Showing posts with label Kereta. Show all posts
Showing posts with label Kereta. Show all posts

Friday, August 12, 2016

Harapan, doa dan keyakinan

Hari Isnin baru lepas ada salah seorang staff aku mengalami kemalangan jalanraya. Seorang bapa mempunyai dua orang anak tetapi jauh lebih muda dari aku. Sebab itu aku sudah menganggap mereka di bawah ini sebagai adik-adik saja. Sewaktu dia ditimpa kemalangan dan menelefon aku cepat saja kaki aku melangkah turun walaupun ketika itu aku sedang melelapkan mata sementara menanti waktu zuhor. Dia keluar mengambil anaknya di tadika dan balik untuk makan tengahari di rumah, tetapi balik ke tempat kerja dengan keadaan menggigil. Aku lihat ada airmata sudah merembes keluar dari pepupuk mata. Baring di atas kerusi panjang sambil terketar-ketar bercerita bagaimana trailer itu merempuh kereta Kancilnya yang comel. Bergegar dengan anaknya sekali waktu itu berada di dalam kereta. Apa yang dia ngeri membayangkan kalau terjadi sesuatu ke atas anaknya itu yang paling buat dia tidak dapat membuat kerja. Aku tidak sampai hati melihatnya yang berbaring lalu aku gosok-gosok belakangnya (diluar bajunya) minta beristighfar dan sujud syukur tapi dia sudah tidak mampu. Lalu aku biarkan dia berehat kerana azan zuhor sudah berkumandang. Ada staff-staff lain juga menemankan waktu itu.

Selesai solat aku ambil mug dan air masak. Buatlah apa yang aku mampu bagi menghilangkan sedikit rasa gementar/gemuruh pada staff tadi. Dengan masih bertelekung lagi aku suakan kepadanya dan minta dia membaca selawat dan doa ringkas "Allahumma aghnini.... sehingga wajammilna bil'afiah" Minum dan sedikit sapu di mukanya (dia buat sendiri). Kemudian aku suruh dia solat zuhor. 
Air - Inilah mug yang aku gunakan itu.
Selesai solat kelihatan muka sudah sedikit cerah. Wajahnya yang pucat sudah kelihatan balik asal. Walaupun aku tidak pandai tetapi berkat adanya keyakinan dari doa yang aku baca dia kelihatan kembali normal, apatah lagi dia sudah bersolat. Barulah mampu bercerita dari awal hingga akhirnya. Sementara kami semua pun lega melihatnya walau kami tahu dia sedih dengan keadaan keretanya yang remuk. Walaupun pihak trailer itu akan memberi gantirugi dengan membaiki semua kerosakan tetapi untuk sementara waktu ini dia tidak mempunyai kenderaan lain. Sedih.

~~ Keyakinan kena ada ketika berdoa dan berusaha.~~




Tuesday, June 14, 2016

Satu petang di bulan ramadhan

Setiap hari dalam lebih kurang jam 4:30 petang minggu pertama berpuasa papa akan menelefon anak-anak apa pesanan yang mereka mahu untuk dijadikan berbuka puasa. Sehingga ada pekerjanya yang sudah arif berkata kepada hubby "ambil order ye boss". Tetapi minggu ini papa terus saja menelefon mama kerana kakak tidak seperti adik apa saja papa beli mereka tidak ada halangan. Cuma jika ada yang teringin dia sendiri yang akan menelefon papanya.

Semalam menjadi lain kisahnya. Sebaik menerima panggilan, aku serahkan pada hubby belilah apa saja asalkan jangan yang pedas-pedas. Sebelum memutuskan talian telefon hubby sudah berpesan ada pisang  yang diberi oleh nenek kepada salah seorang budak yang mengaji untuk digoreng. Sayang jika dibiarkan sebab bukan ada budak mengaji sekarang ini. Kena goreng dan bolehlah dibawa ke masjid. Bila hubby berkata begitu tahulah aku perlu balik awal sedikit. Jam 4:20 lebihkurang aku sudah turun menuju ke kereta.  Memandu seperti biasa tiba di Bandar Dato' Onn ada sedikit ketidak-selesaan pada tayar kiri bahagian belakang. Mahu berhenti kereta bersusun. Terus memandu perlahan dan sebaik ada ruang berhenti di tepi jalan berdepan plaza toll aku berhenti. Sah, tayar pancit! Telefon hubby mendapat arahan pandu saja ke depan dan berhenti di hadapan selepas membayar toll supaya hubby boleh u-turn tidak perlu membayar toll. 

Kita merancang tapi Allah juga merancang. Selepas membayar toll dan parking di tepi jalan,  mata aku sudah terpandang polis peronda PLUS secara kebetulan ada di sebelah atas hadapan surau R & R. Memberitahu hubby tidak perlu datang kerana aku akan meminta bantuan polis peronda tersebut. Sambil menanti dua 'hero' tersebut menukar tayar dalam kepala aku membayangkan sempat atau tidak hajat mahu menggoreng pisang. 

Ganjaran di bulan puasa - Kasihan pula di petang hari kedua mereka ini kena membantu menukar tayar keretaku yang pancit. Ketika aku menghulur sebagai tanda terima kasih pun pada mulanya mereka tidak mahu. Tapi aku katakan pada mereka "Ini abang yang pesan, ambillah. Terima kasih banyak dari kakak". Semoga Allah berikan ganjaran berganda buat mereka.
Menggoreng - Alhamdulillah hajat hubby mahu aku menggoreng pisang juga kesampaian. Lebih kurang 20 biji juga aku goreng belah dua dan syukur ramai yang suka. Ketika rehat sebentar terawih 8 rokaat semua habis dimakan jemaah. Sebab ada jemaah yang tidak solat terawih sehingga 20 rokaat. Habis 8 rokaat mereka keluar saf dan solat witir sendiri. Tidak menjadi masalah.
Baki - Di dapur aku kini masih berbaki lagi dalam 5 biji yang belum masak. Mungkin akan menjadi kuihlah yang ini sebab kalau digoreng tidak mencukupi untuk dibawa ke masjid.
Betapa aku ini kurang bijak merancang masa sebenarnya. Hanya kerana menggoreng pisang pun selepas asar semalam aku tidak bertadarus. Rugi satu juzuk. Tapi ada kepuasan sebab dapat memberi apa yang hubby hajatkan. Kalau tidak entah apa jadi dengan pisang yang banyak itu.


~~ Media diminta bekerjasama untuk membantu rakyat berfikiran lebih intelektual bukan membantu mencari keburukan kerajaan (itu kata orang politik). Apa pun rakyat sekarang lebih cakna biarpun tanpa bantuan media. ~~


Wednesday, May 18, 2016

Pacuan laju di Kembara Mahkota Johor 2016






~~ Zoomm... laju tidak menyempat jari tua aku mahu merakam dengan baik.~~


Wednesday, February 10, 2016

Sebelum menjelang maghrib

Tarikh: 05-02-2016
Waktu: Menjelang maghrib

Jumaat lepas jam 6:45 petang kami sudah bergerak dari rumah menuju ke Larkin untuk menjemput Kak Reen. Niat asal kami akan bersolat maghrib di suaru Terminal Bas. Tetapi dek kerana melihat jam masih terlalu awal ketika tiba di Bomba Larkin, terus saja singgah di Kacang Pool Haji. Menikmati kacang pool. 
Kacang Pool Haji - Singgah untuk menikmatinya kerana masih awal lagi untuk ke Terminal Bas

Selesai makan dari hujung talian Kak Reen memberitahu mungkin tiba selepas terminal waktu maghrib, lalu kami mengambil langkah bersolat di Masjid yang baru siap direnovation berdekatan dengan temapt kami makan. Selesai bersolat baru mendapat panggilan Kak Reen mengatakan dia baru tiba dan mahu bersolat dulu. Kami pun bergerak menuju ke terminal bas yang mana sudah dijangkakan pasti sesak dan padatnya tidak terkata.  Kereta bagaikan kena gam. Bersusun-susun kenderaan melekat antara satu sama lain kerana masing-masing bimbang ada yang cuba menyelit. Laluan untuk dua kereta sudah menjadi empat. Sempit sungguh!

Parking kereta di Metro belakang KFC terus menjemput Kak Reen. Singgah sekali membeli tiket sebagai persediaan untuk balik ke Terengganu pula. Bukan saja sesak dengan kenderaaan tetapi juga umat manusia dan asap rokok berkepul-kepul bercampur-aduk dengan bau tumisan makanan dari restoran berdekatan. Pening kepala dan mual membuat selera makanku pada malam itu terbantut. Minyak kapak menjadi peneman sehingga tidur malam.

~~ Bila disiplin diabaikan semuanya jadi susah dan memualkan.~~


Wednesday, June 3, 2015

Boleh menampal dinding berlubang



~~ Kedai buruk, harga murah dan ramai pelanggan.~~


Thursday, January 1, 2015

Misi dan langkah pertama 2015

Perbincangan asal misi untuk kami menghantar ke sana pada hujung minggu ini. Namun apabila melihat keadaan seakan-akan kian reda, semalam petang selapas zuhor aku mendapat panggilan dari hubby mengatakan mereka semua sepakat untuk bertolak ke pantai timur malam tadi. Bekalan seperti beras, tepung gula, biskut, air mineral, beehoon, sardin, roti (aku kata bimbang expiry datenya tapi mereka kata boleh), bahan pencuci (badan, lantai dsb), sudah siap-siaga tetapi bekalan untuk mereka yang dalam perjalanan untuk  pergi ke sana aku tidak bersedia lagi. Telefon Mak Zah rebus semua ketupat segera dan keluarkan daging-daging yang ada dalam freezer. Arah dua anak dara packing mana yang belum siap sebab goodie bag hubby sudah beli.
Baki - pada mulanya ini berbaki sebab goodie bag sudah habis kata anak-anak sebaik aku balik dari kerja. Tapi aku kata masukkan semua janji muat segala beg yang ada. Akhirnya masih tertinggal sebatang berus gigi dan sebungkus tuala wanita. Tidak tahulah kalau ini 'trick' anak dara aku sebab sewaktu mereka mengemas aku sibuk membuat rendang di dapur.
Untuk diagihkan - Arah juga pada anak dara aku gunting reben putih. Ikat pada tangkai sebagai tanda beg yang ada reben putih itu bermakna ada telekung dan baju kurung/jubah di dalamnya. Mana yg tali terikat tepi pula ada seluar panjang lelaki. T-shirt lelaki kami bagi lebih. Mana-mana yang masih dalam plastik sebab biasa hubby bila ada majlis rasmi ada yg memberi belum dipakai kami masukkan ke dalam sini juga. Lagi pula semuanya berlengan pendik aku dan anak-anak tidak boleh pakai. Dalam beg ini tidak ada makanan. Makanan sudah diasing dan sudah masuk dalam jeep.
Bekal - Sempat juga aku membekalkan sekadar ketupat segera yang Mak Zah rebus dan rendang yang aku masak secepatnya. Menggunakan periuk Noxxa cepat saja lembut daging. Mereka pergi dengan 40 buah kenderaan. Kalau dua orang satu kenderaan bererti ada dalam 80 orang semuanya. Aku bekalkan lebih 100 biji ketupat.
Siap - Semua yg kami punya sudah di angkut dalam jeep ini. Hubby bersama dengan En Azmi. Mereka berdua memang akrab. Mana tidak ketika En Azmi pengerusi surau, hubby timbalan pengerusinya. Aku juga akrab dengan isterinya Pn. Fairuz.
Berkumpul - Ini gambar terbaru yang diWhatsApp pagi ini sebaik aku tiba di pejabat.  Malam tadi jam 9:30 malam bertolak dari JB (aku tidak ikut). Rehat selepas solat subuh di Cheneh, Terengganu (ada bandar nama ini ye - aku tidak tahu). Sedihnya hubby kata salah satu 4x4 jemaah tayar bocor. Itu yang agak lambat sebab sama-sama menggantikan tayar yang bocor tersebut..
 
Mohon doa dari semua semoga kesemua 40 pacuan empat roda yang sarat muatan dan bertolak malam tadi tiba destinasinya dan selamat kembali. Mengikut perancangan mereka akan balik JB pada hari Ahad. Bermakna empat harilah aku tidur sendirian. Tidak sama aku rasa sepinya ketika hubby outstation untuk tugasan biasa berbanding dengan perginya dia kali ini. Payah juga mata mahu terlena.

~~ Andai ada peluang ke dua kumpulan kami pergi lagi mungkin kami isteri-isteri juga ingin berkunjung melihat saudara dan sahabat-handai kita yang sedang diuji.~~
 

Friday, October 24, 2014

Bila terdesak apa pun boleh

Hari Jumaat merupakan cuti mingguan buat hubby. Aku mengambil peluang menggunakan keretanya untuk pergi kerja (kereta aku masih tersadai lagi). Daripada memandu MPV lebih baik memandu kereta biasa. Tetapi kalau mahu tahu di dalam kereta hubby biasalah orang yang bergelumang kerja dengan elektrikal dan engineering benda comel-comel apa pun ada terselit di celah-celah kereta. 

Perfume - Boleh diletaknya di seat begini. Memanglah tiada penumpang, tapi kalau kereta perempuan aku rasa tidak ada siapa yang mahu dudukkan perfume di sini.
Seat belakang - Ini kira bernasib baik kerana tidak penuh dengan drawing berbagai. Biasanya ada di sini.
Apa ini? - Aku pun tidak tahu. Benda-benda comel beginilah yang aku pun tidak faham boleh di selitkan di sini,
Sental & selit - Lihatlah semuanya ada. Mana yang penting dan tidak penting pun tidak dapat hendak dibezakan.
Dashboard - Selagi ada tempat boleh diletak. Kalau orang perempuan pasti sakit mata memandang bukan. Tapi kalau sudah kata meminjam kenalah pejamkan mata. Pandulah saja untuk pergi-balik kerja.
Kak Reen pula cuti kali ini patah kaki kerana kereta yang biasa dipandunya 'sakit'. Memandu MPV dia tidak pandai. Kereta buruk kami sejak Hari Raya Aidilfitri sudah di hantar ke kampung. Kenderaan sudah menjadi keperluan dalam kehidupan harian sekarang.

~~ Renungan jumaat yang tidak ada kene-mengena dengan entri di atas - Orang yang bijak adalah orang yang pandai menguruskan masanya ketika masa hidupnya. Bagaimana dengan kita?~~



Thursday, October 16, 2014

Ujian melanda tanpa di duga

Petang Sabtu sebelum anak-anak menduduki peperiksaan minggu ini. Balik dari tuisyen mahu makan Domino. Masalah di Domino menunggu sangatlah lama sebab dikatakan kekurangan staff. Gadis yang mengambil order itulah juga yang membuat pizza. Tetapi kerana anak-anak kami tunggu juga. Tidak makan di situ memandangkan masa sudah tengahari. Kemudian kerana hubby ada barang mahu di ambil dari kedai elektrik untuk projek dia kami teruslah ke kedai tersebut. Jam sudah hampir zuhor itulah kami keluar dari kedai. 

Pepatah mengatakan 'malang tidak berbau' sungguh itulah yang terjadi pada kami. Oleh kerana kecuaian seorang pemandu kereta proton yang keluar simpang secara tiba-tiba membuatkan penunggang motosikal cuba mengelak dan terjatuh lalu menggelongsor menuju ke arah lane kereta kami. Kedudukan jalan adalah jalan dua hala. Sebenarnya kereta kami sudah berhenti sebaik nampak situasi itu. Kereta kami dari JB menuju ke Skudai. Kalaulah kereta kami bergerak pasti pemandu motor itu akan terperesok ke bawah kereta kami. Tetapi oleh kerana kereta kami sudah berhenti motor yang tumbang dengan penunggang itu manggelongsor terus menghentam depan kereta kami.  Kejadian pula waktu hujan lebat. Pemandu proton dan motosikal bergaduh kerana kemalangan adalah di antara mereka cuma kami yang menjadi mangsa sama. Hubby diam seketika sementara mereka bertekak.
Hujan lebat - Pemandu kereta yang berpayung tidak luka langsung tetapi pemandu & penunggang  motosikal itu luka parah. Kasihan sehingga aku berikan tuala dalam kereta untuk membalut lukanya. Lihat kereta yg bersalah tidak mengalami kerosakan. Tetapi motor dan kereta aku di lane sebelah yang rosak teruk. Dia mohon maaf pada hubby tapi nama pun kemalangan hubby faham. Aku yang sedih kerana itu kereta aku untuk pergi kerja.
Penyelesaian - Atas nasihat hubby buat report polis sebab mereka tidak mampu membayar ganti rugi kereta kami yang rosak teruk. Cermin depan retak kerana pemuda itu terlambung atas bumper depan kereta kami. Bahagian depan hancur dek kerana hentakan motor yang kuat. Memandangkan waktu solat kian berlalu kami solat di bangunan Pejabat Polis Trafik pada hari itu. Itu pun sudah hampir jam 3:00 petang. Sudah terlalu lewat.
 
Kini kereta aku berada di bengkel untuk diperbaiki. Pihak insurance pula agak perlahan menjalankan tugas. Kami claim under motosikal punya insurance sebab yang melanggar kereta kami adalah motor itu walau disebabkan kereta proton tadi. Valuation belum lagi dibuat sehingga hari ini. Sudahlah harga minyak naik, aku pula terpaksa memandu MPV untuk pergi kerja. Bila tangki besar isi minyak pun kena lebih. Ujian dunia kenalah tempuh. Menagih kesabaran betul. 

 ~~ Selagi nyawa Allah bagi pinjam pasti ada ujian yang diberikan.~~


Wednesday, September 17, 2014

Tayar untuk kereta dan roda kehidupan kita

Lama - Alat digunakan untuk mengeluarkan tayar lama kelihatan mudah. Dalam kehidupan pun sama juga andai 'perkakas/alat' yang lengkap sudah sedia mudahlah untuk pergi meninggalkan dunia yg sementara ini
Baru - Tukar tayar baru moga mudah diperjalanan yang dituju. Kehidupan manusia juga sama andai bekalan lengkap sentiasa dalam apa juga 'perjalanan' tidak kira di dunia dan di 'sana' insya-Allah mudah jadinya.
Ilmu - Bukan mudah menimba ilmu andai tidak ada kecekalan dan kemahuan. Skill pula bukan boleh diperolehi dalam sehari-dua. Begitulah  juga dalam kehidupan di dunia ini,  'menimba ilmu' tidak ada garis penamatnya
Teknologi - Balancing agar tayar dipasang di kereta berjalan lurus. Kehidupan manusia juga sama kenalah di seimbangkan antara dunia dan akhirat, mencari jalan yang 'lurus' agar sentiasa di dalam kerehaanNya.
~~ Bekerjalah seolah-olah untuk hidup selamanya dan beramallah seolah-olah akan mati pada hari esoknya.~~

 

Thursday, September 11, 2014

Bila lupa singgah dalam diri

Sebaik anak-anak yang mengaji balik kami segera bersiap untuk keluar makan malam di luar. Anak dara sudah aku beritahu awal-awal sebelum mama selesai mengajar mengaji, pastikan semua sudah sedia.  Biasa sangat kena menunggu anak dara membetulkan tudung yang berpusing-pusing. Risau aku dibuatnya. Tetapi malam itu apabila semua sudah selesai, hairan aku melihat hubby masih keluar-masuk bilik. Biasa kami sedang bersiap, enjin kereta sudah dihidupkan. Sebaik aku keluar bilik baru aku tahu hubby dan Mak Zah sibuk mencari kunci kereta. 

Malam itu terpaksa menggunakan kunci pendua yang remotenya sudah tidak berfungsi. Betul-betul hubby lupa dan kami tidak jumpa kunci tersebut. Hendak bawa kereta kerja biasalah kereta hubby macam-macam khazanah, anak-anak kurang suka. Kereta aku pula biasalah mandinya sebulan sekali (tapi dalam kereta aku bersih/wangi tau hihi...). Akhirnya keluar dan singgah di kedai membuat kunci kereta. 

Hijau - Fancy pula bila dah tua-tua pegang kunci warna hijau begini. Warna hitam dan kelabu sudah kehabisan stok. Ambil sajalah. Adik suka warna ini sweet katanya:) Tukang repair itu setting balik chip dalam remote rosak menggunakan komputernya dan dimasukkan ke dalam casing baru ini.
Kilat - Kalau mama yang pegang masih ok lagi tapi kalau papa terasa janggal pula. Kalau tidak kerana hilang kunci asal sampai bila-bila kunci kedua tidak dibetulkan. Elok jugalah sekarang dua-dua sudah berfungsi.
Balik dari makan malam kami ligat mencari lagi kunci asal. "Baik solat minta petunjuk" itu jalan terakhir. Sambil itu masih kebingungan. Kawan-kawan mahu tahu dimana hubby sumbat kunci itu? Mujur aku boleh terfikir "Cuba abang tengok kocek seluar abang solat asar petang tadi". Betul! kunci itu di dalam kocek seluar yang sudah di dalam mesin basuh. Nasib baik Mak Zah belum mencuci lagi. Kalau esok paginya pasti sudah bergumpal di dalam mesin. Sebenarnya petang itu balik dari solat Asar hubby ada memanaskan enjin kereta itu yang agaknya selepas itu lupa untuk sangkut di tempat kunci tapi masuk di dalam poket seluar.

~~ Bila usia bertambah sifat lupa tidak mudah lari dari diri.~~

Thursday, July 17, 2014

VEP mereka naik harga, kita percuma lagi

Bermula awal bulan ini setiap kenderaan yang masuk ke negara jiran kita, Singapore akan diberi kertas notis berkenaan kenaikan harga kenderaan yang mahu memasuki negara tersebut. Berbanding negara kita yang tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada mereka. Jika mengikut pendapat aku kenderaan dari sana rasanya jauh lebih banyak yang memasuki negara kita tapi tidak pun dikenakan apa-apa bayaran. Pagi ini mendengar berita dari radio IKIM FM barulah ada ura-ura negara kita juga akan membuat seperti itu. Namun ini pun dikatakan masih dalam pertimbangan. Kita tunggu dan lihatlah apa pelaksanaannya kelak.

Notice - Inilah notis yang diberikan kepada setiap kenderaan yang memasuki Singapore. Berkuat-kuasa dari 01-08-2014 semua VEP (permit kemasukan kenderaan)  sudah dinaikkan dan hanya motosikal saja yang kekal.  Nilai setelah di gandakan lebih dua kali ganda Ringgit Malaysia kiralah berapa yang perlu dibayar rakyat Malaysia yang mahu memasuki negera mereka.
Syiling baru - Selalu bila customer membayar GST jarang menggunakan cash. Baru-baru ini ada pula yang menggunakan cash dan baru aku perasan mereka sudah ada syiling SGD 1/- yang baru. Cantik juga dengan dwi-warna.
Lama - Dulu syiling SGD 1/- dia begini tapi masih boleh digunakan lagi buat masa ini. Pasti lama-lama syiling ini tiada lagi dan jadilah sejarah buat negara mereka.
~~ Mengikut pemerhatian aku banyak hal negara kita selalu mengalah dengan negara luar.~~


Thursday, May 8, 2014

Fantastic F1 live with adik

Pada pertengahan tahun 90an permainan kereta control sangat terkenal bukan saja di negara kita bahkan di negara-negara barat. Rata-rata setiap rumah membeli kereta mainan ini, sehingga ada organisasi yang menganjurkan pertandingan walau sekadar kereta mainan. Lumayan juga hadiah yang ditawarkan kerana ada yang mencecah sehingga lima angka. Walaupun kami tidak mempunyai anak lelaki tetapi hubby tidak kurang terjebak sama dalam permainan ini pada waktu itu. Mendapat anak sulung perempuan juga tidak menjadi halangan membeli kereta control ini dengan alasan tidak mahu anak bermain kereta milik orang lain.

Adik &papa - Khusyuk melihat peserta yang bertanding kereta bagaikan di stadium FI. Puas mama dan Mak Zah mencari mana pergi mereka berdua rupanya di sini mereka berada.
Hampir 18 tahun sudah - Inilah kereta control yang hubby beli dulu, masih elok lagi sebab anak dara yang bermain. Masih aku ingat lagi hubby adik-beradik boleh berlawan kereta-kereta begini di halaman rumah sewaktu Hari Raya. Nurienne (anak sulung kami) pula waktu itu baru belajar berjalan, setiap kali kereta bergerak dia akan kejar.  Bila ada peluang kereta berada dekat, dia akan duduk di atasnya. Kuat kereta ini.
Adik punya - Sudah seminggu lebih membelinya. Dua minggu lepas sewaktu keluar dengan Kakak Meen, papa terberjanji akan membeli minggu berikutnya. Apa lagi Sabtu itu, bila keluar pula dengan Kakak Reen dia pun menagih. Siap berkata "Kalau papa tak cukup duit, keluarkanlah duit rakaman adik mengaji". Punyalah dia berkehendak.
FI adik - Riuh mengalahkan ada anak lelaki bila tiba-tiba ada anak bermain kereta di dalam rumah. Geleng kepala jugalah aku dibuat anak dara bermain kereta remote. Anak-anak yang mengaji menambah keriuhan mereka.
~~Hubby selalu berkata biarlah adik bermain selagi dia masih kanak-kanak, bila sudah remaja tidak ada keinginan untuk bermain ini semua.~~

Wednesday, January 8, 2014

Monday, November 19, 2012

Selesakan perjalanan

Setiap hari berjalan di atas jalanraya bila tiba masanya kena juga bawa untuk diservice. Kita pun bila penat perlukan masa untuk dimanjakan. Inikan pula yang membantu aku pergi-balik setiap hari ke tempat kerja. Tempat lain jarang digunakan. Pergi pasar malam, hantar adik tuisyen dan pergi ke rakaman di RTM adalah bawa dia. Biasanya kalau aku tidak bekerja dia pun tinggal saja di rumah.

Mula - Uncle ini sampai baring-baring di bawah kereta. Aku ngeri tapi dia ada skill. Minyak hubby yang pilih. Filter pun baru kali pertama tukar sejak setahun lebih menggunakannya.

Bengkel uncle - Walau buruk bengkel dia lengkap. Sebenarnya hubby suka ke sini sebab sudah lama kenal dan bayaran dikenakan pun jauh lebih murah. Kalau tolong sikit-sikit biasa dia tidak kenakan bayaran. Aku rasa dia untung banyak sebab ramai warga Singapore yang suka ke sini.
~~ Perjalanan di atas dunia menggunakan kenderaan tiba masa selalu diperiksa. Moga aku punya masa untuk selalu service dan pastikan 'perjalanan' menuju dunia yang kekal abadi lebih lancar lagi hendaknya.~~

Wednesday, July 18, 2012

Setahun perjalanan speedometer sudah gila

Bagaimana agaknya bacaan yang tertera di alat perangkap kelajuan yang pihak JPJ gunakan bila kereta aku yang melintas. Aku bukan membeli kereta second hand. Namun nasib tidak menyebelahi bila baru setahun sebulan aku memilikinya kereta ini menunjukkan mohon diperbaiki. Kalau belum setahun masih ada peluang diperbaiki percuma, tetapi ini terlebihlah pula sebulan. Siapalah agaknya QC yang meluluskan dulu.

 Jangan percaya - Paling laju pun aku memandu dalam 120km/j. Kali ini boleh mencecah 150km/j. Dalam gambar ini bergerak perlahan sedikit kerana aku mahu mengambil gambar sebagai  bukti untuk ditunjuk kepada en hubby.
Kena percaya - Lihatlah bagaikan kereta berhenti walaupun ketika itu aku memandu lebihkurang 100-110km/j.
~~ Masih belum dihantar ke mana-mana bengkel lagi. Kesuntukan masa sepanjang Sabtu dan Ahad yang lepas. Walau bagaimanapun kereta ini telah memberikan jasa untuk membawa aku pergi dan balik kerja setiap hari.~~


Friday, June 22, 2012

Niat baik belum diizinkan Allah

Hari Isnin yang baru lalu. Baru saja sayang-sayang dan bersalam dengan adik untuk masuk tidur tiba-tiba ada suara lelaki memberi salam. Hubby menjawab salam sambil tangan kelihatan mengambil kunci. Tidak pasti kunci kereta atau kunci motor sebab kunci rumah tiada di dalam bilik. Malas keluar aku membiarkan saja hubby melayan tetamu yang datang. Dalam hati berdetik juga kalau dia lama kenalah juga aku ke dapur.

Tidak sampai 15 minit hubby sudah masuk dan bercerita. Remaja lelaki yang sedang bercuti semester mahu meminjam motor untuk tempoh sebulan. Bekerja sementara bercuti mahu mencari duit saku. Hubby yang menawarkan sebab sewaktu di surau dia ada menyuarakan masalah untuk dia ke tempat kerja. Sebelum ini dia berkongsi motor dengan temannya tetapi tiba-tiba shift kawan yang ditumpangi ditukar. Akibatnya dia tidak ada kenderaan.

Namun sayangnya dia tidak pandai menunggang motorsikal Jaguh. Kami hanya ada dua buah motorsikal berbanding kereta kami ada lima kereta buruk termasuk kereta syarikat. Mahu meminjam motor Honda mestilah tidak boleh sebab itu untuk kegunaan Mak Zah mengambil adik balik dari sekolah setiap hari. Hubby mencadangkan dia memilih antara dua kereta buruk kami yang lain tapi dia pula tidak pandai memandu kereta manual. Dua kereta ini tidak kami gunakan untuk kemana-mana, kalau setakat satu-dua bulan apa salahnya dia meminjam. Akhirnya malam itu dia pulang dengan tangan kosong. Hubby hampa sebab tidak dapat membantu.

Remaja ini baru 19 tahun dan remaja yang baik kalau ikut pandangan mata kami. Selalunya bila tiba bulan ramadhan dan dia ada bercuti pasti akan dijadikan salah satu imam pilihan untuk solat terawih. Bukan ustaz tapi seorang Hafiz. Sejuk mata memandang airmukanya. Sebab itulah hubby tidak keberatan kalau dia yang mahu meminjam.


~~ Bukan semua niat baik kita Allah laksanakan walau untuk tujuan baik. Harapan kami moga adalah teman lain yang sudi menumpangkan dia ke tempat kerja.~~

Tuesday, August 9, 2011

Ujian di bulan Ramadhan

Pada bulan ramadhan ini aku balik kerja awal sikit. Jam 4:30 petang sudah berada dalam perut kereta menuju untuk pulang. Sasaran seperti biasa boleh tiba rumah awal sikit. Namun bila tiba-tiba jalan sesak sehingga berpuluh kilometer mesti ada yang tidak kena. Kamera di dalam beg aku keluarkan bersedia untuk mengambil gambar mengapa dan kenapa hingga teruk benar.

Sesak .....Laluan sebelah yang tidak ada kena-mengena pun kelihatannya jem teruk juga. Kalau hendak melihat apa yang berlaku sepatutnya parkinglah kereta di tempat yang betul . Akibatnya laluan yang dua lorong hanya tinggal satu. Jem teruk di kedua-dua laluan.

Api marak ....... Dari jauh sudah mula kelihatan kepulan asap dan api marak.


Kemalangan...... Hairan yang bersarang di hati tidak boleh menjawab bagaimana kereta itu boleh melompat naik ke atas pembahagi jalan dan melintasi longkang. Tapi itulah dia yang terjadi di bulan ramadhan ini. Kawan aku berbangsa tionghua berkata "Ini bulan hantu sebab itu banyak hantu keluar. Keluarga saya baru buat Hungry Ghost Festival " Kepercayaan kita tidak sama. Apa yang kita tahu di bulan ramadhan ini semua syaitan telah dirantai.



~~Apabila datang Ramadhan, pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan Syaitan dirantai" [Hadith Riwayat Al-Bukhaari #1899 dan Muslim #1079]~~


Wednesday, July 27, 2011

Andai boleh berbicara

JEU 892: Nasib baiklah tuan kita bukan seorang YB. Kalau tidak lama sudah aku kena jual. Buruk-buruk aku masih lagi dapat pakai baju baru. Sayang juga mereka dengan aku.

JMY982: Engkau jangan tak tahu. Kalau bukan kerana aku belum tentu engkau dapat baju baru. Bila aku lahir dalam rumah itu barulah tuan kita sibuk hendak beli baju baru yang lebih selesa buat mereka duduk anak-beranak.

JHR982: Untunglah kamu berdua dapat baju baru. Selalu kamu berdua saja dimandikan. Aku sekali-sekali saja dia guna. Penat aku duduk di porch rumah. Engkau tiap-tiap hari dapat berjalan tengok dunia luar.

JGF 544: Mentang-mentang kamu semua ada roda empat bolehlah kata begitu. Aku ini sekadar digunakan dia bila pergi surau. Dunia luar aku hanya dari rumah ke surau saja.

JMM4454: Janganlah risau JGF 544 pahala kita banyak. Kalau awak selalu pergi surau aku hanya digunakan mereka pergi-balik sekolah. Itupun kalau tidak hujan.

























Demi simpati pada mereka ini pada hari Ahad yang lepas, kami gantikan baju-baju baru buat mereka semua. Jasa mereka telah banyak buat kami sekeluarga. Selesalah ketika memandu di atas jalanraya.


Tuan rumah: Sabarlah yang lain-lain kalau aku banyak duit mesti kamu pun akan aku tukarkan baju yang baru juga. Anak aku yang pandai berbicara lebih dari kamu lagilah memerlukan sebab ramadhan kian menjelang bererti Hari Raya mereka semua memerlukan hak mereka. Selain dari itu aku kena agihkan juga sebahagian yang aku ada pada mereka yang tidak mampu .



~~ Bayangkan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli walau sehelai baju ketika meraikan Hari Raya, walau ibadah puasa yang mereka jalani mungkin lebih sempurna dari kita ~~