Showing posts with label BR1M. Show all posts
Showing posts with label BR1M. Show all posts

Thursday, December 26, 2013

Keperluan dapur untuk keperluan perut

Sana-sini kedengaran suara membantah dan memprotes atas kenaikan harga pada banyak barang keperluan seharian. Namun suara-suara itu sekadar mampu didengar kerana akhirnya ditelan masa yang berlalu. Mana yang berkemampuan tidaklah merasa kesannya tetapi bagi mereka yang tidak berkemampuan perit dihati atas tanggungan yang terpaksa juga digalas. Sebelum melelapkan mata pun kotak fikir masih mencari jalan untuk mencari jalan terbaik bagi meningkatkan ekonomi keluarga.

Keperluan dapur - Bawang-bawang, kentang, cili kering, asam & garam barang yang tidak mungkin dapat dielak dari membelinya. Bukan macam belacan yang boleh ditinggalkan sebagai barang keperluan.
Bahan dapur lagi - Katanya kalau tidak mampu membeli daging dan ayam beli saja ikan masin macam ini. Kalau kena penyakit darah tinggi tanggunglah sendiri. Perubatan sudah pasti kian mahal.
Ikan - Kalau daging mahal beli saja ikan. Tetapi nampaknya ikan pun lebih mahal dari daging dan ayam.
Sotong - Tidak payahlah membeli sotong kerana kandungan kolesterol tinggi. Bahaya. Harga pun berganda-ganda dari harga ikan. Lihat saja untuk menjamu mata.
Udang - Sama juga dengan udang. Sebelum kolesterol singgah di badan lebih baik elakkan. Harga pun mahal bukan main. Mana ada udang yang harga kurang dari RM20/-. Kalau ada mungkin yang sudah tanggal kepala.
Sebenarnya aku dan hubby berbelanja untuk keperluan dapur. Anak-anak pula gemarnya kepada sotong dan udang. Ikan siakap yang kami beli seekor berharga RM28/-, Ikan merah RM32/-, sotong pula 24/-  dan udang pula 32/- sekilo. Oleh itu jangan salahkan penjual restoran seandainya mereka meletak harga tinggi kepada masakan mereka. Bayangkan kalau seorang suami yang punya isteri tidak bekerja dengan pendapatan RM4K dengan anak yang bersekolah, memakai diapers lagi bagaimana mahu mengagih semua keperluan asas walaupun beliau layak untuk mendapat BRIM yang sekali dalam setahun. Bukan tidak bersyukur dengan keamanan negara namun tekanan keperluan kian hebat aku lihat sekarang ini.

~~Biar tinggi mana pun harga diletakkan andai ianya menjadi keperluan hidup tetap dibeli juga.~~

Friday, February 8, 2013

Bapak tidak jadi masuk tv

Mendapat panggilan telefon dari paman ipar (sebab beliau adalah adik kepada suami allahyarham mak saudaraku) mengatakan bapak dikehendaki hadir ke majlis penyerahan wang BR1M-2. Bapak tinggal di JB kenalah balik kampung. Memandangkan aku dan hubby perlu menyimpan cuti untuk keperluan cuti panjang yang kami rancang, abangku bersetuju untuk menghantar bapak balik.

Abang: Dik salah infolah dik. Patut bapak kena ambil jam 10:00 pagi. Bapak punya tak sama dengan paman. Paman memang kena ambil waktu petang. Dia pun tak buka surat bapak mesti dia ingat sama masanya..
Aku: Habis macam mana bang?
Abang: Tak apalah dik selepas zuhor abang cuba pergilah sebab paman punya masa sebelah petang.

Lebih kurang jam 2:30 abang menelefon lagi memberitahu sebenarnya bapak dapat jemputan khas dari menteri. Itu dia!! Aku dan abang berbahak-bahak ketawa walau sekadar menerusi telefon. Surat bapak ada warna manakala paman punya putih. Bapak dikehendaki hadir ketika majlis perasmian penyerahan dan akan diberi dari tangan YB.

Abang: Itulah bapak tak suka tengok berita tv, Allah pun tak restu agaknya dik.
Aku: Agaknya bimbang kalau ditemuramah lain cerita yang keluar dari mulut bapaklah bang itu yang Allah buat begini. Hahaha... (pecah berderai aku dan abang bergelak)
Abang: Kalau cerita dari mulut bapak keluar pun dik mesti kena sensored. Manalah berita tv nak orang cakap macam bapak kita. Tapi abang dapat limau dik... jadilah (kami ketawa lagi)

Menurut abang sebaik bertanya di tempat pengagihan mereka nampak kertas yang abang bawa terus dia jelaskan sebagaimana perancangan bapak sepatutnya ada sewaktu majlis perasmian disamping ianya akan disiarkan oleh pihak media dan tv. Pada kami mereka sudah salah tafsir. Walau bapak kami tua tapi bapak bukan jenis yang angguk-angguk melulu. Kami selalu dedahkan bapak pada internet. 

~~ Sebenarnya bapak tidak memohon pun tetapi borang permohonan semua penduduk kampung dibuat oleh ketua kampung tambahan bapak tinggal bersama kami. BR1M yang bapak dapat dulu pun bapak agih pada mereka yang lebih layak. Kali ini siapalah sasaran bapak. Kalau beri pada aku pun boleh juga:)~~


.

Friday, April 20, 2012

Bukan jalanraya saja yang banyak lubang sana-sini

Kesinambungan dari pemberian BR1M yang berjumlah RM 500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3000 sebulan. Ada seorang teman hubby di surau berkata pendapatan dia dan isteri memanglah melebihi sedikit dari tiga ribu tapi beliau mempunyai 5 orang anak yang kesemuanya telah bersekolah. Hubby hanya tunduk akur dan merasa belas juga membayangkan kesulitan yang dihadapinya. Banyak yang dia kena berjimat-cermat dan berkira kalau dengan pendapatan begitu dan duduk pula di Johor Bahru.

Membandingkan dengan jiran yang tinggal berhampiran rumah kami.

Bukan bangsa aku. Kerja sendiri yang aku juga tidak tahu apa kerja dia sebenarnya kerana saban hari ada saja di rumah. Mempunyai tiga orang anak yang mana satu darinya sudah mempunyai kedai stationery dan dua masih bersekolah. Nilai rumah yang didiami itu melebihi RM 300 ribu. Isteri juga tidak bekerja. Setiap hari makan di luar, bahkan setiap tahun mereka pasti pergi melancung keluar negara (tidaklah aku tahu andai dia booking yang Air Asia selalu offer melalui online). Samada anda percaya atau tidak keluarga ini layak  mendapat wang RM 500 itu.


~~Masih ada lubang di sana-sini yang perlu ditampal. Apa yang jelas sasaran untuk membantu pejawat awam dan pihak tertentu tapi kelihatannya sasaran ada juga tertuju pada mereka yang suka bekerja sendiri dan tidak mempunyai penyata gaji lalu secara tidak langsung dapatlah keistimewaan ini. ~~