Showing posts with label Touch & Go. Show all posts
Showing posts with label Touch & Go. Show all posts

Saturday, July 5, 2014

Nilai toll di dunia dan akhirat

Buat teman-teman yang mungkin musykil berkaitan toll di tempat aku. Sebenarnya sudah agak lama pihak PLUS melaksanakan pembayaran toll tidak lagi dengan sistem tunai di sini. Apa yang aku pasti dua tempat terhampir dengan tempat tinggal  kami ialah di toll Perling untuk ke Gelang Patah menghala ke Tuas. Manakala satu lagi adalah toll Kempas yang menghala ke Pasir Gudang dan boleh juga menghala ke JB untuk terus ke Woodland.

Sebelum tahun ini mungkin pekerja penerima toll boleh meraih banyak keuntungan kerana adanya duit dollar Singapore (SGD) kerana ramai pengguna di sini juga kalangan dari rakyat Singapura. Oleh sebab itu ada kalanya pembayaran dibuat menggunakan duit SGD. Pekerja yang menerima SGD berpeluang untuk meraih keuntungan berganda sebenarnya. Sebelum balik bekerja boleh saja ditukarkan duit SGD dengan duit ringgit Malaysia (RM). Cuba teman-teman bayangkan seandainya dalam sehari terdapat 300 pembayar toll dari rakyat Singapore? Nilai tukaran matawang lebih dua kali ganda. Hari ini saja ex-change rate mencecah 2.5523. Bayangkan kalau seorang membayar SGD 2.10/- x 300 (pengguna) = SGD630/-.  Nilai SGD630.00 x 2.5523 (ex-change rate) = RM1607.95. Kira sajalah bakinya.

Pada pendapat aku mungkin kerana inilah pihak pentadbiran mengambil langkah semua sistem tidak menggunakan lagi sistem tunai bila mendapati duit SGD semakin berkurangan. Selain itu berkemungkinan juga bagi mengelakkan rompakan yang pernah terjadi sebelum ini. Perompak pun tahu dua toll ini punya banyak duit SGD. Bukan saja untuk keselamatan pihak PLUS, tetapi juga keselamatan pekerja yang menerima tunai yang boleh menghadapi risiko tinggi.

Innalillahi wainna ilaihi rojiuun - Kullunafsin za iqotulmaut (sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan menemui mati). Perginya beliau (Datuk Sharifah Aini binti Syed Jaafar) ke sisi Allah dengan tenang di bulan yang mulia. Sayu rasa hati.
~~ Mahu perjalanan lancar kena membayar toll. Di akhirat kelak bagaimana perjalanan kita andai tiada persediaan bagi mengelak 'toll' kenalah kita bersedia selagi Izrael belum datang menjemput. Khususon ila ruhi Al-marhumah Sharifah Aini binti Sharifah Noor - Al-fatihah.....~~



Friday, July 4, 2014

Menagih kesabaran tinggi di bulan Ramadhan

Bila hari Jumaat saja, perjalanan pergi kerja aku sangat-sangatlah selesa dan lancar. Tetapi sebaik tiba di Toll Kempas pagi tadi aku perhati lane di sebelah aku berderet panjang. Tahulah aku pasti ada yang terkena seperti aku dulu. Bunyi hon biasalah bertalu-talu. Mahu tahu bacalah di sini. Sebaik tiba giliran aku di sebelah lane aku hon kereta aku dan hulur pada sepasang remaja cina itu untuk menggunakan kad Touch & Go aku yang satu lagi. Berhenti ke hadapan sedikit kemudian dipulang kembali kad itu kepada aku. Remaja lelaki itu mahu membayar. Aku kata tidak perlu. Aku tahu apa yang dia rasa kerana pernah mengalami apa yang pernah dialami olehnya. 

Walau disarankan untuk lebih bersabar di bulan ramadhan ini tetapi bila tersangkut lama ketika dalam perjalanan pergi atau balik kerja bagaikan kesabaran hati dirobek-robek. Jadi sekurang-kurangnya dapat juga aku mengurangkan rasa tidak sabar ramai ketika tersangkut gara-gara remaja cina tadi yang tidak ada smart-tag dan Touch & Go. Apa yang pasti tunai tidak ada lagi di sini.


Lupakan kisah di atas aku mahu kongsikan waktu imsak dan iftar kami sekeluarga selagi tidak balik kampung.Cepat waktu iftar kami berbanding ketika balik kampung.
Jadual Imsak dan Iftar - Zon 2 negeri Johor

~~ Jika hari biasa bangun pagi perlu membuat sarapan apa salahnya kita gantikan waktu itu dengan bertadarus/membaca Al-Quran. Sesungguhnya kembar Ramadhan adalah Al-Quran.~~

Thursday, June 19, 2014

Pagi semalam yang memalukan

Pagi semalam. Kereta sudah berada di plaza toll. Sebaik menghulur tunai RM2.10/- dikatakan tidak ada lagi sistem tunai. Semua bayaran kena menggunakan Touch & Go atau Smart-Tag. Belum pun sampai dua-tiga minit kereta aku tidak bergerak, kenderaan di belakang aku sudah banyak berderet panjang. Bunyi hon sudah bergilir-gilir. Aduhai apalah tidak kenanya dengan makcik di depan? Mungkin itu yang terfikir di kepala masing-masing. Aku jadi tidak tentu arah. Akibat bertukar kereta aku terlupa mengeluarkan kad Touch & Go dari kereta tersebut. Anak dara sulung mahu menggunakan kereta aku untuk ke sekolah lamanya sehari lebih awal bagi menduduki peperiksaan MUET hari ini (doakan moga dipermudahkan). Bawa MPV dia tidak berani. Aku mengalah lalu pergi kerja semalam dengan kereta yang selalu digunakan untuk kegunaan keluarga makan angin, tanpa sedar tidak ada kad Touch & Go mahupun Smart-Tag.

Kad pengenalan - Mujur baru membuat kad pengenalan. Hulur note 50 ringgit katakan mahu masukkan dlm kad pengenalan. Mungkin kalut adik itu hanya masukkan 10 ringgit. Rasanya ada 2-3 minit juga masa diambil. Sebaik bunyi 'tet' bila kad pengenalan di sentuhkan - palang ternganga. Berdesup aku memandu. Malu yang amat sangat!

Luput 2024 - Hee.... kalau ikut tahun itu aku pencen hahaha... masa ini sudah tidak perlu guna agaknya. Tapi kad pengenalan kalau Allah panjangkan umur masihlah diperlukan.
Gara-gara terlupa Touch & Go inilah akibatnya. Tambah malang di Toll Kempas ini tidak boleh menggunakan tunai lagi. Semua kena T&G dan Smart-Tag. Kepada teman-teman yang menggunakan highway ini kenalah beringat jangan jadi seperti yang terjadi pada diriku semalam. 

~~ Akibat kecuaian aku ramai yang menanggung akibatnya. Biarpun sekadar 2-3 minit tetapi sudah mengganggu ramai orang. Maafkan aku kepada mereka yang terganggu semalam.~~


Friday, July 19, 2013

Perjalanan yang panjang mencari destinasi

Perjalanan di dunia bukan seperti di atas lebuhraya boleh ditebus bayar dengan kad seperti ini. Hendak masuk menggunakan lebuhraya kena ambil resit dan  apabila tiba masa mahu keluar kenalah membayar secukupnya.
Kad transit - Sebenarnya tempohari sewaktu menghantar anak pulang ke sekolahnya tertinggal kad Touch & Go didalam kereta lain jadi terpaksalah  memasuki lorong tunai. Bertahun tidak menggunakan lorong tunai tidak tahu sekarang sudah menggunakan seperti ini. Cantik dan lebih keras seperti kad Touch & Go juga.
Dari Abi Hurairoh r.a di riwayatkan rasulullah saw bersabda" Dibentangkan titian as sirat antara neraka jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah, Ya Allah selamatkanlah, selamatkanlah."

Muka belakang - Serah tiket ini akan  tahu berapa bayaran dikenakan. Lecehlah sikit tidak seperti Touch & Go atau SmartTag lebih cepat. Ibarat meniti titian as sirat di hari kiamat pula aku membayangkan andai 'saham' banyak pasti laju lintasannya tapi kalau sebaliknya kenalah meniti perlahan-lahan asal jangan saja tersangkut.
Dari Abi Said Al-Khudriy r.a rasulullah bersabda "Maka orang Mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata, ada seperti kilat dan taufan, ada seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik, maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait masuk ke dalam neraka..." sebahagian dari hadith riwayat Muslim.

~~ Sesungguhnya lapar mereka yang berpuasa itu penuh dengan nikmat tidak terhingga bila tiba masa iftar.~~

* sejak akhir-akhir ini aku bw dari link blogger yang komen N3 aku sebab dashboard bagaikan merajuk. Blog list pula lama sudah aku tidak ada sejak malware menyerang. Mohon maaf.*