Showing posts with label Kenangan. Show all posts
Showing posts with label Kenangan. Show all posts

Thursday, June 16, 2016

Setem yang menggoda iman

Pada mulanya mengambil album koleksi setem kerana mahu memasukkan setem yang aku perolehi hasil kiriman postcard dari KakNoor. Sambil mencari ruang sempat membelek setem-setem yang sudah agak padat ruangnya. Tapi entah mengapa sepasang mata yang tuannya sedang berpuasa ketika itu boleh pula memandang buah ini. Salah satu buah yang mampu mengimbau nostalgia zaman aku kanak-kanak dulu. 
Jambu bol - Sebelum ramadhan tempohari jambu ini juga agak meriah di depan rumah bapak. 

Menggoda iman - Subhanallah boleh aku teringin untuk menikmatinya sebaik melihat ini. Teringat jambu-jambu yg jatun ke tanah tempohari di rumah bapak. Masa tidak berpuasa dan banyak di depan mata tidak kisah pula. Bila sedang berpuasa dan jauh dari kampung minda teringat-ingat pula.
Istimewa jambu ini ada biji yang boleh dibuat main baling-baling. Kedudukannya di tengah-tengah buah.  Boleh digunakan sebagai senjata membaling ibu ayam yang marah bila anaknya dikacau. Teman sepermainan kami yang lelaki pula menjadikan bijinya sebagai biji melastik. Itulah kisah kami dulu-dulu. Bermain tanpa halangan samada sedang berpuasa ataupun tidak sama saja. Kekuatan fizikal dan mental anak-anak dulu tidak boleh dipertikaikan. Istilah demam dek bermain dikala panas atau hujan tidak ada dalam kamus kehidupan zaman kami kanak-kanak dulu.

~~ Sesekali merenung kisah lama mampu membuat bibir ini tersenyum sendirian walau himpitan kewangan waktu itu sebenarnya ada tetapi aku tidak tahu kerana belum matang.~~


Wednesday, June 8, 2016

Nostalgia lama kembali segar






~~ Kami adik-beradik tersenyum mengimbau kisah silam ketika minum menggunakan cawan ini di rumah bapak baru-baru ini.~~


Tuesday, February 2, 2016

Aktiviti mengemas rumah - 3

Biarpun letih mengemas ada lagi yang membuat mama tersenyum apabila Kak Meen dan papa turun tangga dari store membawa kotak-kotak berisi hadiah lama mama. Apa yang membuat mama tersenyum semua ini sudah terlalu lama. Hadiah pernikahan mama dengan papa pun ada rasanya. Atau mungkin hadiah ketika papa membeli barangan elektrik. Masih duduk di dalam kotak dan berplastik lagi. Kad warranty pun tidak disentuh langsung.
Kotak blander - Di dapur aku ketika ini ada dua yang selalu digunakan dan seangkatan dengan ini. Hanya model/brand berlainan dan rasanya yang di dapur labih baik. Tetapi sayang sebab kami terlepas pandang semua ini. Mungkin bibik-bibik dululah yang simpan di stor sehingga kini baru kami ditemuinya bila ianya sudah menjadi outdated. Tetapi kondisi masih elok lagi.
Hand-mixer - Juga diluar jangkaan kami sebab kalau tidak silap dua tahun lepas ketika menjelang ramadhan aku dan Mak Zah membeli hand-mixer seperti ini. Model dan brand saja tidak sama. 
Kenwood hand-mixer - Inilah mixernya. Aku rasa Kenwood ini mungkin hadiah aku kahwin dulu atau mungkin hadiah hubby membeli barangan kerja elektrikalnya.
Goldmark - Jumpa juga mixer ini. Tidak ingat langsung samada ianya hadiah kahwin atau bukan. Tetapi yang ini stand mixer with bowl. 
Stand-mixer - Inilah mixer yang ditemui. Sekarang semua sudah berada di cabinet dapur. Menggunakannya juga entah bila sebab sejak 2016 ini belum sekalipun aku membaking kek.
Misi mengemas sebenarnya belum siap lagi. Kain-kain langsir sudah dibasuh dan togel semua pintu dan tingkap. Niat asal mahu mengganti yang lain. Langsir yang dicuci pun sudah berlipat simpan di di dalam almari tetapi sehingga hari ini belum digantung lagi yang lain.

~~ Harap dapat disambung misi mengemas bila cuti CNY ini walaupun agenda cuti juga mahu balik kampung.~~



Wednesday, January 27, 2016

Aktiviti mengemas rumah - 2

Kali ini apa pula yang kami temui? Satu pertemuan khazanah lama sehingga mengembalikan nostalgia kami anak-beranak. Sudah pasti Kak Meen dan adik tidak membenarkan semua buku-buku yang dulunya diulek dan diusung ke sana-sini dijual kepada pemungut barang lusuh. Sambil mengemas ada juga menyelak helaian buku mengenang kembali cerita-cerita lama yang dulunya menjadi satu rutin buat mereka.

Contoh - Salah satu buku keluaran Lady Bird yang menjadi koleksi anak-anak mama suatu ketika dulu. Sehingga mereka mampu untuk bercerita semula kepada atok dan nenek mereka (waktu itu nenek masih hidup lagi - al-fatihah buat allahyharhamah nenek).Sebab bila balik kampung buku ini juga akan diusung sama. Sungguh sangat nostalgia.

The Magic Porridge Pot - Terkenang dulu anak-anak mama semua makan bubur nasi. Buku ini menjadi salah satu motivasi yang membuat mereka berselera makan. Kisah bagaimana bubur tidak berhenti-henti membuak-buak keluar dari periuk nasi buat kanak-kanak mestilah suatu yang sangat seronok. 

Versi lagi comel - Ada dua tinggalan buku yang sizenya laaaagi comel. Tetapi dua buku ini keluaran di Malaysia. Berkulit keras juga. Berbanding yang lain-lain buku  keluaran Lady Bird di beli di London.

Khazanah  - Semua ini khazanah anak-anak mama dulu. Dari Kak Reen, Kak Meen sehingga adik inilah buku yang mama bacakan bagi membuatkan mereka khusyuk mendengar. Bila sudah boleh membaca ketika usia 5-6 tahun buku ini jugalah yang selalu dibaca. Sebenarnya buku-buku ini tidak membosankan buat anak-anak seusia 2-7 tahun biarpun diulang-ulang selalu. Mereka memeilih buku mama yang jadi tukang membacanya. Suatu yang menarik adalah kualiti kertas dan gambar-gambar di dalam buku ini mampu membuat anak-anak khusyuk. Alahai rindunya saat itu.

Nostalgia mama - Menjumpai buku ini lagilah membuat mama terkenang ketika mama masih bersekolah rendah lagi. Buku Kak Long  ini  mama membacanya kalau tidak silap ketika mama masih bersekolah rendah lagi. Kisah percintaan dua darjat. 
Sesekali mengemas rumah kena dilakukan seisi rumah agar sama-sama dapat memberikan buah fikiran cara susunan mana yang dikehendaki. Buat mama dan papa janji sedap dipandang mata dan tidak sesak sudah memadai. Rumah pun bukan rumah banglo. Namun cukuplah untuk memberi kami berteduh sementara di dunia ini.

~~ Lega dalam kepenatan.~~


Tuesday, January 26, 2016

Aktiviti mengemas rumah - 1

Hari cuti yang baru lepas mama, papa, Kak Meen dan adik mula membuat misi membakar lemak. Kak Reen sudah balik ke Terengganu. Kami susun semula kedudukan almari di dalam bilik yang sebelum ini digunakan oleh Mak Zah. Susun katil mengikut posisi yang adik mahu. Mama/papa ikut saja. Sementara mama di dapur memasak, papa dengan dua puterinya membuat semua kerja mengemas. Satu bilik yang dibuat susunatur, dua bilik di pasang air-conditioner sebab cuaca agak panas. Tidak tahu mama di dapur pun panas dek api dapur. Kalau di dapur ada air-conditioner mama pun mahu juga memasak tanpa berpeluh.
Homework - Selepas siap memasak mama keluar lihat bersepah tidak terkata. Meja untuk adik membuat kerja sekolah juga ada bermacam-macam benda. Boleh pula adik khusyuk membuat kerja sekolah  tanpa menghiraukan semua benda lain di meja yang sama. Sakitnya mata mama. 

Mama punya - Memandangkan terlalu banyak majalah lama dan mahu di let-go, pilihlah resepi-resepi di dalam majalah sebelum dimasukkan ke dalam plastik sampah. Sementara papa dengan Kak Meen mengemas yang lain mama ambil paper puncher masukkan semua resepi ke dalam hard-cover files. Dapat dua files.

Resepi - Hasil dari majalah Wanita, Saji, Jelita, Nona dan sebagainya. Ini sebahagian yang belum di masukkan ke dalam file.

Terkenang - Terjumpa semula resepi 20 tahun dulu. Ini buku resepi ketika mama di dalam pantang anak sulung. Resepi dalam buku ini sangat menarik. Sanggup mama photostat dan binding menjadi satu buku. Kak Meen kata simpan saja kerana bila anak-anak mama confinement kelak boleh mengikut resepi ini. Gelak kami semua sebab entah bilalah masa itu akan tiba.
Bila mengemas sambil membelek bukulah, membelek kotak yang ada sedikit sebanyak masa yang diambil memakan masa lebih panjang. Tetapi hasilnya sangat menyeronokkan apabila hajat posisi yang mana dikehendaki dapat dilakukan bersama-sama. Tetapi akibat mengemas seharian, adik membuat homework sehingga tengahmalam. 

~~ Bila keletihan selepas solat subuh masih mahu mencari bantal.~~


Thursday, December 31, 2015

Bila sudah lepas jadilah kenangan

Balik dari kampung ada sehari di rumah pada hari Ahad lepas aku gunakan sepenuhnya memenuhi keperluan anak-anak untuk sekolah yang akan dibuka tinggal beberapa hari lagi. Pagi Ahad itu ke Plaza Angsana membeli kain, balik terus aku gunting dan menjahit baju sekolah dan tudung anak-anak. Tidak ketinggalan sehelai baju kurung baru untuk kegunaan adik ketika prep. Lain-lain baju gunakanlah mana yang masih kelihatan elok.

Depan baju - Penuh dengan tandatangan kawan-kawan dan cikgu-cikgunya.

Lengan kiri - Sama juga

Lengan kanan - Pen merah pun digunakan 

Cikgu Zaidah - Merangkap mak angkat adik ketika di sekolah.

Belakang baju - Ada lagi tandangan tangan kenangan kawan-kawannya

Baju ini tinggal kenangan. Tidak dicuci selepas dipakai pada hari terakhir sekolah 2015 tempohari. Tandatangan kawan-kawan baik dan cikgu-cikgu akan disimpan katanya. Baju ini keluar sebab aku mahu mengukur untuk dibuat baju sekolah tahun 2016 yang tinggal beberapa hari saja lagi. Kenangan terindah adalah alam persekolahan. Adik yang baru meninggalkan sekolah kebangsaan sudah tahu erti rindu pada kawan-kawan dan teringat semua kebaikan cikgu-cikgunya. 

~~ Tiba masannya 2015 kita tinggalkan, gerbang 2016 sudah menanti, Selamat menyambut tahun 2016 buat semua.~~


Thursday, November 12, 2015

Permainan dulu-dulu kembali semula

Cuti sekolah sempena perayaan Deepavali minggu ini membolehkan anak-anak berlama-lama di rumah selepas mengaji. Ada saja alat permainan mereka. Tapi malam semalam aku lihat mereka bermain permainan yang dulu-dulu aku juga pernah main. Apa yang membezakan hanya dulu kami menggunakan lidi satey biasa. Sekarang ada dijual lidi plastik berwarna-warni. 

Tabur - Lihat tangan Caca yang menabur lidi itu. Tinggal sedikit bermakna mereka bermain hampir selesai. Haziq ada memegang lidi yang sudah dimenangi. 

Pilih - Selepas ditabur akan dikuis menggunakan satu lidi lain tetapi hendaklah dipastikan tidak tersentuh lidi yang lain. Riuh mereka bermain mengikut giliran aku perhatikan.
Danish - Main pun main juga tetapi tangan tidak lepas dari coklat yang diambil dari fridge dapur mama. Satu bekas coklat beraneka jenis mereka makan sambil bermain. Bila hujan hampir turun baru masing-masing berlari balik.
Ada kalanya bila anak-anak berkumpul permainan lama-lama mereka mainkan semula. Terkenang dulu aku ada bermain guli lambung-lambung yang kami panggil seremban. Ada juga permainan menggunakan biji saga yang ditabur. Permainannya dengan melagakan setiap dua biji saga tetapi tidak menyentuh buah saga yang lain. Kumpullah sebanyak mana saga yang boleh. Dulu rumah arwah atok ada pokok biji saga. Bila jatuh ke tanah kami ramai-ramai mengutip. Biasanya di waktu pagi pasti banyak yang melerai di tanah. Buah saga macam petai tersusun berpapan-papan. Bila kering akan berwarna hitam kulit luarnya dan keras. Bila sudah begini biji saga akan terkeluar. Nostalgia sungguh!

~~ Sesekali biar anak-anak sekarang bermain dengan permainan zaman dulu-dulu.~~


Wednesday, November 11, 2015

Dulu dan kini - 2




~~ Manusia terus mengejar teknologi. ~~

Dulu dan kini - 1





~~ Semua ini sudah tidak dipandang lagi. ~~


Friday, October 16, 2015

Penyalahgunaan doa/ayat

Dahulu ketika menunggu keputusan SPM aku bekerja di Singapore. Currency waktu itu tidaklah sehebat sekarang. Kalaulah waktu itu seperti hari ini alangkah mewahnya. Hari ini saja bila melihat borang kastam nombor 2 yang aku declare currency SGD sudah 3.0151. Tinggi sungguh. Kerani akaun aku ada buat part-time akaun dengan sebuah syarikat di Singapore dengan pendapatan sebulan SGD 1000/- Dia buat kerja setiap hari Sabtu dan jika banyak kerja sambung lagi di hari Ahad. Mudah kata sebulan kerja dalam 4-8 hari saja. Bayangkan bila diconvert sudah menjadi lebih RM3K. Senyum lebar anak dara itu.

Sebenarnya sewaktu aku bekerja di Singapore jawatan aku adalah sebagai Quality Controller di sebuah kilang di Sembawang. Tidak tahulah kilang itu ada lagi atau tidak sekarang. Tetapi apa yang tidak selesa tidak ada bilik solat. Bilik air juga tidak ada paip untuk istinjak. Mahu bersolat minta tempat dengan makcik cleaner tempat mereka simpan penyapu/mop dan peralatan mereka. Istinjak kena bawa botol air siap-siap untuk membersihkan diri. Oleh itu walaupun pihak management tidak membenarkan aku resign belum sampai sebulan bekerja aku sudah tidak sanggup. Kerja aku mudah kerana sekadar membuat laporan yang line-leader berikan dan key-in dalam computer dan submit ke pihak pentadbiran. Usia baru 17-18 tahun dapat kerja begitu sudah selesa benar waktu itu.

Ada kisah tidak baik yang ingin aku paparkan di sini. Membeli barang ada yang kena cukai tetapi aku tidak declare. Sengaja memang aku nekad mahu bawa balik JB. Dalam hati kalau tertangkap aku tinggalkan saja, biarlah pegawai imigresen itu ambil . Sebaik aku tiba di check-point mulalah aku pasang ayat. Waja'alna mimbaini aidihim saddaw waminkhalfihim sadda faaghsyainahum fahumlayubsiruun..








Ayat inilah yang aku baca berulang-ulang sebab bapak selalu kata kalau mahu selamat dari pandangan orang yang cuba kacau kita baca ini. Aku salah gunakan ayat ini demi kepentingan diri sendiri. Namun apa yang jadi? Betul-betul aku selamat tetapi kawan aku punya kena ambil pihak imigresen. Kasihan kawan aku. 

Buat anak-anak jangan ikut apa yang makcik lakukan. Makcik sudah bertaubat dan memohon ampun. Moga Allah ampunkan kesalahan makcik. Hakikatnya kalau dari segi muamalat bukanlah salah membeli barang tetapi ianya menyalahi undang-undang. Dulu membeli kain pasang di Singapore amatlah murah berbanding di Malaysia. Sekarang juga jika membeli tidak ada cukai dikenakan. Jakel, Nagoya semua belum ada lagi di JB waktu itu.

~~ Cerita lama tinggal kenangan, tetapi jika ada membuat kesalahan rasa kekesalan yang dirasa itulah yang berpanjangan. ~~


Wednesday, August 5, 2015

Hari terakhir praktikal

Akhirnya titik pengakhiran Kak Reen praktikal berakhir. Pada hari terakhir itu sekadar mendapatkan semua laporan yang sudah ditandatangi oleh Ketua Hakim dan cop mahkamah. Sebagai memenuhi semua kehendak pihak university juga segala kertas kerja dan laporan sudah dipos dengan perkhidmatan courier service. Pengharapan seterusnya sudah pasti mahu semuanya membuahkan hasil yang terbaik.

Lobby mahkamah - Selamat tinggal semuanya

Tinggal kenangan - Punch card terakhir

Berbudi - Bersama kakak-kakak yang usianya lebih kurang mama inilah yang banyak memberi tunjuk-ajar.

~~ Bukan Kak Reen saja, bahkan kami seisi keluarga mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan di Mahkamah Syariah Johor Bahru.~~
 
 

Wednesday, February 4, 2015

Wednesday, December 31, 2014

Berlabuhnya tirai 2014

Keriangan yang panjang terpana seketika
MH370 menghilang tanpa diduga
ujian besar melanda!
pelupuk mata digenangi air
longlai tubuh yang sedia kerdil
tersedar dari lena yang panjang
menadah tangan, sujud, tafakkur
lama berperang antara percaya dan tidak
cerita-cerita rekaan berawangan tanpa sekatan



Dalam kekaburan MH370 kian menyepi
MH17 menyusul membawa cerita luka
irama yang hampir serupa
sisa luka yang belum sembuh bertambah parah
hancur berderai, putus berkecai 
apa masalah terselindung di sebaliknya
tiada jawapan pasti

Jasad terkumpul kembali ke tanahair
sanak-saudara berkabung menangisi nasib
QZ8501 menyusul membawa cerita sama
apakah ada tangan yang mahu menunjuk kuasa
menanti tindakan kita yang nyata lemah
sengaja mencari dimana ada kekuatan
terleka siapa pun tidak punya kuasa
Kunfayakun DIA siapa mampu menepis

Hidupnya insan ada peraturan
biar tinggi mana mahu mendabik dada
bila tentera Allah datang menerjah
lumpuh segalanya  bagai lautan samudera
usaha apa lagi perlu dilakukan
ayuh kembalikan iman yang luntur
amar makruf nahi mungkar
wamakaru wamakarallah
rancang sebaik mana pun
sesungguhnya perancang terbaik itu Allah

 

Kalendar tirai 2014 penuh warna-warni
membuka tirai 2015 dengan harapan
taqwa dan iman bertambah kental
sesungguhnya kami sedar bumi kian uzur
kami tidak punya apa tanpa kasihMu
mohon kami padaMu Ya Robb
ampuni kami yang sering terlalai
kasih dan sayangMu kami pohon selalu
Amin....


~~ Dalam meniti perjalanan ke depan (2015) renung ke belakang (2014) untuk bermuhasabah. Warna-warni suka-duka terlalu banyak untuk dijadikan iktibar dan pengajaran bersama.~~


* gambar diperolehi dari google

Monday, September 15, 2014

Hubungan suci yang terjalin erat

Biasanya cuti sekolah dan majlis meraikan pengantin sangat sinonim. Sana-sini kad jemputan kahwin diterima. Majlis yang sempat kita kunjungi kita raikan bersama, mana yang tidak sempat kita doakan moga semuanya mendapat keberkatan. 

Jiran setaman - Baru berusia 20 tahun. Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Usia bukan sebagai penentu. Apa yang utama tahu apa itu berrumahtangga dan sudah mampu menggalas tanggungjawab.
Ole-ole - Selain set nasi sebungkus dapat bunga telur ini. Di Johor ini bagaikan satu tradisi sejak dulu hingga kini setiap tetamu akan diberikan bunga telur selain goodie bag yang di dalamnya terisi berbagai barang seperti makanan ringan.
Anak teman - Di Dewan Alumni UTM. Merupakan anak kepada teman ketika menunaikan haji pada tahun 2008 dulu. Ini anak keduanya.
Pilihan - Nasi beryani, ayam masak merah, daging kurma, dalca dan pencuk merupakan makanan utama. Ada juga kuih-muih dan desert yang banyak.
Teman - Terkenang sewaktu di tanah suci. Kemesraan masih terjalin mesra.
Ibu-bapa pengantin kedua ini masih menyimpan alamat rumah kami. Ini merupakan anak kedua beliau. Anak pertama mereka juga kami pergi meraikan. Hubungan kami erat kerana sewaktu pergi menunaikan ibadah haji dulu kami satu flight, satu bilik ketika di Mekah, Madinah, Arafah, Mina dan balik lagi ke Mekah sehinggalah balik semula ke Malaysia. Bertambah lagi erat kami sama-sama dari JB. Waktu itu aku dan hubby merupakan pasangan termuda. Semuanya menganggap kami sebagai adik. Hubby pula dijadikan AJK oleh pihak Tabung Haji bagi memudahkan sesiapa yang ada masalah menjadikan hubby sebagai perantara. Aku pula bila berada di bilik bagaikan tukang urut apabila kakak-kakak tersebut sebaik balik dari masjid meminta tolong aku jadi tukang urut. Membantu mereka membaca Al-Quran. Seronok sebab kami makan pun bersama, sangat mesra. Maklumlah aku yang paling muda kenalah membantu mereka yang semuanya sudah berusia lebih 45 tahun. Indah kenangan ketika di sana dan tidak mungkin dapat aku lupakan. Kenangan indah ketika menunaikan ibdah Haji tidak sama dengan ibadah umrah. 

~~ Status kehidupan sudah berubah; moga masing-masing dapat menjalankan tanggung-jawab sebagai suami dan isteri yang terbaik. ~~


Tuesday, April 8, 2014

Kepuasan yang tidak terucap dengan kata-kata

Mengumpul setem telah aku lakukan sejak masih dibangku sekolah lagi. Tetapi sayangnya bila aku belajar berpindah dari satu sekolah ke satu sekolah dan tidak tinggal bersama keluarga tidak sedar ke mana perginya album setem yang dulu-dulu. Namun bila aku mula mendirikan rumahtangga aku sambung semula mengumpul setem ini dan berlangsung hingga kini. 

Perak & Pahang - Setem biasa aku simpan di dalam album dan susun mengikut gambar/tema seperti ini.
Berlainan negeri - Kalau banyak sangat aku akan susun di belakang setem yang sama.
Selangor - Boleh dikatakan kesemua negeri di Malaysia untuk tema/gambar ini ada dalam simpanan aku.
Baru dapat - Masih baru lagi. Dapat ini daripada customer aku di Singapore. Beliau memang tahu aku mengumpul setem sejak dari dulu lagi.
Susunan - Beginilah aku susun setem-setem di dalam album.
Melihat dari tiga anak kelihatannya anak bongsu aku ada minat yang sama dengan aku dalam hal mengumpul setem ini. Namun untuk mendapatkan setem sekarang agak sukar, apa lagi sistem pos menggunakan setem sudah jarang digunakan. Lebih ramai yang menggunakan email dan courier menyebabkan setem sangat sukar diperolehi.

~~ Menatap suatu hasil yang bertahun-tahun dikumpul akan membuahkan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.~~