Jumaat saja, perjalanan pergi kerja aku sangat-sangatlah selesa dan lancar. Tetapi sebaik tiba di Toll Kempas pagi tadi aku perhati lane di sebelah aku berderet panjang. Tahulah aku pasti ada yang terkena seperti aku dulu. Bunyi hon biasalah bertalu-talu. Mahu tahu bacalah di sini. Sebaik tiba giliran aku di sebelah lane aku hon kereta aku dan hulur pada sepasang remaja cina itu untuk menggunakan kad Touch & Go aku yang satu lagi. Berhenti ke hadapan sedikit kemudian dipulang kembali kad itu kepada aku. Remaja lelaki itu mahu membayar. Aku kata tidak perlu. Aku tahu apa yang dia rasa kerana pernah mengalami apa yang pernah dialami olehnya. 

Walau disarankan untuk lebih bersabar di bulan ramadhan ini tetapi bila tersangkut lama ketika dalam perjalanan pergi atau balik kerja bagaikan kesabaran hati dirobek-robek. Jadi sekurang-kurangnya dapat juga aku mengurangkan rasa tidak sabar ramai ketika tersangkut gara-gara remaja cina tadi yang tidak ada smart-tag dan Touch & Go. Apa yang pasti tunai tidak ada lagi di sini.


Lupakan kisah di atas aku mahu kongsikan waktu imsak dan iftar kami sekeluarga selagi tidak balik kampung.Cepat waktu iftar kami berbanding ketika balik kampung.
Jadual Imsak dan Iftar - Zon 2 negeri Johor

~~ Jika hari biasa bangun pagi perlu membuat sarapan apa salahnya kita gantikan waktu itu dengan bertadarus/membaca Al-Quran. Sesungguhnya kembar Ramadhan adalah Al-Quran.~~

Thursday, July 3, 2014

Bingkisan seindah ramadhan

Mendapat bingkisan dari blogger.
Cik Viva nama gelarannya.
Comel, cantik dipandang mata
Terima kasih tidak terhingga

Terima kasih - Seharusnya aku sebagai penerima yang mengucapkan terima kasih kepadanya.
Di Ho Chi Minh City bingkisan dibeli
Tetapi diagih teman dikasihi
Mendapat juga fridge magnet ini
 Ketika Cik Viva  menganjurkan GA mini

Vietnam - Inilah Fridge Magnet yang dikirimkan buat keluarga kami. Cantik!
Kelihatan puas Cik Viva berjalan
Balik membawa berbagai hadiah
Kepada teman yang ingin berkenalan
Klik di sini untuk jalinan ukhuwah

Bersatu - Sudah aku satukan dengan beberapa koleksi yang ada di dapur rumah.
 
 Bulan Ramadhan bulan mulia
Umat Islam semua berpuasa
Untuk Cik Viva teman blogger
Terima sekali lagi dari kami sekeluarga

Titipan buat anak-anak di bulan mulia ini:-
 
"Barangsiapa membawa amal (berbuat kebaikan), maka baginya pahala sepuluh kali ganda amalannya dan barangsiapa yang membawa perbuatan jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).” (Suroh Al-An’am: 160).  

Bukanlah bermaksud berbuat kejahatan tiada balasan ye anak-anak. Lihat ayat dibawah ini: -

“Dan barangsiapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, pasti akan Kami rasakan kepadanya sebahagian siksa yang pedih.” (Suroh Al-Hajj: 25).

~~ Berbuat kebaikan di bulan mulia ini ganjaran diberi berlipat kali ganda.~~

Tuesday, July 1, 2014

Bagi anak-anak menikmati keindahan Ramadhan

Selamat berpuasa dan beribadah di bulan yang mulia. Aku agak kesibukan dengan tugasan sekembali ke pejabat hari ini. Bercuti sejak hari Jumaat hingga semalam blog pun terabai sama. Sepatutnya aku bercuti pada hari Khamis tetapi oleh kerana telah ter'pergi' kerja akhirnya aku teruskan juga dan ganti pada hari Jumaat terus hingga semalam. Dapatlah membuat beberapa aktiviti dengan keluarga.

Sehari sebelum berpuasa - Di sebabkan hari Khamis cuti umum buat kerajaan Johor (JDT menang) majlis dijalankan pada hari Jumaat. Pantas dan cepat mengejar masa sebab kena selesai sebelum tiba solat Jumaat.
Jiran lama - Anak-anak ini semua memanggil aku mama lagi sebab dulu mereka adalah jiran kami. Juga mendapat anugerah cemerlang. Kedua mereka mendapat tempat pertama walau markah agak terkebelakang sedikit dari adik sebab semua mereka tidak duduk satu kelas. Masa inilah adik mula berkata mahu duduk kelas ke dua aau ke tiga boleh dapat nombor satu. Nama pun budak yang dikejarnya adalah hadiah.
Kisah Rasulullah - Ada 60 kisah yang boleh dibaca dan boleh membuat adik terleka. Walau ada cerita yang sudah diketahui tatapi bila membaca kisah di dalam buku ini boleh re-fresh kembali ingatan. Sangat sesuai buat anak-anak seusia adik. Pandai ustaz/ustazah memilih buku ini. Lagi menggembirakan tidak perlu lagi aku mencari novel buatnya di bulan Ramadhan ini.
Tambahan - Semalam belikan juga dia buku-buku ini. Tidak adalah masa senggang kata masa iftar lambat benar. Bagi adik semua ini agar tanpa sedar masa iftar sudah tiba.
Pagi semalam - Semua buku latihan adik di atas tidak sampai RM50/- selepas diskaun berbanding kalau membeli novel agaknya baru dapat dua buah saja. Jimat duit mama:)
Tidak perlulah lagi mama membeli novel baru. Cukuplah semua itu untuk melayan masa adik berlalu selama sebulan berpuasa bila ada masa lapang. Buku-buku latihan juga pilihannya sendiri. Tidak ada alasan untuk membuat adik berkata bosan. 

~~ Sebagai ibu-bapa macam-macam cara dibuat bagi membuat anak-anak lebih selesa ketika berpuasa sementara menanti masa iftar. Carilah jalan yang mana mereka suka.~~

Friday, June 27, 2014

Wanita jangan bersedih kerana ABC

Gambar dari google
Fitrahnya dijadikan seorang wanita yang belum menopause tidak dapat berpuasa sebulan Ramadhan. Tetapi janganlah berdukacita kerana banyak amalan boleh dilakukan sepanjang ABC (Allah Bagi Cuti) tersebut. Apa yang tidak boleh hanyalah bersolat, berpuasa, tawaf, duduk di dalam masjid, lalu di dalam misjid, membaca dan menyentuh Al-Qur'an, bersetubuh, sentuhan dari pusat hingga lutut oleh suami dan talak ( yang tiga akhir ini suami yang kena lebih alert). Selain dari itu banyak boleh dilakukan untuk mendapatkan ganjaran. Sedekah jariah, zikir, membuat apa juga kebaikan semuanya itu adalah suatu yang memberikan ganjaran. Jangan bersedih hanya kerana uzur syar'i sebab Allah maha mengetahui akan segala kitaran kehidupan sebagai wanita.


Lebih beruntung ketika ABC ini bolehlah kita merasa masakan untuk berbuka yang akan dihidang kepada orang disayang - ganjaran besar untuk mereka yang memberi makan orang yang berpuasa. Memberi kepada jiran sebelah pun tidak bimbang ada yang kurang rasa sebab sudah dipastikan keenakan apa yang dimasak. Boleh mengemas rumah turun-naik hingga sehari suntuk tanpa keletihan sebab boleh minum (janganlah sampai nampak orang yang sedang berpuasa pula - malu). Peluang untuk kita berehat yang 'specially given' dari Allah buat kita sebagai wanita haruslah dihargai. Bila sudah menopause kelak mungkin kita akan rindu pula saat itu.

~~Ramadhan sudah di depan mata, terasa bagikan baru benar kita meninggalkannya tetapi kini ia datang lagi. Selamat berpuasa dan beramal di bulan penuh barokah ini.~~

Wednesday, June 25, 2014

Yusuf Taiyoob sekarang ada di sana-sini


~~ Persediaan Ramadhan buat anak-anak. Bila bersalut dengan coklat dan isi ada badam sebulan boleh habis berkotak-kotak.~~

Friday, June 20, 2014

"Operate" perut dan minda sebelum Ramadhan tiba

Berkata Saidina Ali r.a "Biarlah aku kecik dimataku tetapi besar di mata orang lain". Lihatlah bagaimana istiqomahnya khalifah ar-Rasyidin yang ke empat ini. Umat akhir zaman pula sering merasa diri besar hingga sanggup berlumba-lumba mahu menunjukkan kebolehan diri semata-mata mahu disanjung setinggi-tingginya. Bila rasa diri lebih berkuasa terasa bangga. Dapat berbuat apa saja kerana ada kuasa. Takut dengan situasi begini bukan? Bimbang kerana syaitan sentiasa menggoda di keliling kita tanpa kita sedari. Na'uzubillah...

Begitulah bila akal/minda yang kita sangkakan lebih berupaya menilai baik-buruk sebenarnya tidak mampu menanggung semua andai tidak kuat isitqomahnya. Perut yang kelihatan anggota biasa ada waktunya lebih pandai dari otak kita. Mencerna mana yang baik akan di simpan dan yang tidak baik akan dibuang. Apa lagi kalau membahayakan diri segera mahu dibuang tidak kira dari dubur mahu pun termuntah. Sanggup sakit perut semata-mata tidak mahu yang tidak baik di simpan di dalamnya. Sebaliknya akal dan minda kita yang dididik dari lahir selalu suka menyimpan. Tidak mengira samada baik mahupun yang buruk. Kalau yang baik untunglah tapi andai sebaliknya alangkah malangnya diri. Lebih malang bila yang baik mudah dilupakan. Hari ini mendengar ceramah semarak ramadhan bersemangat bukan main pasang niat mahu istiqomah. Tetapi sebaik keluar melangkah meninggalkan masjid semua jadi lupa. Tetapi yang kurang baik sanggup dikatakan "sampai mati pun aku tak akan lupa, tunggulah ada masa pasti aku balas".

~~ Sedangkan orang yang tidak menggunakan akalnya maka kedudukannya paling rendah dan paling buruk diantara ciptaan Allah - Suroh Al-Anfal:22)~~